Tempat Makan Sedap Dan Halal Di Seoul, Korea
Semasa Aida bercuti di Seoul minggu lepas, memang segaja Aida tak bawa apa-apa makanan dari Malaysia sebagai bekalan. Sebab memang niatnya untuk mencuba semua makanan yang orang rekomen di Seoul! Untuk mencari makanan di Korea tidaklah susah mana, sudah ramai orang Malaysia yang berkongsi restoran-restoran halal dan sedap di Seoul. Malah ada lagi tau restoran-restoran yang Aidai belum cuba disebabkan kekangan masa.
Semua yang Aida kongsikan dibawah, lokasi restoran tidak jauh dengan subway tau! Jadi untuk korang semua yang akan berkunjung ke Seoul nanti, cepat-cepat catat ya!
Sampai sahaja di Seoul sudah pun petang jadi untuk sampai ke guesthouse memang sudah gelap. Jadi kami hanya bersiap untuk makan malam sahaja di Myeondong. Disebabkan guesthouse kami sangat hampir dengan Myeondong, boleh dikatakan setiap hari jugalah kami singgah ke Myeondong! Suasana di sini memang meriah dengan deretan kedai kosmetik dan skincare. Kalau korang yang gilakan make up di sini, pasti tergoda dan borong banyak. Boleh dikatakan murah juga, dapat pula pelbagai free gift, berbaloi!
Yoogane Restaurant, Myeondong
Malam pertama kami makan malam di sebuah restoran yang menghidangkan dakgalbi. Disebabkan ternampak satu posting Cik Epal makan disini, memang terus Aida catat wajib makan disini kalau sampai Korea!
Yoogane Restaurant di Myeondong ni ada 2 branch tau, sama sahaja kedua-duanya. Lepas turun sahaja dari subway stesyen Myeondong, buka sahaja Naver Map dan cari Yoogane Restaurant. Naver Map ni sangat membantu korang di kota Seoul ni tau, ikut sahaja arah yang dituju.
Disebabkan malam tersebut ramai sungguh orang di dalam restoran, kami terpaksa tunggu di hadapan dan mereka akan panggil untuk duduk di meja. Untuk peringatan semua, korang pilih menu yang seafood sahaja tau! Jangan pilih yang ada ayam. Lepas order, mereka terus letak air kosong dan makanan yang akan dimasak depa mata kita ni. Korang nak kacau tu boleh je, tapi Aida nasihatkan tak perlulah, merecik nanti! Tunggu sahaja pembantu kedai mereka masakkan untuk korang. Dekat restoran ni korang tak boleh order satu set, minimum dua set tau. Tapi sebenarnya dua set ni cukup untuk tiga orang.
Side dishes yang korang boleh refill, ada jeruk dan juga kobis bersama mayonis. Jeruk tu sedap! Rasa masam-masam manis dan sangat rangup!
Nampak macam sedikit, tapi percayalah kami berdua memang kenyang sungguh! Boleh juga tambah nasi atau pun ramen di dalam dakgalbi, kami tambah 2 ramen dengan tambahan 2,000 won.
Kalau makan dakgalbi di Malaysia, korang kena minta sos yang pedas baru terasa cukup rencah masin manisnya. Tapi makan di Korea, sangat lah sedap! Cukup rasa, tak pedas sangat pun, cuma panas sikit lah. Terasa sos gochujang dia, sotong yang digunakan besar pula, memang puas hati.
Makan Halal Korean Restaurant, Itaewon
Hari kedua kami makan di Itaewon, yang mana kawasan ini popular untuk korang cari makanan halal dan ada juga Masjid Itaewon yang korang wajib singgah! Namun harus diingatkan, untuk sampai ke sini kena ada tenaga yang banyak. Kawasan di Itaewon berbukit, jika turun sahaja subway Itaewon, korang kena jalan mendaki untuk sampai ke restoran ni. Penat juga lah kami berdua! Akhirnya lepas sahaja makan, kami berdua buat keputusan untuk balik guesthouse dengan menaiki teksi sahaja. Penat punya pasal!
Grilled octopus bersama nasi untuk Aida, dan bibimbap untuk kawan Aida. Seperti biasa, side dishes dan air kosong diberi secara percuma dan boleh refill kalau habis. Sotong grilled tu sedap yang teramat! Oh hidangan ni campur sekali dengan topokki tau, memang sedap dan cukup rasa. Untuk lidah melayu memang sesuai sangat makan dekat sini. Side dishes di Makan Halal ni semua sedap! Paling suka seaweed tu korang campur dengan nasi dan juga ikan bilis, makan dengan sotong sambal pedas tadi, pejam mata lah makan!
Close up gambar sotong grilled, sotong tak liat, sambal dia memang cukup rasa pedas dan manis masin. Teringat-ingat rasanya sambil menaip.
Untuk makan malam hari kedua memang kami tak pergi makan di restoran sebab perut dah pun penuh makan di Makan Restaurant Itaewon siang tadi. Sampai sahaja di guesthouse, kami rehat sambil ‘charge’ diri setelah penat berjalan di Nami Island. Bercakap tentang Nami Island, tiket untuk masuk ke sini dah naik harga tau. Jika sebelum ini korang kena bayar 8,000 won, sekarang harganya sudah menjadi 12,000 won seorang. Terkejut kami bila dapat tahu harga naik banyak! Tapi dah sampai ke Nami Island, bayar sahajalah.
Sulbing, Hongdae
Jadi pada malam hari kedua, kami keluar ke Hongdae untuk berjalan dan melihat suasana disini. Kemeriahan disini tidak kurang hebatnya, kalau di Myeondong penuh dengan deretan kedai kosmetik dan skincare, di Hongdae pula mempunyai deretan kedai makan ayam Korea! Kalau biasa korang tengok drama Korea, mereka kan suka makan ayam goreng bersama soju. Kawasan Hongdae ni boleh dikatakan kawasan orang muda. Ramai yang buat street show, busking dan macam-macam lagi lah. Banyak juga kedai baju, lens, cermin mata di sini dan harganya lebih murah berbanding di Myeondong.
Disebabkan kami berdua kenyang lagi namun masih lagi ingin merasa makanan di sini, kami cuba dessert pula di Sulbing.
Menu utama di Sulbing pastilah bingsu yang mempunyai pelbagai flavour seperti strawberry, oreo, matcha tea dan banyak lagi.
Kami order mango cheesecake bingsu bersama grilled cheese sandwich. Nampak tak ketulan cheese di atas bingsu? Itu memang ketulan cheese sebenar tau. Rasanya seperti ketulan mozarella cheese, agak pelik rasa dia pada awal-awal makan. Tapi lama sikit, sedap pula apabila digandingkan dengan mangga yang sedikit masam dan aiskrim vanilla yang manis! 1 hidangan ni sesuai untuk 3 orang tau, semput juga kami nak habiskan bingsu ni.
Grilled cheese sandwich ni bukan seperti cheese biasa tau, di dalamnya mempunyai lapisan kenyal-kenyal mungkin diperbuat daripada tepung beras? Bolehla sekadar untuk merasa.
Ikan Bakar Ahjumma / Honam Jib, Dongdaemun
Seterusnya untuk makan tengahari hari ketiga, kami makan di Ikan Bakar Ahjumma yang terletak di Dongdaemun. Restoran ini tidak mempunyai nama spesifik tau, sebab nama restoran ini dalam tulisan Korea. Tapi memang popular kedai ikan bakar ni dan bagi Aida, kalau korang pergi Korea, wajib singgah ke sini! Lalu sahaja depan kedai, ahjussi tu dah cakap ‘Selamat Datang’, ‘halal-halal’. Ya itulah kedainya. Kami dapat duduk di tingkat atas dimana korang harus buka kasut dan makan bersila. Seronok juga rasa dapat bersila ni, rasa macam makan dekat rumah! Ahjumma yang akan ambil order korang akan tunjuk yang mana orang Malaysia selalu order. Kami ikut sahaja ikan makeral, sotong grill, dan juga seafood stew.
Side dishes dan air kosong percuma dihidangkan sekali tau. Boleh Aida katakan, ini lah makanan yang paling sedap sepanjang Aida di Korea. Ikan di kedai ni sangat fresh dan manis serta terasa asap-asap ikan bakar. Walaupun nampak seperti ikan bakar kosong, tapi memang sungguh rasa dia terbaik. Makan pula bersama sotong grilled yang pedas ni, kecur air liur! Seafood stew dalam dia ada tauhu telur, kepah, clams dan rasanya seperti kari sedikit, tapi sedap!
Sebenarnya ada lagi makanan yang kami makan semasa di sana, tapi ada yang tak sempat ambil gambar dek kerana perut sudah pun berkeroncong teruk! Makanan street food di Myeondong, makan burger di Everland, dan banyak lagi.
Segala makanan di atas memang Aida rekomen untuk korang cuba dan rasa sendiri keenakan makanan Korea disini. Sedap!