Carian
Bagaimana Untuk Berbelanja Secara Bijak Di Platform Atas-Talian?
August 19, 2019 Lina Rosli

Bagaimana Untuk Berbelanja Secara Bijak Di Platform Atas-Talian?

Online shopping atau membeli-belah secara atas talian adalah amat mudah yang mana anda tidak perlu menghabiskan masa menempuh trafik yang sesak, mencari tempat letak kereta dan beratur panjang untuk membuat pembayaran. Oleh itu, dengan adanya pelbagai jenis platform atas talian seperti Shopee, Lazada, Zalora atau Amazon, anda boleh mendapatkan segala barangan keperluan di hujung jari.

person holding smartphone beside tablet computer

Walau bagaimanapun, di setiap kelebihan pasti akan ada kekurangan. Tidak dinafikan, pembelian secara atas-talian ini dapat memudahkan urusan pembelian. Namun, ia juga boleh mendatangkan keburukan kepada anda jika anda berbelanja secara berlebihan. Oleh itu, Tajria hari ini ingin berkongsi tips untuk membantu anda berbelanja secara berhemah sekaligus dapat menjimatkan duit sewaktu berbelanja.

Mendaftar Newsletter Pada Laman Tersebut

Kebanyakan laman web pasti akan menawarkan servis seperti langganan newsletters yang mana untuk pengguna boleh mendapatkan diskaun sehingga 10 peratus untuk pendaftaran kali pertama. 

Segelintir pengguna tidak mengetahui akan kelebihan tawaran ini yang mana ramai yang beranggapan memberikan alamat emel kepada kedai atas-talian adalah sesuatu yang menyusahkan. Hakikatnya, dengan diskaun yang diberikan, ia dapat menjimatkan perbelanjaan anda untuk membeli barang.

Tidak Menyambung Atau Menyimpan Data Akaun Bank Di Laman Atas Talian

Elakkan daripada menyambung atau menyimpan data akaun bank anda pada peranti. Ia bukan sahaja akan mempercepatkan proses pembelian, malah anda juga boleh terlibat dengan risiko jenayah siber. Sebagai langkah keselamatan, elakkan daripada menggunakan sambungan WiFi awam ketika ingin membuat pembayaran atas-talian.

person using MacBook pro

Guna Kad Debit, Bukan Kad Kredit

Apabila anda menggunakan kad kredit, anda akan lebih cenderung untuk berbelanja lebih jika dibandingkan dengan menggunakan kad debit. Hal ini kerana, penggunaan kad debit adalah lebih leceh selain mempunyai limitasi ketika ingin membuat pembayaran. 

Jika anda membayar dengan kad debit, ia memerlukan anda untuk melengkapkan beberapa proses pengesahan sebelum bank melepaskan transaksi kepada pihak ketiga. Anda juga disarankan untuk menggunakan aplikasi pembayaran pihak ketiga yang selamat untuk membayar pembelian dalam talian, dan bukannya terus memberikan pedagang dengan maklumat kad debit anda.

turned-on laptop

Tidak Melakukan Pembayaran Secara Terus, Letakkan Barang Yang Diinginkan Ke Dalam Cart

Jadikan sebagai satu tabiat untuk anda meletakkan barangan ke dalam cart tanpa terus membuat pembayaran. Apabila anda mendaftar newsletter, secara tidak langsung laman tersebut akan mengetahui jenis barangan yang anda tinggalkan di dalam cart. Malah, ia juga akan memberitahu kepada anda jika barangan tersebut mempunyai promosi atau diskaun yang mungkin anda nantikan. Kesimpulannya, anda tidak perlu terburu-buru membuat pembayaran untuk sesuatu item yang mana anda mungkin dapat membelinya dengan harga yang lebih rendah pada masa akan datang.

Membeli-belah Pada Saat Akhir

Ramai orang pasti tidak tahu yang mana jika anda membeli-belah pada saat akhir, anda boleh mendapatkan harga untuk sesuatu barangan dengan lebih rendah. Kebanyakan platform atas-talian akan memberikan harga jualan yang lebih rendah untuk menghabiskan stok di inventori mereka. Oleh itu, anda boleh dapatkan barang yang anda inginkan dengan tawaran yang lebih rendah. Anda juga boleh gunakan kupon atau baucer promosi sewaktu checkout untuk harga yang lebih rendah.

Kesimpulan

Dengan ini dapat disimpulkan bahawa anda perlu bijak dalam mengurus perbelanjaan anda tidak kira melalui kedai fizikal atau platform atas-talian. Dapatkan informasi mengenai tawaran dan diskaun sebelum anda berbelanja bagi mendapatkan harga yang lebih murah. Selain itu, anda juga boleh mempertimbangkan kepentingan sesuatu item atau barangan sebelum anda meneruskan pembelian. Di harap dengan perkongsian ini dapat membantu anda berbelanja secara bijak. Selamat mencuba!

Komen