Tiada Lagi Perut Buncit Dan Masalah Perut Kembung Dengan Mengamalkan Air Rebusan Ini 

Memang seronok rasa apabila anda sendiri jenis seorang yang makan banyak mana sekalipun, perut tetap kekal kempis! Memang diakui amat susah untuk mengekalkan berat badan, terutamanya apabila sudah berkahwin dan meningkat usia. Lagi-lagi jika anda sudah pun mempunyai anak yang ramai, kekangan masa juga antara salah satu faktor mengapa berat badan sukar untuk turun. 

Namun tahukah anda apabila kita meningkat usia, badan akan mudah letih dan mudah cepat lesu akibat mengamalkan cara hidup yang tidak sihat serta tidak berpeluh? 

Sebab itu semasa muda-muda sekarang ni lah  kita harus menjaga badan dengan baik. Jika anda sendiri tidak  dapat menurunkan berat badan, kekalkan berat badan anda dengan apa jua cara sekalipun.  Hari ini Tajria ingin kongsikan satu resepi air rebusan yang sangat baik untuk kesihatan, iaitu air rebusan halia serai dengan menggunakan 4 bahan sahaja. Bukan sahaja bagus untuk mengekalkan berat badan, minuman ini juga sangat bagus untuk anda yang sering perut masuk angin, sebu dan tidak lawas. Memang terasa badan sangat ringan dan segar! Jangan risau tentang rasa minuman ini tidak rasa pelik, malah anda mungkin ketagih untuk meminumnya. 

Apa kebaikan minum air rebusan ni? 

  • Menghilangkan angin dalam badan
  • Mengurangkan gastrik
  • Mengawal berat badan
  • Melegakan senggugut
  • Dapat mendetoks badan
  • Mengawal tekanan darah 

 

Bahan-bahan 

  • 3 batang serai
  • 4 inci halia
  • 2 sudu madu
  • 1 sudu asam jawa 
  • 3 cawan air

Cara-cara

1. Potong halia dan hiris nipis. Kemudian ketuk halia menggunakan lesung batu 

2. Buang lapisan serai yang buruk, kemudian potong bahagian atasnya. Ketuk bahagian bawah serai menggunakan lesung batu. Pada masa yang sama, rebus 4 cawan air di atas api.

3. Selepas air mendidih, masukkan halia dan serai tadi.

4. Selepas itu, ambil 2 sudu madu dan masukkan ke dalam air rebusan. Jika anda mahu kurang manis boleh sahaja  kurangkan menjadi 1 sudu sahaja. 

5. Kacau air rebusan tadi. Ambil mangkuk yang berlainan dan masukkan asam jawa dengan sedikit air supaya menjadi paste. Jangan lupa untuk buang biji asam jawa tadi terlebih dahulu,, kemudian  masukkan ke dalam air rebusan. Kalau anda suka lebih masam, lebihkan kuantiti asam jawa tadi ya.

6. Kacau air rebusan, biarkan dalam 20 minit sehingga air berwarna coklat gelap dan menjadi 2 cawan. 

7. Siap! Biarkan air suam terlebih dahulu, panas sangat melecur nanti! Tiada halangan untuk anda minum sama ada  panas atau pun sejuk. Macam saya sendiri lebih suka untuk minum sejuk-sejuk, sangat segar dan terasa masam pedas, serta manisnya! Boleh letak dalam peti ais untuk membiarkan air ini sejuk dnegan sendiri, atau pun tambah ais.

Jika anda inginkan kesan yang lebih ‘kaw’, gantikan halia biasa dengan halia bentong. Seperti yang anda tahu khasiat halia bentong lebih baik berbanding halia biasa. Lebih pedas dan kuat rasanya. Cara untuk minum minuman ini pula, amalkan satu kali sebelum tidur. Tidak perlu untuk minum air rebusan ini setiap hari pun tidak mengapa, mungkin ada yang tidak tahan panas halia. Cukup sekadar 2 hari sekali atau pun seminggu 3 kali. Jika anda konsisten, anda akan dapati badan terasa lebih bertenaga, ringan, tiada lagi perut yang sebu dan berangin! Malah ia juga mampu mengekalkan berat badan ideal, namun untuk kesan yang lebih cepat jangan lupa untuk bersenam sekurang-kurangnya sekali seminggu. Walau sibuk bagaimanapun, cari sedikit masa untuk badan anda ya?

Disebabkan air ini juga homemade dan tidak mengandungi pengawet, pastikan anda habiskan sebelum 3 hari untuk memastikan kesegaran air minuman ini. Selamat mencuba!