Bibir kering atau pecah sering menjadi masalah segelintir individu. Hal ini kerana, kulit bibir adalah lebih nipis dan halus berbanding kulit di bahagian yang lain terutama sekali bahagian muka. Tidak seperti kulit di bahagian lain, kulit pada bibir tidak mempunyai kelenjar minyak dan tidak dapat menghasilkan kelembapan.
Terdapat beberapa faktor yang mungkin memberi kesan terhadap kelembapan bibir. Antaranya adalah suhu cuaca yang melampau sama ada terlalu panas atau terlalu kering, kesan akibat pengambilan ubat-ubatan serta tabiat menjilat bibir. Umumnya, masalah ini biasanya disebabkan oleh faktor cuaca dan tabiat seseorang. Tetapi sesetengah orang boleh mengalami masalah bibir kering yang lebih teruk yang mengakibatkan Cheilitis. Cheilitis adalah disebabkan oleh jangkitan kuman yang mengakibatkan rekahan atau kering pada tepi bibir.
Berikut adalah langkah awal atau rawatan sederhana bagi mengurangkan masalah bibir kering:
Guna Pelembap Bibir
Sesetengah pelembap bibir mempunyai bahan yang baik yang membantu mengurangkan keadaan bibir pecah atau kering. Namun, ada juga pelembap bibir yang boleh menyebabkan bibir anda menjadi lebih kering. Sebagai contoh, banyak pelembap bibir yang mengandungi mentol atau perisa pudina yang memberikan sensasi penyejukan sehingga boleh meninggalkan kesan kering pada bibir. Selain pudina, elakkan dari menggunakan pelembap bibir yang mengandungi phenol, alkohol dan bahan wangian.Sebaliknya guna produk yang mengandungi ramuan yang pelembap, seperti petroleum, lanolin, beeswax dan ceramides yang boleh didapati di farmasi atau di kedai kesihatan.
Minum Lebih Banyak Air
Dehidrasi juga boleh menjadi punca kepada bibir pecah atau kering. Anda perlu menjadikan minum air mineral sebagai tabiat bagi mengurangkan masalah dehidrasi. Dehidrasi berlaku apabila badan kehilangan lebih banyak cecair daripada yang diperlukan. Apabila badan dehidrasi, ia menarik air dari kawasan tertentu untuk memastikan bahawa sel-sel lain kekal terhidrasi. Ini boleh menyebabkan kekeringan pada kulit, termasuk bibir.
Guna Bahan Semula Jadi
Anda juga boleh mendapatkan bibir yang cantik dan kekal lembab dengan menggunakan rawatan tradisional atau secara semula jadi.
Antara bahan-bahan semula jadi yang baik termasuk:
Aloe vera: Ia mengandungi vitamin, mineral, antioksidan, dan anti-radang yang melembapkan dan memulihkan kulit bibir yang merekah dan rosak.
Minyak kelapa: Dibuat daripada bahagian dalam kelapa, minyak ini menyerang keradangan dan merupakan emolien yang membantu melegakan dan melembutkan kulit.
Madu: Bahan ini adalah salah satu rawatan yang baik untuk bibir kering. Madu juga mengandungi antioksidan dan sifat-sifat anti-bakteria, yang membantu menghalang jangkitan kuman daripada berkembang di bibir yang menyebabkan bibir menjadi kering atau pecah.
Timun: Ia boleh melembapkan bibir perlahan-lahan selain mengandungi vitamin dan mineral yang dapat meningkatkan kelembapan bibir.
Teh hijau: Kaya dengan antioksidan dan mineral. Teh hijau juga mengandungi polifenol, yang mengurangkan keradangan.
Kesimpulan
Bagi anda yang mengalami masalah seperti ini, anda juga boleh menggunakan bahan atau produk yang ada dirumah anda seperti mentega atau butter yang membantu mengurangkan masalah bibir kering sekaligus menjadikan bibir anda lebih bersinar dan lembap. Jika masalah ini masih berlarutan, anda boleh mendapatkan rawatan sederhana dan langkah pencegahan dari pakar kesihatan dan membuat temujanji dengan ahli dermatologi.