Carian
Sinki Tersumbat? Tak Perlu Panggil Tukang Paip – Ikuti 5 Cara Mudah Ini
December 4, 2019 Lina Rosli

Sinki Tersumbat? Tak Perlu Panggil Tukang Paip – Ikuti 5 Cara Mudah Ini

Sekiranya anda tertanya-tanya mengapa saluran sinki rumah anda tidak mengalir dengan lancar dan mengeluarkan bau, ia adalah berkemungkinan adalah disebabkan oleh sinki tersumbat. Jika ia berlaku, anda perlu menyelesaikannya dengan kadar segera. Jangan biarkan masalah ini berlanjutan lebih lama kerana ia akan membuatkan keadaan menjadi lebih teruk. Saluran yang tersumbat boleh menyebabkan paip pecah sekaligus boleh menjadikan sinki rosak.

Kebiasaannya, masalah sinki tersumbat ini adalah disebabkan oleh pembuangan sisa makanan pepejal besar yang tak dapat dihancurkan. Ini termasuk makanan dan bahan-bahan yang tidak mudah hancur seperti makanan berserat, telur dan barang bukan makanan dan kotoran minyak. Jadi bagi menangani masalah ini, anda boleh mengikuti beberapa cara mudah yang boleh dilakukan sendiri tanpa memerlukan bantuan tukang paip.

brown ceramic sink

Air Panas

Jika anda sering membuang minyak atau kotoran berlemak terus ke sinki, ia mungkin akan tersumbat disebabkan oleh minyak-minyak yang telah keras di dinding-dinding paip. Ini adalah penyelesaian yang paling mudah dan kos efisyen. 

Anda boleh menuangkan air panas ke dalam sinki dan tunggu untuk beberapa ketika. Sekiranya air tersebut masih bertakung dan tidak bergerak, berikan masa untuk air tersebut sejuk dan mengeluarkannya semula untuk mencuba lagi. Anda mungkin perlu mengulangi proses beberapa kali untuk membersihkan kotoran yang melekat.

Cuka dan Serbuk Penaik

Pertama sekali, anda perlu membersihkan sinki dengan mengeluarkan air dahulu. Tuangkan secawan serbuk penaik atau baking soda ke dalam lubang singki, diikuti dengan jumlah yang sama cuka putih atau epal cider. Biarkan campuran tersebut selama 15 hingga 20 minit. Seterusnya, alirkan air panas untuk melihat jika sinki telah lancar atau masih tersumbat.

Garam dan Serbuk Penaik

Ini adalah satu lagi kombinasi yang boleh berfungsi untuk melancarkan saluran sinki yang tersumbat. Campurkan secawan serbuk penaik dengan setengah cawan garam, dan tuangkan ke dalam sinki. Biarkan campuran itu selama beberapa jam, kemudian siram dengan air mendidih. Anda boleh mengulangi proses ini jika masih tidak berhasil.

Plunger 

Sekiranya cara di atas masih tidak berhasil untuk sinki anda, anda boleh cuba menggunakan plunger. Sekiranya anda mempunyai dua sinki, tutup lubang yang tidak tersumbat dengan kain basah atau penutup. Letakkan pelocok dengan kuat di atas sinki yang tersumbat dan tarik dengan kuat beberapa kali. Apabila selesai, cuba siramkan saluran dengan air suam.

Perangkap P atau P-trap

P-trap terletak di lengkung paip di bawah sinki, yang mana ia biasanya dipasang di dalam kabinet. Longgarkan dan cabut perangkap P pada paip di sinki dan kemudian bersihkan apa-apa yang terperangkap. Kemudian, tukar dan ketatkannya semula dan cuba mengalirkan air melaluinya.

____________________________________________________________________________________

Untuk mengekalkan kelancaran sinki, anda boleh menapis sisa makanan sewaktu membasuh pinggan dan mangkuk.  Bukan itu sahaja, elakkan daripada membuang kotoran, kopi atau minyak di bawah saliran dapur anda, dan pastikan anda mengalirkan air yang banyak ke dalam sinki selepas setiap penggunaan. Sudah tentu, lebih mudah untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku berbanding menguruskannya selepas berlaku.

Komen