Tanda-Tanda Anda Mempunyai Hubungan Yang Toksik
Terdetik di dalam hati saya untuk mengulas apa yang dikongsikan oleh Sarah Hildebrand tentang pengakuan jujur penyebab Sarah memutuskan hubungan dengan bekas pasangannya. Disebabkan pengakuan Sarah, perkara ini terus tular di media sosial dan ramai juga yang mengambil kesempatan ini untuk beri kesedaran bagi mereka yang mengalami masalah yang sama, iaitu berada di dalam hubungan yang toksik.
Ya, bukanlah semuanya indah di dalam satu hubungan kerana memang manusia tiada yang sempurna. Untuk mengekalkan hubungan yang baik antara satu sama lain bukannya mudah, ia memerlukan usaha dari kedua-dua pihak. Kita semua tahu kekurangan diri sendiri dan pasangan, dan kekurangan ini lah yang membuatkan kita untuk berubah ke arah lebih baik. Namun apa yang terjadi apabila hanya satu pihak sahaja yang berusaha? Lebih teruk lagi, pasangan anda mengambil kesempatan terhadap anda tanpa anda sedari.
Apa itu hubungan toksik
Hubungan toksik sangat memenatkan, bukan sahaja melibatkan penderaan fizikal, malah penderaan mental. Tanpa anda sedari, hari demi hari berlalu dan anda makin menyendiri, keyakinan anda mula merudum, emosi terganggu malah anda mungkin akan menjauhi rakan serta keluarga. Hubungan yang sihat adalah seperti mempunyai seseorang yang sentiasa menyokong anda, menghormati anda, terbuka dengan perbincangan, dan paling penting kita akan sentiasa rasa selamat berada dengan pasangan.
Berbeza dengan hubungan yang toksik, setiap masa anda akan persoalkan apa yang anda lakukan. Adakah apa yang dibuat ini betul? Adakah ini membuatkan pasangan anda mengamuk? Semua ini kerana pasangan yang toksik lebih dominan terhadap anda dan mengawal emosi anda, silap langkah, anda akan terima akibatnya.
Apa tanda-tanda anda berada di dalam satu hubungan yang toksik? Lihat di bawah
Pasangan memandang rendah
Memang perit rasanya apabila pasangan memandang rendah terhadap anda, mencemuh kekurangan anda. Ada pasangan yang mahukan segalanya diberikan kepada mereka, seperti yang diceritakan di media sosial oleh pasangan lain. Pelbagai kejutan dan hadiah, makan di restoran-restoran mahal dan sebagainya. Apa yang saya perhatikan, wanita akan lebih cenderung sebegina kerana mereka rasa itu tanggungjawab pasangan untuk berikan kemewahan dan segala yang dia mahu. Apa terjadi jika tidak dapat apa yang diinginkan? Mereka kata anda tidak sayang mereka, membandingkan diri anda dengan pasangan lain serta mengatakan anda tidak layak dan tidak mampu menjaga mereka dengan baik.
Pasangan manipulatif
Pasangan manipulatif tidak semestinya seseorang yang pemarah, ada juga pasangan yang tuturnya lemah lembut, tetapi di sebalik kelembutan itulah adanya sifat manipulatif. Sebagai contoh, ketika anda bergaduh bersama pasangan, tidak kira sama ada ianya salah pasangan sekali pun, ia tetap akan menjadi salah anda. Apabila anda memberi pendapat anda atau pun menegakkan kebenaran, mereka akan membuatkan anda nampak seperti pihak yang bersalah dan bermain dengan emosi seperti menangis dengan teruk. Seterusnya membuatkan anda sendiri rasa ada yang salah dan sentiasa meminta maaf atas kesilapan yang bukan anda lakukan.
Terlalu mengongkong
Adakah anda sentiasa rasa rimas dan rasa satu perasaan yang tidak seronok setiap masa? Segala gerak-geri anda harus diberitahu, walaupun keluar rumah untuk beberapa minit seperti membuang sampah dan tidak membalas teks dengan pantas. Pasangan akan marah dan mengamuk kerana tidak beritahu mereka. Ini membuatkan anda hilang rasa seronok terutamanya jika anda meluangkan masa bersama rakan. Mereka akan sentiasa mesej anda, bertanya pelbagai soalan dan jika anda tidak balas mesej mereka, pasangan pasti akan mengamuk dan memberontak. Untuk mengelakkan pasangan anda mengamuk dan menimbulkan pergaduhan, anda terpaksa mengikuti segala arahan dan keputusan mereka.
Penggunaan kata-kata kesat
Dalam satu hubungan memang tidak lepas dengan pergaduhan malah perkara remeh temeh sering bawa ke pergaduhan yang teruk. Namun bagi pasangan yang toksik, ketika anda bergaduh, mereka cenderung manaikkan suara terhadap anda dan mengeluarkan kata-kata kesat. Walaupun ia hanya kesilapan kecil, mereka akan membuatkan anda rasa ‘down’ dan ‘powerless’ kerana cemuhan mereka.
Terlampau cemburu tidak bertempat
Mempunyai perasaan cemburu tidak salah, namun haruslah berpada-pada. Pasangan yang toksik akan melarang ada untuk bercakap dengan orang yang berlainan jantina, walaupun anda ingin keluar dengan kawan rapat. Ini sedikit sebanyak akan menggangu kualiti kerja anda sekiranya anda harus bekerja dengan lelaki. Pasangan akan memarahi anda, menuduh anda curang kerana bekerja dengan mereka. Ada juga pasangan yang ‘unfollow’ semua rakan pengikut lelaki di media sosial, mengatakan anda mungkin akan curang dengan mereka.
Sering mengugut
Ketika berlaku pertelingkahan, pasangan yang toksik akan mengugut untuk mencederakan anda, atau pun mencederakan diri mereka sendiri. Disebabkan sifat mereka yang manipulatif, jika ianya salah mereka dalam satu pergaduhan, ada pasangan yang mengugut untuk mencederakan diri mereka seperti mengelar tangan dengan pisau dan sebagainya. Untuk elak perkara ini berlaku, anda yang harus mengalah dan mengakui ini adalah kesilapan anda.
Lebih teruk, ada pasangan yang mengugut untuk memukul anda, mencekik, dan macam-macam lagi jika tidak mengikuti apa yang mereka mahu. Setiap ugutan yang disebut, jika dicampur dengan emosi mereka yang tidak stabil, anda mungkin akan menjadi mangsa keganasan pada masa akan datang.
Perkara paling sukar adalah untuk mengakui anda sendiri mengalami perkara ini dan mengakui anda di dalam hubungan yang toksik. Jika anda mengalami tanda-tanda di atas, ini masanya untuk open up, luahkan pada orang yang anda percaya. Percayalah, tiada siapa inginkan perkara ini berlaku dan anda masih lagi tidak terlambat untuk selamatkan diri anda. Jika anda biarkan perkara ini berlarutan, bukan sahaja emosi anda terganggu, anda mungkin mengalami kesukaran untuk menghadapi hari-hari akan datang seterusnya mengalami kemurungan.
Sayangi diri anda, utamakan diri anda dan kebahagiaan diri sendiri dan sentiasa pesan pada diri anda punya hak ke atas diri anda, bukan orang lain yang mengawalnya.