Lina Rosli Diterbitkan 20 August 2019

Prosedur Untuk Permohonan Dan Pendaftaran Perkahwinan

Prosedur Untuk Permohonan Dan Pendaftaran Perkahwinan

Proses untuk pendaftaran permohonan perkahwinan terlihat agak rumit jika anda tidak betul-betul memahami maklumat atau dokumen yang dikehendaki oleh pihak Jabatan Agama Islam. Permohonan pendaftaran perkahwinan bertujuan untuk mendapatkan pengesahan dan kebenaran untuk berkahwin.

man writing on paper

 

Terdapat beberapa langkah dan prosedur yang perlu anda ikuti bagi mendapatkan kebenaran berkahwin. Ia termasuk:

Langkah 1: Mengikuti Kursus Pra Perkahwinan Bersepadu

Bagi pasangan yang ingin memohon untuk mendaftar perkahwinan, anda perlu menghadiri kursus sebelum mengemukan permohonan tersebut yang mana kursus ini wajib diambil dan dihadiri bagi setiap pasangan Islam sebelum mendirikan rumahtangga. Kebiasaannya, kursus ini diadakan selama dua hari yang mana para pengajar akan berkongsi beberapa topik yang memfokuskan pengurusan perkahwinan dan rumahtangga untuk fasa sebelum, semasa dan selepas berkahwin. Malah, ia juga boleh diambil bersama pasangan atau secara individu, bermakna anda tidak semestinya hendak berkahwin baru boleh mengikuti kursus ini.

Langkah 2: Mendapatkan Ujian Saringan HIV

Setelah mendapatkan sijil kursus pra perkahwinan, para pasangan perlu menjalani ujian saringan HIV. Permohonan Kebenaran Berkahwin yang telah mendapat pengesahan dari Penolong Pendaftar hendaklah dihantar semula ke Jabatan Agama Islam ditempat masing-masing bersama dengan keputusan Ujian Saringan HIV yang telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan.

Jika keputusan ujian anda;

  • HIV Negatif: Anda boleh meneruskan permohonan untuk mendapatkan kebenaran berkahwin.
  • HIV Positif: Bagi pasangan yang menerima keputusan positif, pihak berkenaan akan memberikan khidmat atau sesi khidmat nasihat. Pasangan juga akan diberikan pendedahan untuk implikasi HIV. Setelah selesai khidmat kaunseling, ia tertakluk kepada pasangan untuk meneruskan perkahwinan. Bagi yang ingin meneruskan, pasangan perlu merujuk kepada Pakar Perbuatan Keluarga dan Klinik Kesihatan Berjangkit bagi mendapatkan rawatan seterusnya.

Langkah 3: Permohonan Untuk Kebenaran Berkahwin

Terdapat beberapa perkara penting yang perlu anda ambil berat sewaktu

1. Pengesahan Permohonan Berkahwin

Sebelum anda memohon pengesahan berkahwin, anda perlu memastikan maklumat tempat tinggal atau kawasan anda bermastautin anda adalah tempat. Hal ini kerana, permohonan berkahwin adalah berdasarkan tempat untuk anda melakukan pendaftaran. Setelah lengkap mengisi borang, Penolong Pendaftar akan memastikan segala maklumat dan dokumen dilengkapkan mengikut borang yang ditetapkan. 

Selain itu, lampiran yang anda perlu anda sediakan adalah:

  • Sijil Kelahiran (setiap individu)
  • Kad Pengenalan
  • Sijil Kursus Perkahwinan
  • Dokumen Keputusan HIV
  • Akuan Teruna (disahkan oleh majikan bagi pemohon lelaki)
  • Surat Akuan Cerai (jika pemohon diceraikan)
  • Dokumen Perakuan Mati (jika pasangan diceraikan disebabkan kematian pasangan)
  • Surat Kebenaran Peluk Islam (jika pasangan bukan muslim)
  • Dokumen Kebenaran Dari Jabatan Polis Atau Tentera (jika pasangan/pemohon adalah anggota polis atau tentera)

Setelah berpuashati Penolong Pendaftar hendaklah mengesahkan status pemohon di dalam ruang yang disediakan dalam borang permohonan perkahwinan berkenaan.

2. Kebenaran Permohonan Berkahwin

Setelah anda selesai menyediakan kelengkapan dan dokumen yang diperlukan, pemohon akan menerima permohonan yang telah disahkan oleh Penolong Pendaftar kecuali dokumen tersebut mempunyai isu atau permasalahan tertentu. 

Pemohon juga hendaklah memastikan borang perkahwinan diterima selewatnya tujuh hari sebelum tarikh perkahwinan yang dicadangkan. Setelah berpuashati pemohon hendaklah mengeluarkan kebenaran berkahwin melalui catatan dalam borang permohonan bagi perkahwinan dalam negeri. Manakala bagi permohonan perkahwinan luar negeri dan tempat lain dikeluarkan melalui surat kebenaran.

3. Proses Permohonan Berkahwin

Kebiasaannya, proses permohonan ini mengambil masa yang agak lama jika pasangan perlu mendapatkan kelulusan dari pihak mahkamah. Terdapat beberapa kes yang dirujuk kepada mahkamah termasuk;

  • Pihak perempuan tidak mempunyai wali nasab atau wali enggan
  • Salah satu pasangan masih dibawah umur
  • Perkahwinan secara poligami
  • Perempuan yang dicerai dan belum disetubuhi suami (penceraian biasa)

Untuk kes-kes tersebut, pemohon perlu menyemak status permohonan yang dikemukan ke Mahkamah. Setelah mendapat keputusan dari Mahkmah, anda boleh meneruskan urusan untuk kebenaran berkahwin.

4. Tempoh Sah Kebenaran Berkahwin

Tempoh setelah dokumen kebenaran berkahwin telah dikeluarkan adalah selama 90 hari dari tarikh yang dikeluarkan. Bagi pemohon yang ingin melanjutkan tempoh sah kebenaran berkahwin hendaklah membuat permohonan lanjutan dalam tempoh masa 14 hari sebelum tarikh tamat tempoh sah berkahwin. Ia juga perlu dilakukan di pejabat pendaftaran yang asal. Surat kebenaran lanjutan akan dikeluarkan setelah tamat tempoh lanjutan kebenaran berkahwin.

5. Bayaran Surat Kebenaran Berkahwin

  • Untuk bayaran yang perlu dikemukan adalah;
  • Bayaran untuk borang permohonan berkahwin – RM1.00 (per individu)
  • Caj untuk penghantaran dokumen permohonan ke Pejabat Agama Jajahan Berkaitan – RM12.00
  • Surat Makluman Akad Nikah dan Surat Perakuan Nikah – RM120.00
  • Kad Pintar eNikah – RM50.00 (2 keping)

6. Akad Nikah

Pendaftar hendaklah memastikan akad nikah dilangsungkan dalam kariah di mana perempuan itu tinggal atau bermastautin. Walau bagaimanapun, pemohon juga boleh memberi kebenaran akad nikah dilangsungkan di tempat lain. 

Untuk kelansungan majlis, pemohon hendaklah memastikan majlis akad nikah dilangsungkan oleh:

  • Wali di hadapan pemohon.
  • Wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran pemohon.
  • Pemohon sendiri sebagai wakil wali.
  • Pemohon sebagai Wali Raja ( Hakim ) bagi perempuan yang tidak ada wali nasab atau wali enggan.

Langkah 4: Pendaftaran Perkahwinan

Untuk pasangan yang berkahwin di dalam negeri, anda hendaklah mendaftar perkahwinan dengan kadar segera bagi mengelakkan tindakan undang-undang. Pemohon atau pendaftar hendaklah mengeluarkan Surat Akuan Nikah dalam masa 30 hari dari tarikh pendaftaran perkahwinan.

Sementara untuk pendaftaran perkahwinan luar negeri pula, Pendaftar hendaklah memastikan bahawa permohonan pendaftaran bagi perkahwinan yang dilangsungkan di luar negeri hanya bagi perkahwinan yang tidak dibuat di Kedutaan atau oleh Pendaftar yang dilantik. Hanya perkahwinan di luar negeri yang belum didaftarkan sahaja yang boleh didaftarkan.

Pendaftar hendaklah memastikan setiap permohonan pendaftaran nikah mempunyai butir dan maklumat berikut:

  1. Surat perakuan nikah luar negeri.
  2. Atau apa-apa keterangan sama ada secara lisan atau tulisan yang boleh memuaskan hati Pendaftar sebelum perkahwinan berlaku.
  3. Permohonan dibuat menggunakan borang yang ditetapkan yang ditandatangani oleh Pemohon sendiri.

Berikut di atas adalah prosedur atau langkah bagi pasangan yang ingin membuat permohonan dan pendaftaran perkahwinan. Bagi segala permasalahan yang anda ingin ketahui, anda boleh layari laman web rasmi Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia atau rujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Di harap dengan perkongsian ini dapat membantu anda dalam menguruskan dan menyelesaikan urusan pendaftaran perkahwinan dengan lebih mudah.

Sumber: Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia