One Day Trip Ke Cameron Highlands Dengan Bajet RM60 Seorang

Selain bercuti ke taman tema dan kawasan kepulauan, anda mungkin boleh beralih ke kawasan pergunungan dan bukit-bukit yang mempunyai permandangan yang cantik dan udara yang nyaman. Ia bukan sahaja dapat membantu anda mendapatkan ketenangan, malah ia juga memberikan pengalaman yang menarik untuk sesiapa yang pernah datang bercuti ke sini. Jadi, Tajria hari ini ingin berkongsi mengenai day trip atau perjalanan sehari ke Cameron Highlands dengan bajet hanya RM60 seorang. 

Pertama sekali, mengapa kami memilih Cameron Highlands sebagai destinasi percutian sehari? Hal ini kerana, Cameron Highlands merupakan salah satu lokasi tarikan pelancong untuk ke Malaysia. Di sana, anda boleh merasai pengalaman yang cukup menenangkan dan mendamaikan kerana ia mempunyai suhu yang lebih rendah berbanding tempat-tempat lain di Malaysia. Bukan itu sahaja, bagi anda yang menggemari suasana yang sejuk seakan di luar negara, Cameron Highlands merupakan tempat yang paling sesuai untuk anda bercuti.

Ladang Teh Cameron Valley

Perjalanan sehari kami bermula pada pukul 6 pagi, yang mana kami bergerak dari Kuala Lumpur selepas subuh untuk tiba awal ke destinasi yang dituju. Untuk kos perbelanjaan minyak, kami hanya membelanjakan sekitar RM60 pergi dan balik. Iaitu kira-kira 420 kilometer untuk jarak perjalanan dari Kuala Lumpur – Tapah – Cameron Highlands – Simpang Pulai – Kuala Lumpur. Untuk kelancaran perjalanan, saya menyarankan untuk anda mengisi minyak sebelum tiba di puncak. 

Tea House 1 Bharat Tea, Cameron Valley

Setibanya kami di Cameron Highlands, hentian pertama yang kami lawati adalah TH1 Bharat Tea, Cameron Valley. Di sana kami, berhenti minum sambil menikmati suasana ladang teh yang menghijau. Pelbagai menu dan juadah yang disediakan di kafe teh berkenaan. Daripada menu berat sehinggalah ke menu minuman yang dihidangkan menggunakan pot. Untuk minuman kami bertiga, kami mengambil hidangan tea in pot saiz medium pada harga RM17. Selepas selesai minum, kami mengambil keputusan untuk turun ke ladang teh di bawah untuk merakam beberapa rakaman gambar dan video. Tiket untuk ke ladang teh tersebut berharga RM3 seorang. Kami mengambil masa sekitar 1 jam di Cameron Valley sebelum bergerak terus ke destinasi seterusnya.

200 Seeds Cafe By Abang Strawberry, Tanah Rata

200 Seeds Cafe By Abang Strawberry

Destinasi seterusnya adalah 200 Seeds Cafe by Abang Strawberry untuk mendapatkan juadah tengah hari. Kedai ini terletak di Kampung Taman Sedia, Tanah Rata, Cameron Highlands. Ia menyajikan sajian makan pagi, All-day Dining, masakan barat dan bermacam-macam lagi. Hidangan yang menjadi pilihan kami adalah Nasi Lemak Sambal Strawberry dan Ayam Berempah yang berharga RM9.90. Kedai ini turut menyediakan pelbagai jenis hidangan minuman termasuk Fresh Strawberry, Strawberry Lassi, Cameron Breeze bagi anda yang mahu mendapatkan minuman berasaskan strawberi yang menarik. Di sekitar kawasan ini menempatkan beberapa 

Nasi Lemak Sambal Strawberry Dan Ayam Berempah

Pasar Kea Farm, Brinchang

Tidak lengkap percutian anda ke Cameron Highlands jika anda tidak singgah ke Pasar Kea Farm di Brinchang. Di sini terdapat pelbagai sayuran dan buah-buahan tempatan dijual seperti jagung mutiara, strawberi, kobis, keledek manis dan cenderamata. Untuk anda yang ingin singgah di sini, tempat letak kereta adalah terhad, namun anda masih boleh meletakkan kereta di ruangan khas dengan bayaran parkir RM3.

Anda juga boleh mencuba aiskrim buah-buahan segar pada harga RM5 sahaja. Terdapat pelbagai jenis perisa aiskrim yang boleh anda nikmati. Bukan itu sahaja, anda juga boleh membeli bunga dan pokok kaktus pada harga yang sangat murah iaitu sekitar RM2 sahaja. Untuk bunga-bungaan yang telah diawet, anda hanya perlu membelanjakan sekitar RM10 sebungkus.

Kea Farm Guesthouse

Di dalam Pasar Kea Farm ini juga, terdapat sebuah kawasan penempatan pelancong yang dinamakan Kea Garden Guesthouse. Lokasinya adalah di tengah-tengah pasar selain turut mempunyai tanaman bunga disekeliling guesthouse. Sekiranya anda menginginkan sebuah penempatan dengan landskap bunga-bungaan yang cantik, ini adalah tempat paling sesuai untuk anda beristirehat.

Kebun Pokok Bunga Lavender, Brinchang

Lokasi terakhir sebelum pulang ke Kuala Lumpur adalah Kebun Pokok Bunga Lavender. Ia merupakan salah satu tempat tarikan pelancong yang ingin merasai suasana kebun bunga yang indah. Ia mempunyai pelbagai jenis bunga yang cantik termasuk bunga Kamelia, bunga Mawar, bunga Daisi dan bunga Lavender. Bagi anda yang suka akan bunga, tempat ini sepatutnya ada dalam senarai tempat yang wajib anda kunjungi. Yuran masuk untuk kebun ini adalah RM10.

Sekiranya anda seorang kaki fotografi, anda bolehlah melawat tempat ini bagi merakam gambar dan video yang menarik di sini. Bukan itu sahaja, terdapat banyak pilihan lokasi yang sangat instagrammables! Berikut adalah beberapa hasil rakaman gambar sewaktu di ladang tersebut.

Jika anda mahu menjauhkan diri daripada kesesakan ibu kota, Cameron Highlands adalah destinasi pilihan yang terbaik. Ia bukan sahaja mempunyai suasana yang nyaman, malah kawasan itu juga mempunyai udara sejuk yang dingin dan pemandangan yang menakjubkan. Tambahan, terdapat banyak tempat menarik di Cameron Highland, menjadikan ia destinasi sasaran popular pelancong tempatan dan antarabangsa. Jadi, dengan perkongsian lokasi di atas, di harap ia dapat membantu anda merancang percutian anda dengan lebih mudah. Selamat bercuti!