Carian
Perkara Yang Perlu Anda Lakukan Jika Terlibat Dalam Kemalangan
July 24, 2019 Lina Rosli

Perkara Yang Perlu Anda Lakukan Jika Terlibat Dalam Kemalangan

Rata-rata pemandu baru atau perempuan mungkin tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila anda terlibat dengan kemalangan. Tidak kira sama ada ia merupakan kemalangan kecil atau besar, anda perlu mengetahui tindakan yang harus dilakukan seterusnya. Jadi, hari ini Tajria ingin berkongsi panduan dan perkara yang anda perlu lakukan jika anda terlibat dalam kemalangan jalan raya.

grey bicycle on road near black vehicle at nighttime

Kenal pasti keadaan sekeliling

Pastikan keadaan sekeliling anda selamat. Jika ia adalah sebuah kemalangan kecil, elakkan berhenti di kawasan sunyi terutamanya jika anda seorang sahaja di dalam kereta. Bawa pihak yang terlibat ke kawasan yang lebih ramai orang dan tidak mencurigakan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi. Apabila keadaan kelihatan selamat, barulah anda keluar untuk berbincang. Kawal emosi anda dan elakkan perbincangan yang membawa pergaduhan.

Segera mengambil gambar

Gambar adalah sangat penting sebagai bukti kemalangan. Ini berikutan jika laporan lambat dibuat selain bukti di kawasan kemalangan sudah dibersihkan, maka gambar yang diambil boleh membantu siasatan lanjut pihak berkuasa. Antara gambar yang anda perlu ambil adalah termasuk nombor pendaftaran kereta, maklumat cukai jalan kereta terbabit, kad pengenalan dan lesen pemandu, keadaan kereta yang terlibat termasuk sisi kereta yang dilanggar serta gambar lokasi kemalangan. Sekiranya anda tidak berdaya untuk berbuat sedemikian, maka minta tolong dengan orang awam yang berada di sekeliling untuk mengambil gambar. 

Catat informasi pihak yang terlibat

Selain gambar, informasi pihak terlibat dan saksi awam juga penting. Catat nama dan nombor telefon mereka. Ia memudahkan pihak polis atau anda untuk menghubungi pihak terbabit selain dapat membuktikan dakwaan kita terhadap orang yang melanggar kita.

Elakkan membayar ganti rugi secara tunai

Sebagai langkah keselamatan, elakkan untuk terus membayar kos ganti rugi atau wang pampasan kemalangan. Sebaiknya, bawa pihak terlibat terus bengkel kereta yang anda tahu.  Jika kedua-dua pihak telah bersetuju untuk “settle tepi”, adalah lebih baik jika anda membuat pembayaran secara online. Jadi, anda mempunyai bukti kukuh bahawa anda telah pun membayar ganti rugi kemalangan, selain dapat mengelakkan pihak tersebut membuat laporan polis dan menuntut insurans kemalangan anda tanpa diketahui.

Buat laporan polis

Untuk lebih adil dan berhemah, adalah lebih baik jika kedua-dua pihak membuat laporan polis. Ini bagi mengelakkan isu yang lebih teruk terjadi. Selepas membuat laporan polis tadi, anda boleh pergi ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lakukan carian kenderaan untuk mengetahui syarikat insuran kenderaan yang melanggar kereta anda.

Kesimpulannya, pastikan anda berada dalam keadaan tenang supaya setiap tindakan dan keputusan yang anda buat adalah rasional dan tidak terburu-buru. Perkara yang paling penting adalah dapatkan bantuan daripada keluarga atau rakan terdekat apabila anda terlibat dalam sesuatu kemalangan. Hal ini bagi mengurangkan rasa panik anda selepas sesuatu kemalangan berlaku.

Komen