Aida Kamalia Diterbitkan 30 August 2019

Salahkah Menjadi Suri Rumah Sepenuh Masa?

Salahkah Menjadi Suri Rumah Sepenuh Masa?

Ada yang berpendapat jika suami tidak membenarkan isteri mereka bekerja dan lebih suka isteri duduk sahaja di rumah, mereka berfikiran kolot dan hanya pentingkan diri sendiri. Benarkah? Malah ada juga yang menyalahkan wanita mengapa mereka tidak mahu bekerja dan ingin menyusahkan suami? Ibu-bapa anda dahulu menyokong dari segi kewangan semasa anda masih belajar, tetapi jadi suri rumah, siapa yang mahu memberi ibu bapa wang selepas ini? Adakah anda yakin jodoh anda panjang bersama suami? Jika ditinggalkan bagaimana?

Man and Woman Silhouette

Ini antara bidasan netizen-netizen yang menolak pemikiran si suami tidak membenarkan isteri mereka bekerja. Lebih-lebih lagi pada ekonomi sekarang yang sangat sesak, pendapatan isi rumah tunggal sangat tidak masuk akal dan berbahaya. Khuatir berlaku apa-apa yang tidak diingini pada waktu akan datang. Ini merupakan pendapat peribadi saya, tentang salahkah isteri menjadi suri rumah?

Persetujuan suami isteri

Saya pasti tatkala seorang wanita berhenti kerja kerana menurut kehendak suami, ianya adalah keputusan yang sudah pun dibincangkan serta mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Jika suami mampu menanggung anda dan anak-anak, apa salahnya? Ada lelaki yang ingin lihat isterinya bersenang lenang, dilayan seperti permaisuri, tidak mahu isteri stress disebabkan masalah di tempat kerja. Ditambah pula jika anda mempunyai anak kecil, dan tidak bersedia melepaskan kepada orang yang tidak dikenali. Jika kita lihat sekarang pun memang banyak kes yang terjadi di pusat penjagaan kanak-kanak. Sebab inilah ada sesetengah lelaki mahukan isteri mereka menjadi suri rumah. Namun, berbalik kepada jika suami anda mampu. Mampu menanggung anda serta anak-anak. 

Couple Cooking

Wanita juga punya hak 

Sebelum anda bernikah bersama pilihan hati anda, tujukan soalan-soalan seperti ini kepada bakal suami. Adakah anda boleh menjadi suri rumah sebaik sahaja anda berdua berkahwin? Ini kerana saya mengenali seseorang yang merupakan lepasan ijazah, sebelum rakan saya berkahwin bersama lelaki pilihannya, lelaki ini sudah pun diberitahu bahawa dia ingin menjadi suri rumah kerana itu adalah cita-citanya serta ingin menjadi seperti ibu rakan saya sendiri, seorang suri rumah. Apa yang saya ingin katakan disini, wanita juga mempunyai hak untuk mengatakan hasrat mereka, cita-cita mereka menjadi suri rumah. Sama ada wanita itu mahu bekerja atau pun tidak, itu hak mereka. 

Setiap suri rumah haruslah berniaga 

Ini juga antara pendapat orang ramai jika anda merupakan suri rumah, anda haruslah berniaga supaya dapat meringankan beban suami, menolong suami mencari rezeki lebih. Apa gunanya duduk bersenang lenang di rumah? Jika anda merupakan seorang suri rumah dan tidak berniaga, jangan malu atas kenyataan ini. Anda lebih tahu tentang situasi anda, malah suami juga tidak melarangnya, jadi mengapa anda harus malu? Mungkin kerana berniaga di rumah memerlukan kerja yang lebih dan tidak mampu untuk seimbangkan masa dengan kerja rumah dan hal anak-anak. 

Suri rumah juga punya cabaran 

Jangan pernah merendah-rendahkan status wanita sebagai suri rumah kerana tugas ini juga berat untuk dijalankan oleh para isteri. Cabaran yang dihadapi juga berbeza-beza setiap hari kerana menguruskan suami dan anak-anak. Ada sahaja kerenah anak-anak yang perlu si isteri tangani terutamanya jika anak anda masih kecil. Anak cranky, anak tiba-tiba demam dan tidak ada selera makan. Perkara yang tidak dijangka seperti ini lah sedikit sebanyak akan mengganggu tugas harian si isteri. Jika tidak dapat menangani dengan cara yang betul, ia juga memberi kesan pada emosi dan mental isteri.

Akhir sekali, isteri adalah amanah Allah kurniakan untuk para suami. Isteri bekerja atau pun tidak bekerja, tugas mencari nafkah adalah tugas suami. Malah perkara seperti perbelanjaan dapur juga bukanlah tanggngjawab isteri untuk menyediakannya. Jangan sesekali malu atas status menjadi suri rumah! Anda punya rezeki yang tidak semua wanita dapat merasainya, iaitu menjaga anak dan lihat anak membesar di depan mata anda sendiri. 

 Benar rasa kepuasan sangat berbeza apabila isteri berbelanja menggunakan duit sendiri untuk dirinya, berbanding menggunakan duit suami walaupun suami mampu.Serta tidak juga dinafikan wanita yang bekerjaya dan wanita suri rumah cabaran mereka berbeza, serta kelebihan yang ada juga berbeza. Setiap orang pasti ada pilihan masing-masing kan? Bagaimana pula kata anda? Bagus atau tidak menjadi seorang suri rumah?