Lina Rosli Diterbitkan 26 January 2023

Berdengkur Ketika Tidur? Mengapa Ia Berlaku?

Hampir semua orang mempunyai kecenderungan untuk berdengkur. Namun, bagi sesetengah orang ia boleh menjadi satu masalah kronik. Kadangkala berdengkur juga mungkin menunjukkan keadaan kesihatan yang serius yang boleh berlaku ke atas individu.

Secara umumnya, berdengkur adalah satu keadaan yang mana pernafasan individu mengeluarkan bunyi sewaktu tidur. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh getaran tisu di saluran udara atas.

Gejala ini tidak berbahaya, namun ia boleh menyebabkan tidak keselesaan pada individu lain yang berada di sekitar sewaktu sedang tidur. Walau bagaimanapun, apabila masalah berdengkur berlarutan, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Apakah Faktor Yang Menyebabkan Berdengkur?

Berdengkur boleh disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah:

  • Anatomi mulut dan sinus anda
  • Alahan
  • Selsema
  • Berat badan atau obesiti
  • Pengambilan alkohol

Kadangkala dengkuran juga boleh berlaku sewaktu fasa awal tidur iaitu sewaktu individu berada di dalam keadaan tidur yang tidak nyenyak dan kemudiannya bergerak ke fasa tidur nyenyak. Pada waktu itu, otot-otot di dalam mulut anda (lelangit lembut), lidah dan tekak sedang berehat. Dan apabila ia berlaku sedemikian, ia cenderung untuk menghalang sebahagian saluran udara anda dan bergetar.

Semakin sempit saluran udara di dalam mulut, semakin kuat aliran udara sekaligus meningkatkan getaran tisu, yang menyebabkan dengkuran anda menjadi lebih kuat.

Untuk individu yang mempunyai berat badan berlebihan juga termasuk wanita hamil, kebiasaannya tisu kerongkong mereka akan lebih banyak dan tebal. Ini sekaligus memberikan tisu tambahan di tekak dan mengganggu penafasan anda ketika tidur.

Manakala individu yang mempunyai alahan dan selsema pula, dengkuran akan berlaku apabila terdapat sesuatu yang menghalang saluran penafasan. Apabila terdapat benda yang menghalang anda daripada bernafas melalui hidung, ia boleh menyebabkan anda berdengkur.

Gejala Dan Simptom Berdengkur

Berdengkur sering dikaitkan dengan gangguan tidur yang dipanggil apnea tidur obstruktif (OSA). Tetapi, tidak semua orang yang berdengkur mempunyai OSA. Untuk mengetahui sama ada dengkuran individu berkait rapat dengan OSA, berikut adalah gejala yang boleh anda perhatikan:

  • Pernafasan tidak stabil atau kadangkala terhenti sebentar
  • Mengantuk siang hari yang berlebihan
  • Kesukaran menumpukan perhatian
  • Sakit kepala pada waktu pagi
  • Tidur tak lena
  • Tercungap-cungap atau tercekik pada waktu malam
  • Tekanan darah tinggi
  • Sakit dada pada waktu malam
  • Dengkuran anda sangat kuat sehingga mengganggu tidur

Cara Untuk Mengurangkan Masalah Berdengkur

Terdapat beberapa cara yang boleh anda praktikkan untuk mengurangkan masalah berdengkur. Ia termasuklah:

  • Menukar posisi tidur – Kedudukan tidur boleh menjejaskan masalah berdengkur. Tidur dengan posisi terlentang atau dalam keadaan badan di lantai boleh menyekat saluran udara.
  • Menurunkan berat badan – Disebabkan tisu lemak yang berlebihan boleh mengecilkan ruang dan menyempitkan saluran udara, penurunan berat badan adalah alternatif untuk mengurangkan risiko berdengkur.
  • Berhenti merokok – Rokok boleh menyebabkan kegatalan yang akan mengakibatkan keradangan tisu. Jika terdapat sebarang keradangan berlaku, ia akan menghalang saluran penafasan pada bahagian atas tekak.
  • Elak dari mengambil ubat sedatif – Ubat sedatif bertujuan untuk melegakan otot yang mana perlu dielakkan sekurang-kurangnya 4 jam sebelum tidur. Mana-mana alat bantuan tidur atau ubat-ubatan harus diambil di bawah bimbingan doktor profesional dan pakar kesihatan.
  • Surgeri atau pembedahan – Jika hal ini masih berlarutan, anda boleh mendapatkan bantuan pakar bagi melakukan pembedahan bagi mengurangkan masalah dengkur. Antara surgeri yang boleh anda lakukan adalah tonsillectomy, adenoidectomy, somnoplasty atau uvulopalatopharungoplasty (UPPP).

Walaupun pada awalnya masalah berdengkur ini kedengaran seperti satu masalah yang biasa kita dengar, tetapi ia berkemungkinan boleh memberi impak yang buruk kepada tubuh. Oleh itu, sentiasa peka akan punca dan cara bagi mengurangkan masalah berdengkur ini berlaku.

Sumber: Hopkins Medicine, Mayo Clinic