Hari ini Aida akan berkongsi sedikit apa persiapan yang Aida lakukan sebelum bercuti ke Korea Selatan minggu hadapan! Disebabkan percutian kali ni Aida cuma pergi berdua sahaja bersama kawan rapat, haruslah Aida pastikan segala persiapan dibuat dengan rapi supaya tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. 

Buat pengetahuan semua, percutian kali ini Aida tidak menggunakan sebarang agen pelancongan. Bukan apa, lebih selesa untuk bergerak sendiri mengikut masa dan kehendak sendiri. Bagi pendapat Aida, kalau pergi bersama dalam kumpulan agen pelancongan agak rumit kerana harus menunggu setiap ahli kumpulan. Namun ianya terserah pada anda juga, jika anda seorang yang tidak mahu berfikir panjang membuat persiapan dan sebagainya, bolehlah anda menyertainya! 

Tidak susah untuk melancong tanpa menggunakan khidmat agen ni, cuma perlukan research lebih. Nak tahu apa persediaan yang Aida lakukan sebelum pergi ke Korea minggu hadapan?Jom lihat dibawah! 

Tebus kupon 

Pertama sekali apa yang Aida lakukan bila sudah hampir tarikh ke Korea, tebus kupon dahulu! Ramai yang masih belum tahu tips ini sebenarnya, ia sangat membantu anda sepanjang percutian nanti. Di Kuala Lumpur, terdapat satu Korea Tourism Organization (KTO) yang terletak di Jalan P.Ramlee. Sebelum anda ingin tebus kupon-kupon ini, ada harus mendaftar sebagai ahli di laman rasmi KTO, Visit Korea  dan jawab soalan-soalan survey mereka dahulu. Setelah itu, barulah anda dapat kod khas yang perlu anda sertakan di kaunter KTO nanti. Bukan sahaja pelbagai jenis kupon yang anda akan dapat, malah peta, panduan destinasi menarik serta T-money percuma. T-money adalah kad sama seperti TouchnGo yang anda gunakan untuk menaiki subway. Harga sebenar T-money dalam lingkungan RM15 juga di sana, kalau tebus kupon, percuma sahaja. 

Periksa cuaca dan suhu 

Seterusnya, untuk memastikan rancangan anda berjalan dengan lancar, periksa dahulu cuaca dan suhu di Seoul. Minggu hadapan masih lagi musim panas dimana suhu di Seoul lebih kurang sahaja seperti di Malaysia. Anda boleh lihat ramalan cuaca serta suhu di Accuweather

Namun, walaupun masih dalam musim panas, mengikut ramalan cuaca di Accuweather mengatakan Seoul akan hujan pada waktu tertentu. Serta ada juga hari yang diramalkan panas. Jadi disini, jika anda ingin melakukan apa-apa aktiviti outdoor seperti ke taman tema dan sebagainya, rancang dengan teliti dan pilih hari yang diramalkan cuaca baik. Tambahan lagi, setelah anda ketahui cuaca akan panas dan hujan, jangan lupa bawa sekali payung kecil serta baju hujan. 

Periksa semula dokumen penting

Jangan lupa juga untuk periksa semula dokumen-dokumen penting untuk ke Korea nanti. Pastikan passport anda masih hidup dan diletakkan di tempat khas. Cetak lampiran tiket penerbangan untuk pergi dan balik, serta cetak lampiran penginapan semasa di Seoul. Kemudian, letak di tempat yang sama dan mudah untuk anda lihat. Lebih mudah, letak sahaja dokumen penting ini di dalam beg yang anda akan bawa nanti. 

Itinerari 

Itinerari merupakan perkara yang paling penting semasa anda di sana, jadi anda haruslah merancang itinerari anda sebaiknya. Disebabkan trip kali ini tidak menggunakan khidmat agen, jadi anda perlu lakukan research untuk mendapatkan maklumat serta info-info penting. Rujuklah itinerari yang orang ramai kongsikan di dalam blog, Twitter atau pun pengalaman kenala anda sendiri. Dimana lokasi untuk anda solat, bas apa yang perlu dinaiki serta tempat makan mana yang halal dan sedap. Jangan risau kerana ramai sahaja orang Malaysia yang sudah pun mengunjungi Seoul, Korea. Segala maklumat penting sudah pun dikongsikan oleh mereka. Tinggal pilih sahaja dan sesuaikan dengan aktiviti harian anda. 

Aplikasi untuk muat turun 

Tambahan lagi, anda perlu tahu apakah aplikasi-aplikasi yang perlu anda muat turun sebelum melancong ke Korea. Jika anda punya masa terluang di rumah, muat turun aplikasi komunikasi asas supaya sekurang-kurangnya anda boleh berkomunikasi ringkas. Pasti akan berguna nanti saat anda ingin menawar beli! Selain itu, muat turun juga aplikasi peta yang boleh digunakan secara offline. Sebelum anda berangkat, pastikan aplikasi peta tadi sudah pun muat turun kota Seoul sepenuhnya. Paling penting, aplikasi subway iaitu pengangkutan awam seperti LRT di Malaysia. Aplikasi Subway ini akan menunjukkan stesyen apa yang anda harus turun untuk pergi ke destinasi yang anda ingin tuju. Harus diingatkan disini, sangat penting untuk menguasai aplikasi Subway tau! Kerana setiap Exit akan bawa anda ke tempat lain dan satu stesyen mempunyai beberapa Exit. 

Apa perlu dibeli dahulu

Sumber : Klook

Tips ini pasti akan menjimatkan perbelanjaan anda sewaktu di sana. Jika anda berhasrat untuk mengunjungi taman tema seperti Everland, Lotte Theme Park, beli sahaja semuanya di atas talian sewaktu di Malaysia. Malah, harga yang ditawarkan juga jauh lebih murah daripada anda beli di sana. Selain tiket taman tema, banyak lagi yang anda boleh beli sebelb um ke sana. Antaranya tiket train Arex yang menghubungkan Incheon Airport dan bandar Seoul, menyewa kostum tradisional atau namanya Hanbok, tiket ke Petite France dan banyak lagi  Paling penting sekali adalah, portable wifi! Pasti anda ingin berhubung dengan keluarga serta di media sosial. Sekarang ini lebih mudah dimana and aboleh berkongsi sehingga 5 peranti dalam 1 portable wifi. Lebih jimat apabila dibahagikan kos sewa portable wifi kan? Semua ini anda boleh dapati di Klook sahaja! 

Stamina diri 

Akhir sekali, setelah Aida lakukan sedikit research dengan membaca perkongsian orang ramai yang telah pun berkunjung ke Seoul, rata-ratanya mengatakan anda perlu mempunyai stamina yang tinggi. Ini kerana di sana memerlukan anda untuk berjalan dengan jarak yang jauh, lebih-lebih lagi untuk pergi ke destinasi seterusnya. Oleh itu, amatlah penting anda bersedia dari segi fizikal! Cari masa untuk anda bersukan seperti berlari, bermain badminton mahupun skipping, ini semua dapat menaikkan stamina diri. Sekurang-kurangnya di Korea nanti, anda tidak mudah penat dan boleh berjalan jauh. 

Itu sahaja perkongsian dari Aida untuk trip ke Korea pada minggu hadapan. Apa Aida boleh katakan, tidak mustahil untuk anda pergi ke korea tanpa sebarang agen. Buat sahaja persiapan lebih awal, mudah-mudahan perjalanan nanti berjalan dengan lancar. Mungkin pada artikel seterusnya nanti Aida akan kongsikan pengalaman di sana serta makanan Halal yang anda boleh dapati di Seoul, Korea. Annyeong!

Lihat profil
Aida Kamalia

140 artikel di Tajria.