#TAJSihat – Apakah Kesan Memakai Cermin Mata Hitam Kepada Mata Anda?

Terdapat segelintir individu mengatakan masalah kerosakan mata adalah berpunca daripada sinar ultraviolet (UV) atau perkara yang berkaitan dengan pencahayaan termasuk cahaya lampu. Menurut kajian 2014 yang dijalankan oleh National Eye Institute dan National Institutes of Health, Amerika Syarikat, radiasi UV boleh merosakkan protein dalam kanta mata. Lama kelamaan, kerosakan ini dapat meningkatkan risiko seseorang untuk menghidapi penyakit katarak yang merosakkan penglihatan.

gold-colored framed sunglasses on white surface

“When you don’t wear protection, ultraviolet radiation you cannot see is penetrating the eye, and the eye structures are very sensitive to it,” -Dr. Rebecca Taylor, pakar oftalmologi dan jurucakap klinikal di American Academy of Ophthalmology. 

Terdapat satu kajian mendapati bahawa kerosakan UV boleh menimbulkan risiko seseorang untuk mengalami degenerasi makula yang merupakan salah satu penyebab utama kebutaan yang berkaitan dengan usia. Pendedahan cahaya matahari juga dikaitkan dengan kanser mata dan sejenis kecederaan mata seperti sunburn yang dikenali sebagai photokeratitis yang boleh menyebabkan buta sementara atau cacat penglihatan.

Oleh itu, ramai individu yang menggunakan cermin mata hitam bagi mengelakkan mata terdedah dengan sinar matahari secara langsung. Tidak dinafikan bahawa memakai cermin mata hitam boleh melindungi mata dari sinar UV. Namun, ia masih bergantung kepada ketebalan, warna dan jenis kanta yang digunakan. Perkara yang penting yang perlu ada pada cermin mata hitam adalah lapisan yang menyekat 99 hingga 100% sinaran UVA dan UVB.

sunglasses beside a purse

Saiz kanta dan warna kanta juga memberikan perbezaan yang ketara dalam melindungi mata. Satu kajian daripada para penyelidik Switzerland mendapati bahawa cermin mata hitam yang besar dapat menyekat sinar UV yang lebih besar berbanding yang lebih kecil, sementara goggle pula boleh menyekat UV sepenuhnya selain menawarkan perlindungan yang paling sempurna. Oleh itu, kebanyakkan individu yang melakukan pekerjaan yang melibatkan pencahayaan yang terlalu tinggi lebih digalakkan untuk menggunakan pelindung mata yang mempunyai saiz tebal, gelap dan kanta yang besar.

Adakah Memakai Cermin Mata Hitam Terlalu Kerap Tidak Baik Untuk Tubuh?

woman's face with sunlight on eyes

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keburukan apabila terlalu kerap menghalang mata daripada cahaya. Memakai cermin mata hitam setiap masa sebenarnya boleh memberi kesan negatif pada mata anda. Selagi ia tidak terlalu panas di luar,  anda digalakkan untuk mendedahkan mata kepada cahaya semula jadi. Hal ini kerana, terdapat gelombang matahari yang memberikan faedah kepada mata anda. 

Jika anda terlalu menyekat sinar matahari, ia akan memberi impak kepada seluruh tubuh. Mata anda mengambil spektrum cahaya penuh dan ini secara langsung memberi kesan kepada hipotalamus pada otak yang mana ia mengawal banyak fungsi penting termasuk mengatur rutin harian anda seperti makan, tidur, bekerja dan macam-macam lagi .

Bukan itu sahaja, pemakaian cermin mata yang terlalu kerap juga akan mengakibatkan sakit kepala. Satu kajian telah menunjukkan bahawa kawasan dengan pencahayaan yang buruk sebenarnya dapat meningkatkan risiko sakit kepala kerana mata tidak dapat memproses sesuatu benda dengan betul dan jelas.

Kesimpulan

Cermin mata hitam dapat mengurangkan risiko kerosakan mata apabila berada di tempat yang mempunyai pencahayaan yang tinggi. Namun, memakai cermin mata dengan terlalu kerap juga dapat memudaratkan mata anda. Jadi, pemakaian cermin mata mengikut keadaaan sekeliling adalah penting dalam menjaga kesihatan mata anda.