#TAJ Travel – Apa Yang Anda Boleh Buat Di Lapangan Terbang Changi?

Lapangan Terbang Changi atau Changi Airport merupakan sebuah lapangan terbang yang memegang rekod lapangan terbang terbaik di dunia untuk tempoh lima tahun berturut-turut. Hal ini kerana, ia mempunyai beberapa tarikan dan tempat menarik yang perlu anda kunjungi sewaktu anda datang atau transit di Changi. Lapangan terbang ini menggabungkan 3 terminal (Terminal 1, 2 dan 3) dan satu terminal satelit baru (Terminal 4) yang akan dibuka yang mana ia menyediakan kemudahan dan fasiliti kelas pertama kepada para pelancong yang tunggu selama berjam-jam. 

Bagi anda yang telah melawat lapangan terbang Changi, sama ada sebagai pelancong biasa yang bercuti di bandar raya, atau pelancong yang melalui transit di Singapura, anda mungkin akan mengetahui beberapa pengalaman dan perkara yang luar biasa di lapangan terbang Singapura. Jadi hari ini, Tajria akan berkongsi perkara-perkara yang anda boleh lakukan sepanjang tempoh transit anda di Changi Airport:

Perkara Yang Anda Boleh Lakukan Sewaktu Transit Di Lapangan Terbang Changi?

Jewel Di Terminal 1

Bagi anda yang ingin melawat Jewel sebelum bercuti atau pengunjung yang datang ke Singapura sebelum ke destinasi seterusnya, terdapat satu tempat menarik yang wajib anda lawati sewaktu anda berada di lapangan terbang ini, iaitu Jewel. Sebelum ke tempat ini, anda boleh daftar masuk awal dan simpan bagasi dan barangan anda sebelum penerbangan anda berlepas.

Apa yang menarik adalah pihak Changi tidak mengenakan apa-apa caj atau bayaran tambahan untuk masuk ke dalam Jewel ini. Kemudahan ini terletak di Terminal 1 yang mana ia meletakkan pelbagai jenis taman dan tempat menarik untuk mengambil gambar. Antara tempat yang anda boleh lawati di Jewel adalah Air Terjun Vortex, Forest Valley, Canopy Bridges dan Mazes, hotel, kemudahan penerbangan dan 300 kedai jualan dan kedai makan.

Taman Bunga Matahari Di Terminal 2

Untuk anda yang gemarkan suasana tenang sambil ingin memandang bunga matahari, jangan lepaskan peluang anda untuk berkunjung ke Sunflower Garden di Terminal 2 lapangan terbang Changi. Ia merupakan salah satu tempat yang anda boleh merakam pelbagai gambar menarik. Sewaktu di taman itu, anda boleh melihat pemandangan landasan kapal terbang selain di menikmati ladang bunga matahari yang diletakkan di atas bumbung. Anda jangan khuatir kerana, taman bunga matahari ini dibuka selama 24 jam. Walau bagaimanapun, taman ini hanya boleh diakses oleh pelancong yang transit sebentar sahaja.

Instagram: Changi Airport

Taman Interaktif Iaitu Enchanted Garden

Taman Enchanted atau Enchanted Garden ini terletak di ruang transit tingkat dua di Terminal 2. Ia adalah sebuah taman interaktif yang menampilkan suasana ajaib yang mana para pengunjung boleh merasai pengalaman kehidupan menerusi pemandangan dan bunyi yang disediakan. Melalui sensor gerakan, ia dapat mencetuskan bunyi alam dan bunga-bunga mekar bersama-sama dengan lampu optik dan LED yang membentuk permaidani menarik selain lampu yang berkilauan. Ia juga meletakkan sebuah karangan bunga kaca yang menempatkan pelbagai bunga segar seperti Tasmanian Tree Fern dan banyak lagi bunga-bungaan lain yang mempesonakan.

Instagram: Changi Airport

Taman Rama-Rama atau Butterfly Garden

Butterfly Garden ini merupakan taman rama-rama pertama di dunia yang ditempatkan di dalam lapangan terbang yang mana ia direka dengan seni bentuk tropikal yang kelihatan seperti habitat rama-rama di hutan. Ia mempunyai lebih 1000 jenis rama-rama daripada 40 spesies yang berlainan. Lokasi taman ini adalah di tingkat tiga ruang transit di Terminal 3.

Instagram: Changi Airport

Isi Masa Anda Dengan Mendaftar Untuk Singapore City Tour 

Selain melawat dan berkunjung ke kawasan di sekitar Lapangan Terbang Changi, anda juga boleh pergi ke beberapa tempat menarik yang lain di dalam Singapura. Walaupun anda transit untuk beberapa jam di Singapura, ini tidak bermakna anda tidak boleh meninggalkan lapangan terbang tersebut. Anda boleh mendaftar di kaunter perkhidmatan pelanggan untuk melawat pelbagai tempat tarikan pelancong yang lain termasuk Gardens by The Bay, Singapore Flyer, Marina Bay Sands dan Esplanade. 

Untuk pengembaraan atau perjalanan yang lebih lancar, anda boleh mendaftar di kaunter pendaftaran di ruang transit Terminal 2 dan Terminal 3. Dokumen yang anda perlu bawa adalah passport, pas masuk dan visa. Waktu pendaftaran adalah seperti berikut:

  • Waktu Melancong 6.00 petang sehingga 8.30 malam bagi anda yang mendaftar sebelum pukul 5.00 petang.
  • Waktu Melancong 7.30 petang sehingga 10.00 malam bagi anda yang mendaftar sebelum pukul 6.30 petang.

Terdapat bermacam-macam lagi tempat menarik yang anda boleh lawati sementara menunggu jadual penerbangan seterusnya. Anda boleh menghabiskan masa ada berenang di kolam renang yang disediakan di Terminal 1 yang mana ia disediakan bagi anda yang ingin menenangkan fikiran sambil bermain dengan air. Atau anda juga boleh berkunjung ke pusat permainan (arcades), The Shilla Beauty, panggung wayang atau Singapore Food Street yang menyajikan lebih 100 kedai makan yang berbeza di dalam lapangan terbang Changi.

Berdasarkan perkongsian di atas, di harap anda dapat melakukan perancangan lebih awal bagi menikmati dan mengisi waktu lapang anda sementara menunggu beberapa jam di Lapangan Terbang Changi. Dengan ini, anda boleh menikmati perjalanan yang luar biasa di Singapura.