Lina Rosli Diterbitkan 11 November 2019

#TAJKeluarga – Bagaimana Anda Berkomunikasi Dengan Anak-Anak?

#TAJKeluarga – Bagaimana Anda Berkomunikasi Dengan Anak-Anak?

Terdapat banyak perkara yang mungkin mahu anak anda kenali dan pelajari sepanjang tumbesaran mereka. Sebagai ibu bapa, anda pasti menginginkan yang terbaik untuk anak-anak yang mana anda mahu melihat mereka membesar sebagai individu yang berjaya dan berakhlak mulia.

Dalam pada itu, anda juga perlu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak. Pada usia yang kecil, kanak-kanak mempelajari segalanya dengan cepat di mana mereka akan sering bertanyakan perkara-perkara yang menimbulkan persoalan. Sudah tentu mereka akan memberikan soalan-soalan diluar jangkaan anda. Kebanyakan ibu bapa atau golongan dewasa pasti akan menghadapi kesukaran untuk berbicara atau menerangkan sesuatu isu serius kepada anak-anak.

Menerusi perkembangan teknologi, kanak-kanak lebih cenderung untuk terdedah dengan pelbagai isu-isu seperti masalah keganasan, perkauman serta isu-isu yang memberikan kesan kepada mental dan fizikal seseorang. Kanak-kanak kecil sememangnya akan hadir dengan perasaan ingin tahu tentang dunia selain ingin lebih memahami tentang perkara yang mereka lihat, dengar dan lakukan. 

Melalui perasaan ingin tahu, ia bukan sahaja menambah pengetahuan anak-anak anda, malah ia turut membantu membina konsep, kemahiran, perbendaharaan kata, dan pemahaman yang berkaitan dunia sekeliling. Jadi, bagaimanakah anda berbincang dengan anak-anak anda mengenai sesuatu isu serius? 

Umur 2-6 Tahun

Bagi kanak-kanak yang berumur di antara 2 hingga 6 tahun, mereka tidak mempunyai pengalaman yang cukup untuk memahami beberapa elemen-elemen yang terlibat dalam topik yang rumit dan sukar. Mereka juga tidak memahami sebab dan akibat untuk sesuatu perkara yang berlaku. Malah, mereka juga sangat sensitif kepada keadaan emosi ibu bapa dan boleh menjadi bimbang untuk melakukan sesuatu yang akan membuat anda kecewa.

Jadi, pada umur tersebut, untuk anda berbincang mengenai sesuatu topik, anda perlu memberikan contoh yang lebih dekat dan mudah untuk difahami oleh mereka. Anda boleh mengubah arahan kepada sesuatu yang lebih informatif. Sebagai contoh, anda boleh menukar ayat “Letakkan susu itu,” kepada “Susu itu akan tumpah jika tidak dihabiskan.” Pendekatan ini akan menjadikan anak-anak anda lebih peka dengan tindakan mereka.

Umur 7-12 Tahun

Pada peringkat ini, kanak-kanak ini sudah pandai membaca dan menulis yang mana mereka lebih terdedah kepada isu yang lebih besar. Ketika ini, mereka sudah merasai pengalaman dunia nyata selain mendapat kemahiran pemikiran abstrak dan memahami perspektif yang berbeza. Untuk berbincang tentang isu atau topik yang berat, anda perlu:

  1. Ketahui waktu yang sesuai. Pada usia ini, kanak-kanak mungkin akan datang kepada anda jika mereka mengalami sesuatu di luar norma mereka. Tunggu apabila mereka ingin bersuara atau bercerita kepada anda. Elak daripada memaksa mereka untuk berbincang tentang masalah yang mereka alami kerana ia akan menjadikan mereka sukar untuk meluahkan rasa hati mereka. 
  2. Ketahui apa yang mereka tahu. Tanya kepada anak-anak anda apa yang mereka dengar atau perkara yang rakan-rakan mereka di sekolah bincangkan. 
  3. Buat ruang yang selamat untuk perbincangan. Untuk topik-topik yang sukar untuk dibincangkan, anda boleh mengajak mereka untuk berbincang di suatu tempat yang lebih tenteram. Dengan ini, mereka akan lebih selesa untuk bercakap atau bercerita selain membuatkan mereka berasa bebas untuk bertanya apa-apa yang mereka mahukan.

Bukan itu sahaja, anda juga perlu peka kepada emosi dan watak anak-anak anda. Ajak mereka untuk berkongsi masalah atau apa-apa perkara yang mengganggu minda mereka. Setelah mereka bercerita, letakkan diri anda dalam posisi mereka agar segala keputusan dan komen berkenaan perkara tersebut tidak bersifat negatif. Anda juga perlu bersedia dan bersedia menjawab soalan yang muncul. Jenis soalan yang ditanya oleh anak anda dapat memberi anda gambaran yang baik tentang apa yang mereka sudah tahu.

Jadi, bagi menggalakkan pemikiran kritikal, anda boleh bertanyakan soalan terbuka untuk mendapatkan anak-anak anda berfikir lebih mendalam mengenai topik yang serius. Ia bukan sahaja mengajar anak-anak anda untuk mengumpulkan dan mentafsir maklumat, malah ia membantu anak anda menghadapi dan menyelesaikan masalah tersebut.