Punca Isteri Tawar Hati – Suami Perlu Tahu!
Perkahwinan itu indah, apabila kedua-dua insan suami isteri tetap bertoleransi dan ingin menjadi terbaik untuk pasangan.Namun, apa akan terjadi apabila sikap salah seorang dari pasangan mengambil kesempatan terhadap pasangannya yang lain? Apabila rumahtangga kian selesa, mungkin ada satu pihak yang mula ambil mudah tentang perkahwinan mereka.
Jujur saya katakan, apabila saya membaca pengakuan mangsa rumah tangga di satu laman web, saya terkejut. Terbeliak mata dan kaku apabila saya cuba membayangkan adegan ngeri seperti yang ditulis oleh penulis.
Saat seorang wanita menjadi seorang ibu, saat ini dunia beliau sudah pun bertukar. Berapa banyak perkara yang perlu mereka korbankan demi memastikan makan minum suami dan anak terjaga rapi. Tetapi apabila hati si isteri tidak dijaga dengan baik, tidak mustahil untuk terbit rasa tawar hati pada suami. Saat kesabaran sudah mencapai maksimum, segala perbuatan suami tidak diendahkan kerana hati sudah tekad.
Apa yang menyebabkan perkara ini boleh berlaku di dalam rumahtangga?
Suami tidak menolong
Inilah sikap yang seharusnya kita semua jauhi, sikap tidak menolong meringankan beban pasangan. Semuanya mengharapkan isteri sendiri yang buat tanpa sedikit pun rasa kasihan untuk menolong. Sudahlah isteri juga bekerja setiap hari, apabila pulang sahaja dari tempat kerja, anak merengek dan rumah tidak teratur. Tetapi si suami tidak usaha untuk redakan keadaan kerana dia akan berkata pada anak, supaya tunggu ibunya pulang.
Membuat kerja rumah sememangnya perkara yang memenatkan, jadi apa salahnya jika isteri anda menguruskan anak, suami pula membuat kerja rumah yang lain?
Tidak beri nafkah
Ada juga sikap suami yang hanya mahu segalanya siap di depan mata. Balik kerja makanan sudah dihidang. Tetapi tidak pula mengambil tahu tentang nafkah barang dapur, cukup atau tidak? Lebih teruk lagi, nafkah bulanan untuk si isteri juga tidak diberi. Jika isteri berjawatan lebih tinggi dari suami, ini tidak bermakna suami tidak perlu memberi nafkah untuk isteri. Bagaimana pula dengan perbelanjaan anak-anak?
Apabila si suami sudah mula meninggalkan tanggungjawab wajib ini, ia akan menjadi tabiat dan seterusnya menjadi punca pergaduhan suami isteri.
Suka melepak malam
Si suami lagaknya seperti orang bujang, tidak fikir keluarganya yang berada di rumah. Balik sahaja rumah, sudahlah tidak menolong isteri membuat kerja rumah, tidak menolong uruskan anak, terus sahaja tukar baju dan bermain futsal, disambung pula dengan sesi melepak sehingga lewat pagi. Boleh sahaja untuk keluar bersama rakan atau pun bermain futsal. Tetapi kalau hari-hari anda balik lewat pagi hingga tidak ambil kira pun tentang keluarga sendiri?
Tidak boleh berbincang
Sikap suami yang tidak mahu berbincang apabila berlaku bergaduhan, sedikit sebanyak akan memberi kesan pada isteri dan hubungan. Apabila berlaku salah faham, terus suami lari dari rumah dan melepak bersama rakan. Alasannya kerana malas untuk fikir masalah yang serabut. Nama pun masalah, jika tidak ada usaha untuk bersemuka dan cari jalan penyelesaian, ia akan kekal sebegitu.
Apabila perkara ini berlaku, isteri akan mulai diam, tidak bercakap antara satu sama lain dan masalah ini akan berlarutan.
Tidak memuji isteri
Percayalah, sedikit ucapan terima kasih untuk si isteri kerana memudahkan urusan keluarga, sudah cukup membuat hati isteri tenang dan bahagia. Ya, sekecil-kecil perkara seperti memuji isteri dan melakukan perkara yang menghargai isteri juga sangat penting di dalam satu hubungan. Tidak perlu pun beri hadiah ribuan ringgit, namun perkara kecil seperti membuat sarapan pagi untuk keluarga ketika anda sakit, cukup membuat hati isteri gembira.
Panas baran
Lelaki yang panas baran sangat-sangat menakutkan, lebih-lebih lagi apabila berlaku pergaduhan suami isteri. Apabila suami mula naik tangan apabila berlaku salah faham, inilah titik tamat dalam satu hubungan. Apabila setan menguasai diri, tidak mustahil lelaki akan memukul, sepak terajang sehingga berdarah dengan melemparkan pelbagai kata-kata kesat.
Jelas sekali kudrat suami jauh lebih kuat berbanding wanita, disebabkan inilah lelaki mula ambil kesempatan untuk melakukan sebegitu rupa.
Jika anda sedar anda mempunyai tanda-tanda diatas dan hubungan anda semakin renggang, segeralah berbincang bersama pasangan anda. Tidak terlambat lagi untuk anda selamatkan rumahtangga yang dibina selama ini. Fikirkan tentang anak-anak anda, sudah pasti ia akan memberi kesan pada anak-anak anda, jika berlakunya perpisahan.