Etika Sewaktu Menggunakan Pengangkutan Awam Seperti LRT/MRT/KTM
Jika kita lihat di bandar-bandar besar, kebanyakan orang lebih gemar menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan jalan raya sewaktu pergi atau pulang dari tempat kerja. Walau bagaimanapun, tidak ramai individu yang ambil endah mengenai etika sewaktu menaiki pengangkutan awam. Terdapat segelintir individu yang menggunakan perkhidmatan ini tanpa mempedulikan keselesaan dan keselamatan penumpang yang lain.
Sebagai pendekatan menjelang musim festival dan percutian penggal kedua ini, ramai orang akan menggunakan pengangkutan awam seperti keretapi, bas, tren ringan dan feri untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Berikut adalah 6 tips untuk etika menaiki transit awam yang betul, supaya setiap orang mempunyai perjalanan yang lebih menyeronokkan.
Beratur dan tunggu giliran anda
Semasa menunggu tren anda tiba di landasan, pastikan anda berdiri di belakang garisan kuning. Beratur dan tunggu giliran anda untuk menaiki tren. Jangan memotong barisan dan tunggu di ruangan yang disediakan. Hal ini bagi mengelakkan daripada berlaku insiden tolak menolak yang tidak diingini. Tambahan, ia juga memudahkan penumpang lain yang ingin keluar di stesen tersebut.
Beri laluan untuk penumpang yang ingin keluar
Apabila tiba di setiap stesen, anda disarankan untuk sentiasa peka dengan keadaan sekeliling anda. Ia dikhuatiri anda menghalang laluan untuk penumpang lain keluar. Jika anda berada berdekatan dengan pintu, anda perlu berhati-hati dengan penumpang yang masuk dan keluar. Untuk memberikan ruang penumpang lain masuk, anda perlu memberikan ruang untuk penumpang di dalam untuk keluar terlebih dahulu. Pastikan anda memberi laluan untuk penumpang yang mempunyai kerusi roda, stroller bayi, orang tua atau kanak-kanak. Golongan ini mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk keluar.
Beri tempat duduk kepada orang yang memerlukan
Untuk setiap gerabak tren, pihak Rapid KL telah menyediakan ruangan kerusi khas untuk orang kurang upaya, orang tua dan wanita hamil. Hal ini kerana, agak sukar bagi mereka untuk berdiri di atas kenderaan yang bergerak untuk tempoh masa yang agak lama. Oleh itu, bagi anda yang menggunakan telefon sewaktu di dalam tren, anda perlu memberi lebih perhatian terhadap keadaan sekeliling bagi memastikan anda memberi peluang kepada orang yang lebih memerlukan untuk duduk.
Jaga ketenteraman di dalam LRT
Elakkan daripada mengeluarkan bunyi yang kuat yang boleh mengganggu orang lain. Ini termasuk telefon pintar yang berdering setiap 2 minit, bunyi atau suara sewaktu penstriman video pada peranti pintar anda, muzik di telefon anda, atau perbualan yang kuat. Anda disarankan untuk menyambungkan fon kepala kepada peranti anda untuk mendengar sesuatu audio dan video.
Pastikan gerabak tren berada di dalam keadaan yang bersih
Kebanyakan pengangkutan awam mempunyai peraturan yang mana penumpang tidak dibenarkan merokok. Anda juga tidak dibenarkan untuk membawa masuk makanan dan minuman ke dalam tren atau mana-mana pengangkutan awam. Ia bukan sahaja mengganggu penumpang lain malah anda juga berisiko untuk menumpahkan dan menyebabkan tren kotor sekaligus membuatkan orang lain tergelincir dan jatuh. Jangan buang sampah anda merata-rata di atas lantai atau di tempat duduk tren. Jika anda mempunyai sesuatu yang perlu dibuang atau dilupuskan, tunggu sehingga anda sampai ke stesen yang dituju dan buang sampah di tempat khas yang telah disediakan.
Jaga barangan peribadi anda
Anda bukan sahaja anda perlu menjaga kebersihan harta benda pengangkutan awam, malah anda juga perlu melindungi barang-barang anda seperti beg, peranti pintar dan macam-macam lagi. Selain itu, anda juga tidak boleh meletakkan beg di tempat duduk di sebelah anda sewaktu keadaan sesak. Letakkannya di lantai, atau jika anda tidak mahu ia kotor, letakkan di pangkuan anda supaya orang lain boleh duduk. Sekiranya anda mempunyai kereta sorong (stroller) atau barangan lain yang bersaiz besar, lipatkannya sebelum anda masuk ke dalam tren.
Berikut adalah segelintir perkara atau etika yang mungkin anda sudah tahu, tapi kurang dipraktikkan sewaktu menaiki transit awam. Oleh itu, dengan perkongsian di atas, di harap etika sewaktu menggunakan pengangkutan awam dapat ditingkatkan. Selamat mencuba!