Carian
Anak Disleksia Mampu Belajar Seperti Yang Lain Jika Ibu Bapa Ketahui Dengan Lebih Awal 
August 26, 2019 Aida Kamalia

Anak Disleksia Mampu Belajar Seperti Yang Lain Jika Ibu Bapa Ketahui Dengan Lebih Awal 

Penyakit Disleksia tidak patut dijadikan alasan serta penghalang untuk anak anda berjaya. Ya, penyakit ini jika tidak diagnosis serta dirawat lebih awal sewaktu anak masih kecil, berkemungkinan Disleksia akan kekal sehingga anak anda meningkat dewasa. Jika dahulu penyakit ini tidak diberi pendedahan yang cukup pada ibu-bapa,  mengakibatkan Disleksia kekal pada diri anak serta mengganggu masa depan anak. Namun kini apabila internet berada di hujung jari, tidak patut ibu bapa membiarkan penyakit ini membelenggu masa depan anak anda begitu sahaja.

Photo of a Boy Reading Book

Artikel kali ini bersempena adik lelaki saya bernama Afiq yang berumur 12 tahun, diiringi  rasa bangga dan terharu terhadap adik saya. Afiq merupakan anak disleksia dan ibu bapa saya mendapat tahu semasa mula bersekolah rendah. Tidak memandang remeh perkara ini, ibu bapa saya melakukan pelbagai usaha untuk merawat adik. Tanpa dimasukkan ke sekolah pendidikan khas, kini Afiq dapat belajar seperti rakannya yang lain. 

Sebelum itu mari kita lihat apakah disleksia?

Disleksia merupakan masalah pembelajaran iaitu mereka kurang kemampuan untuk mengenal, membaca, mengeja dan memahami sesuatu. Disleksia bukanlah penyakit yang melibatkan saraf otak dan sebagainya. Tetapi anak disleksia menghadapi kesukaran untuk membezakan huruf, nombor, arah menyebabkan mereka tidak boleh belajar. Disebabkan masalah ini, anak itu akan menghadapi masalah keyakinan diri, seterusnya membuatkan mereka tidak minat belajar sekiranya ibu bapa tidak membuat apa-apa tindakan. Disleksia berpunca daripada perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi. Serta mengikut MyHealth, dianggarkan 4%-8% pelajar di sekolah menghadapi masalah ini.

Punca 

Genetik

Kebiasaannya, masalah ini boleh berlaku jika terdapat ahli keluarga anda yang mengalami masalah disleksia. Namun seteruk mana masalah Disleksia ini bergantung pada individu itu sendiri. 

Kemalangan semasa di dalam kandungan

Ada juga punca terjadinya Disleksia adalah disebabkan kemalangan semasa di dalam kandungan lagi. Berkemungkinan bayi yang dikandung itu mengalami kerosakan pada otak, menyebabkan anak tersebut mengalami Disleksia. 

Ciri-ciri anak Disleksia

Di peringkat pra sekolah :

  • Lambat bertutur
  • Mengalami kesukaran sebutan atau rima
  • Sukar menulis nama sendiri
  • Payah mengenal bentuk atau warna
  • Sukar memberitahu cerita yang telah didengarinya

Di peringkat sekolah

  • Gagal menguasai tugasan sekolah seperti membaca, menulis, mengeja atau mengira
  • Tidak suka membaca dan mengelak dari membaca di kelas
  • Kesilapan semasa membaca huruf, perkataan atau nombor (Bacaan terbalik)
  • Kurang koordinasi seperti sukar mengikat tali kasut
  • Keliru dengan konsep masa seperti ‘semalam’, ‘ hari ini’ , ‘esok’
  • Kesukaran memahami, mengingati dan mengikuti arahan

Anak Disleksia lembab? 

Tidak dinafikan anak Disleksia ‘lambat’ di dalam pelajaran jika tidak dibimbing serta dibantu pada peringkat awal. Namun, anak Disleksia mempunyai daya imiginasi yang tinggi, kreatif dam mampu berfikir dari pelbagai sudut. Selain itu, mereka turut bijak dengan kemahiran menggunakan tangan serta sukan. 

Apa yang anda boleh lakukan 

  • Dapatkan pengesahan dari Doktor sama ada anak anda benar-benar mengalami masalah pembelajaran ini.
  • Hantar anak anda mengikuti kelas tambahan khusus untuk anak Disleksia  pada hujung minggu.
  • Mengikut guru tutor Afiq yang mahir didalam hal anak Disleksia, beliau mengatakan elakkan menghantar anak ini ke sekolah Pendidikan Khas, supaya anak tidak terasa terasing serta persekitaran yang sama seperti dia, mungkin akan memberi kesan pada diri anak.
  • Buat sedikit kajian bagaimana untuk mengajar anak Disleksia. Lazimnya, cara pembelajaran anak ini berbeza dari anak normal maka teknik untuk mengajar mereka juga berbeza.  Ibu-bapa haruslah mempunyai ilmu serta informasi bagaimana untuk ‘tackle’ anak serta mengajar mereka.
  • Ambil sedikit masa untuk belajar setiap hari. Hal ini mungkin sedikit mencabar bagi ibu-bapa kerana anak tidak minat untuk belajar. Namun, harus anda usahakan perkara ini supaya anak anda tidak ketinggalan dalam pelajaran.
  • Beri sokongan moral pada mereka bagi meningkatkan keyakinan anak Disleksia ini. Balancekan waktu belajar dan juga waktu untuk mereka bermain, anda juga boleh menyokong minat dan hobi mereka. Sebagai contoh berikan hadiah sebagai reward jika terdapat peningkatan dalam pelajaran atau pun pencapaian lain.

 

Akhir kata, Disleksia bukanlah penghalang untuk seseorang berjaya. Malah ahli politik Lee Kuan Yew, artis Leonardo da Vinci serta saintis Albert Einstein juga dikatakan menghadapi masalah Disleksia. Para ibu bapa memegang tanggungjawab yang tinggi serta haruslah mempunyai usaha yang gigih untuk membantu anak anda yang menghadapi masalah Disleksia. 

Boy Rising Up His Hand Wearing Black Cape

Berbalik pada kisah peribadi mengenai Afiq, iaitu adik saya  sendiri yang mengalami Disleksia. Afiq merupakan 30 pelajar terbaik bagi Percubaan UPSR dan berpeluang mengikuti kursus Khas untuk ‘Pelajar Target’. Bagi saya, ini merupakan satu perkara yang amat menyentuh hati kerana saya lihat sendiri usaha ibu-bapa saya serta usaha Afiq sendiri. Setiap hari tidak akan tinggal satu jam untuk belajar pada waktu malam. Malah jika dilihat semula, Afiq pernah menduduki kelas belakang dan kemudian meningkat dari tahun ke tahun. 

Adik saya merupakan bukti, anak Disleksia mampu pulih dan belajar seperti anak lain, diberi peluang yang sama untuk belajar dan capai impian mereka, jika ibu bapa dapat mengesan masalah ini dari awal lagi.

 

 

 

Sumber : MyHealth

Komen