Sebelum ini, Tajria telah berkongsi kepada anda senarai tempat-tempat menarik yang boleh anda lawati di sekitar Kuala Lumpur. Kali ini, destinasi kedua yang boleh anda kunjungi adalah Terengganu. Terengganu adalah salah satu negeri yang bertempat di bahagian timur Malaysia. Ia terletak di tengah-tengah antara Kelantan dan Pahang. 

cooked food served on black plate

Seperti yang kita tahu, negeri Terengganu cukup dikenali dengan batik dan keropok lekor. Tapi, tahukah anda bahawa terdapat banyak lagi tempat dan perkara menarik yang boleh anda terokai di sekitar Terengganu? Oleh itu, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada ada lokasi menarik yang boleh anda lawati di setiap daerah.

Kemaman

Terengganu bukan sahaja terkenal dengan destinasi tumpuan pelancong yang menarik. Malah, ia juga terkenal dengan pilihan makanan yang meriah dan aneka jenis. Jika anda singgah di Kemaman, anda boleh singgah ke Warung Aziz Satar. Nama restoran ini sudah tidak asing lagi di bandar Chukai. Anda bukan sahaja boleh mendapatkan rasa satar dan otak-otak yang enak, malah anda juga boleh mencuba hidangan lain seperti udang goreng tepung, ikan goreng tepung dan keropok lekor yang turut disajikan di warung tersebut. Bagi yang berminat, ia beroperasi setiap hari, bermula dari jam 10 pagi hingga 7:30 malam.

Di Kemaman juga, anda turut boleh singgah sebentar di  Kedai Bahulu Seri Geliga, Geliga, Chukai. Di sana, anda boleh mendapatkan akok, kuih bakar, bingka  pulut dan kuih bahulu yang kena dengan citarasa anda. Rasanya yang tak terlalu manis, malah ia juga disediakan panas-panas yang mana memberikan impak yang menyelerakan. Harganya juga tidak terlalu mahal, iaitu:

  • Akok (2 Biji = RM1.00)
  • Kuih Bakar (3 Biji = RM1.00)
  • Bingka Pulut (3 Biji = RM1.00)
  • Bahulu Coklat (5 biji = RM1.00)
  • Bahulu Pandan Bunga (5 biji = RM1.00)
  • Bahulu Pandan Ikan (5 biji = RM2.00)
  • Bahulu Cermai (5 Biji = RM1.00)

Dungun

Kita beralih ke daerah Dungun pula, iaitu sebuah bandar kecil yang terletak berdekatan dengan Kemasik dan Rantau Abang. Di Dungun, anda boleh terokai pelbagai jenis pilihan ikan celup tepung dan turut merasai keropok lekor Sri Sura. Apabila anda tiba di Dungun, anda disarankan untuk melalui jalan pantai yang mana ia akan membawa kepada anda keindahan laut di Terengganu.

Di sepanjang jalan pantai, anda akan melihat pelbagai pilihan kedai yang menawarkan bermacam jenis hidangan termasuk hidangan lauk tengahari, minum petang, makan malam, western dan banyak lagi. Anda tidak perlu risau akan kekurangan tempat makan. Untuk hidangan makan pagi, saya mencadangkan kepada anda untuk mencuba Kedai RR Nasi Kerabu yang terletak bersebelahan Petronas. 

Kuala Terengganu

Tak lengkap percutian anda tanpa singgah dahulu di Kuala Terengganu. Ia merupakan ibu negeri untuk Terengganu yang menempatkan pelbagai variasi makanan di situ. Banyak hidangan asli dari Terengganu yang masih kekal hingga ke hari. Bagi anda yang meminati nasi dagang, anda boleh mencuba Nasi Dagang Atas Tol di Jalan Hj. Abdul Rahman Limbong. Ia dihidangkan atas daun pisang bagi mengekalkan identiti klasik nasi dagang tersebut.

Selain itu, anda juga boleh mencuba  lauk-lauk tengah hari di kawasan Kuala Ibai. Anda boleh mendapatkan hidangan tengahari pada harga yang murah di Kedai Makan Kak Yah. Ia menyediakan pelbagai juadah ikan bakar, ulam-ulaman, lauk pauk dan pelbagai lagi pada harga sekitar RM4 sehingga RM7 seorang.

Untuk mendapatkan juadah minum petang, anda disarankan singgah sebentar di kedai Keropok Warisan Losong untuk merasa keropok lekor panas-panas. Di sini turut disediakan sebuah kafe yang menjual keropok goreng tanpa rebus yang sememangnya sangat enak. Jadi, sambil tunggu keropok lekor siap dibungkus boleh order untuk makan terus terutama bagi mereka yang akan berjalan jauh. Antara variasi keropok yang disediakan adalah Keropok Lekor Cheese, Keropok Lekor Lada Hitam, Keropok Lekor Bawang dan macam-macam lagi.

Terdapat pelbagai juadah yang anda boleh nikmati sewaktu berada di Terengganu. Berikut adalah senarai beberapa tempat makan menarik yang boleh anda terokai di sana. Semoga ia memudahkan anda untuk merancang dan merujuk sewaktu melancong kelak. Selamat mencuba!

 

Lihat profil
Lina Rosli

158 artikel di Tajria.