Jika anda akan berkunjung ke Thailand pada masa akan datang, jangan sia-siakan peluang itu untuk anda mencuba segala makanan yang sangat sinonim di Thailand! Sebut sahaja makanan Thai, pasti anda akan teringat tomyam merah pekat berserta segala jenis kerabu kan? Tidak lupa juga pencuci mulut yang amat digemari iaitu pancake mereka. Rangup dan manis! Kata orang, untuk anda rasa makanan asli Thai, anda haruslah berkunjung ke Bangkok. Benarkah? Aida sendiri belum berkesempatan untuk melihat keindahan kota Bangkok, kalau anda pernah cuba makanan di sini, kongsikan ya! 

Untuk artikel kali ini Aida akan kongsikan satu resepi makanan Thai, juga merupakan makanan kegemaran Aida sendiri. Pad thai yang seakan-akan kuey teow namun dihidang dengan pelbagai hidangan sampingan untuk memberi rasa serta tekstur yang menarik pada pad thai anda. 

Macam mana rasa pad thai ni? Bagi Aida, rasanya seperti kuey teow goreng yang biasa anda makan tetapi mee yang digunakan lebih halus dan kenyal, digaul pula dengan kacang tanah tumbuk, serbuk cili kasar untuk beri rasa pedas serta perahan limau nipis yang memberikan rasa masam kepada pad thai. Memang sedap! Jom tengok resepi di bawah.

Bahan-bahan diperlukan 

  • Mee pad thai 
  • Bawang merah 3 ulas
  • Udang / sotong / ayam (potong kecil)
  • Daun kucai / bawang
  • Sebiji telur 
  • Sos ikan - 3 sudu
  • Gula thai - 3 sudu
  • Asam jawa - 1 sudu
  • Kicap manis - 1 sudu 

Bahan sampingan :

  • Kacang tanah (ditumbuk halus)
  • Cili flakes
  • Limau nipis 

Cara-cara 

Pertama sekali, rendamkan mee pad thai menggunakan air biasa di dalam mangkuk. Sejujurnya, agak sukar untuk jumpa mee pad thai sebegini di Malaysia. Mee pad thai yang Aida gunakan untuk resepi ini pula Aida beli di Hatyai. 

Seterusnya, didalam bekas yang berlainan, campurkan sos ikan, gula thai, asam jawa serta kicap manis, serta masukkan sedikit air ke dalam mangkuk. Kacau sehingga gula larut sepenuhnya. 

Panaskan kuali anda dan masukkan sedikit minyak, apabila sudah panas masukkan bawang merah yang dah dicincang halus. Tumis sehingga garing.

Setelah bawang naik bau, masukkan bahan protein anda. Boleh sahaja nak masukkan ayam, daging atau apa sahaja yang anda gemari. Disebabkan Aida tidak mahu udang yang digunakan menjadi kering, keluarkan udang sebaik sahaja air udang sudah keluar.

Kemudian, masukkan bahan yang kita telah campur tadi ke dalam kuali. Saat ini anda boleh masukkan mee yang direndam tadi.  Gaul hingga sebati.

Sekarang, ketepikan sedikit mee untuk kita masukkan telur. Letak sedikit minyak dan pecahkan telur, kacau dengan cepat untuk dijadikan telur hancur. 

Rasa terlebih dahulu dan tambahkan garam atau gula mengikut kesukaan anda. Biasanya, sos ikan tadi sudah pun memberi rasa masin yang cukup. Masukkan daun bawang atau pun daun kucai, gaul rata. 

Masukkan udang semula, gaul dan sedia untuk dihidang! Jangan lupa hiaskan dengan kacang tanah hancur, potongan limau nipis serta cili flakes. 

Mudah kan? Aida rasa membuat pad thai jauh lebih mudah berbanding membuat mee goreng di mana anda haruslah menumis cili terlebih dahulu. Bagi anda yang mempunyai anak kecil, Aida syorkan untuk meletakkan bahan sampingan di dalam bekas yang berlainan. Maklumlah mungkin ada yang cerewat bab makanan, takut nanti mereka tidak mahu makan apabila melihat kacang hancur di dalam mee!  

Sangat sesuai untuk dihidang semasa  sarapan pagi bersama keluarga, masa untuk membuatnya juga singkat. Selamat mencuba ya!

Lihat profil
Aida Kamalia

140 artikel di Tajria.