Ini Tanda Kasut Sukan Anda Perlu Diganti Baru
Mencari kasut sukan yang terbaik tidak mudah lebih-lebih lagi apabila mementingkan keselesaan. Malah anda juga tidak kisah untuk membayar kasut sukan yang harganya lebih mahal dari biasa tetapi kasut itu sendiri sangat selesa dan berkualiti tinggi. Sudah pasti kita hanya inginkan terbaik semasa bersukan. Disebabkan itulah sesetengah orang sangat sayangkan kasut sukan mereka, mungkin kerana faktor harga kasut sukan yang tinggi, mungkin juga kerana terdapat elemen sentimental yang terdapat pada kasut tersebut.Tetapi, tahukah anda kasut sukan juga mempunyai tempoh hayat tersendiri yang perlu anda patuhi! Jika anda masih lagi memakai kasut sukan yang telah tamat tempoh ini, ia pasti akan beri kesan buruk pada kaki anda.
Jadi bagaimana untuk anda ketahui bilakah anda patut menukar kasut sukan yang baharu? Lihat dibawah!
Jarak (mileage)
Setiap kasut sukan digalakkan untuk tukar apabila sudah pun melebihi tempoh jarak yang telah kasut anda lalui. Ia diantara 644 km hinggalah 1287 km. Mereka yang sering berlari di kawasan outdoor, permukaan tidak rata seperti berbatu dan sebagainya, anda akan perlu mengganti kasut anda lebih cepat berbanding mereka yang berlari di atas treadmill. Berat badan seseorang juga mempengaruhi kasut itu sendiri dimana mereka yang berbadan besar juga perlu menggantikan kasut lebih cepat.
Rasa sakit
Sekiranya kaki anda berasa sakit pada tapak kaki, seperti mencucuk-cucuk, serta terasa nyeri pada lutut, ini merupakan tanda kasut anda sudah pun tamat tempoh dan tiada lagi kusyen pada kasut. Apabila kusyen sudah tiada, ia tidak dapat menyokong kaki anda dengan baik ketika anda berlari dan bersukan. Seterusnya membuatkan kaki anda rasa tidak selesa.
Tapak mulai nipis
Apabila anda terasa tapak mulai nipis dan tiada cengkaman pada tapak kasut, anda seharusnya tukar kepada kasut yang baru. Bagaimana untuk rasa tapak telah pun nipis? Anda akan rasa licin apabila berjalan, dan apabila anda berjalan di permukaan yang tidak rata, tapak kaki terasa sakit kerana terkena objek tajam atau keras. Memakai kasut sukan yang sudah haus dan nipis bukan sahaja akan rasa sakit pada kaki, ia juga mengundang bahaya.
Tidak sekata
Jika anda terasa kasut yang dipakai tidak rata, ini juga merupakan tanda yang ketara anda patut menukar kasut sukan yang baru. Jika anda seorang yang sering berlari dengan kelajuan yang tinggi, biasanya posisi kaki akan menjengket dan tapak akan lebih haus di bahagian hadapan. Disebabkan bahagian hadapan kasut sudah haus, anda akan rasa tidak selesa kerana permukaan yang tidak sekata.
Jika anda seorang yang aktif bersukan dan menggunakan kasut sukan dengan kerap, anda dinasihatkan mempunyai lebih dari 1 pasang kasut sukan. Ini supaya anda boleh memakai kasut sukan secara bergilir dan secara langsung impak pada kasut untuk tamat tempoh akan jadi lebih lama berbanding jika anda mempunyai 1 kasut sukan sahaja.
Namun, bukanlah bermaksud kasut sukan yang sudah haus itu tidak boleh dipakai langsung, elakkan menggunakan kasut ini semasa membuat aktiviti intensiti yang tinggi. Anda boleh sahaja pakai ketika bersantai sebagai contoh berjalan di taman atau pun pergi ke kerja.
Sumber : Very Well Fit