#TAJTravel – Singgah Di Tempat Ini Jika Anda Bercuti Di Bali, Indonesia
Jika anda sebut mengenai Bali, pasti ramai terbayang akan keindahan pantai di tempat tersebut. Bali adalah salah satu destinasi pelancongan paling popular di dunia, selain turut dikenali sebagai ‘Pulau para Dewa’ yang merupakan antara tempat paling indah di dunia. Ia dikelilingi oleh lautan biru dan kawasan pantai yang keemasan.
Untuk topik hari ini, Tajria akan berkongsi kepada anda tempat-tempat yang anda boleh singgah di Bali, Indonesia. Berikut adalah senarai pantai yang boleh anda lawati:
Pantai Kelingking, Nusa Penida
Nusa Penida mempunyai banyak kawasan yang menarik dan menakjubkan yang boleh anda lawati. Antara kawasan yang anda boleh lawati adalah Pantai Kelingking yang mempunyai tebing-tebing berbentuk Tyrannosaurus Rex. Pantai ini terletak di kampung Bunga Mekar, di barat daya Pulau Nusa Penida, yang mengambil masa kira-kira 40 hingga 50 minit untuk perjalanan dari Sanur. Ia merupakan sebuah pantai terpencil yang indah dengan tebing tebing yang curam, perairan biru dan pasir pantai yang putih. Jika anda mendaki di puncak kawasan tersebut, anda boleh melihat pasir putih yang diliputi oleh batu kapur yang terkenal yang menjangkau ke Lautan Hindi.
Pantai Pink, Lombok
Jika anda ingin melihat pantai yang jernih sehingga menampakkan ikan kecil dan batu karang yang cantik, anda boleh berkunjung ke Pink Beach atau Pantai Merah Jambu. Pantai ini merupakan salah satu tarikan pelancong yang baru diperkenalkan di Lombok Timur. Bagi anda yang ingin mengunjungi pantai ini, masa terbaik untuk berada di sana adalah sekitar pukul 12:00 hingga 3:00 petang, kerana warna pasir lebih cerah dari pantulan cahaya matahari dan air biru yang jernih.
Pulau Padar Besar
Pulau ini terletak berhampiran Taman Negara Komodo selain dikelilingi oleh pulau-pulau kecil yang digelar Pulau Carribean Indonesia. Ia juga merupakan salah satu pulau unik yang mempunyai 3 pantai dengan warna yang berbeza iaitu pantai berwarna putih, hitam dan merah jambu. Pantai pasir hitam berasal dari volkanik yang mana terdiri dari pelbagai mineral gelap. Sementara warna merah jambu pula adalah disebabkan oleh batu karang yang hancur yang bertaburan di tepi pantai.
Pantai Seminyak
Jika anda mencari lokasi percutian yang menarik di Bali, Pantai Seminyak adalah pilihan yang tepat. Ia terletak di antara Kuta dan Legian di kawasan bandar gabungan Bali barat. Seminyak adalah kawasan pantai peranginan yang paling moden dan mewah di Bali. Di sini, anda tidak perlu risau untuk mendapatkan restoran, kafe, hotel dan resort yang menarik untuk dikunjungi.
Pulau Wakatobi
Sekiranya terdapat satu destinasi yang anda ingin lawati, jangan lupa untuk tambah Pulau Wakatobi dalam senarai anda. Pulau ini merupakan sebuah pulau yang indah dan terpencil di Jawa Timur. Berbanding pulau yang lain, ia dikategorikan sebagai pulau yang agak kurang maju di Bali tetapi bagi anda yang ingin mengetahui budaya masyarakat kampung di Jawa Timur, Wakatobi adalah pilihan yang terbaik.
Kesimpulan
Bukan itu sahaja, Bali juga mempunyai banyak tarikan lain untuk dikunjungi dan dilawati seperti kuil, gua, air terjun, muzium dan pasar. Bagi anda yang menyukai aktiviti lasak dan pengembaraan pula, anda boleh menikmati pelbagai jenis sukan air dan kanopi hutan yang menyeronokkan. Secara ringkasnya, terdapat pelbagai tarikan yang boleh anda cuba di Bali. Segala aktiviti yang anda inginkan semuanya ada di Bali. Jadi, rancang percutian anda dan rasai keindahan alam semulajadi di negara tersebut. Selamat mencuba!