Sindrom Kleine-Levin- Betulkah Sleeping Beauty Itu Wujud?
Pernahkah anda mengalami masalah atau gangguan sewaktu anda tidur? Yang mana anda akan berasa mengantuk untuk tempoh waktu yang lama iaitu sama ada beberapa hari atau minggu. Masalah ini dinamakan sindrom Kleine-Levin (KLS), yang juga dikenali sebagai sindrom “Sleeping Beauty“. Ia merupakan gangguan neurologi yang jarang berlaku yang disifatkan kepada gangguan hipersomnolensi berulang iaitu masalah tidur yang berlebihan, makan yang berlebihan dan perlakuan yang abnormal.
Sindrom ini jarang berlaku dalam kalangan individu yang mana ia dianggarkan sekitar satu daripada satu juta. Kebiasaannya, individu yang mengalami masalah ini akan tidur di antara 12 hingga 24 jam sehari yang mana mereka hanya akan bangun untuk makan dan menggunakan tandas.
“When they wake, they really want to eat a lot and they’re not normal,” said Dr. Robert Schoumacher, professor of pediatrics at the University of Tennessee Health Science Center.
Apakah Simptom Kleine-Levin?
Apabila seseorang menghadapi sindrom KLS, ia akan menyebabkan individu tersebut mengalami gejala seperti kekeliruan (disoriented), berhalusinasi, lesu dan menjadikan emosi mereka tidak stabil sewaktu mereka sedar (apathy).
Selain itu, individu dengan sindrom Kleine-Levin mungkin mempunyai keinginan atau nafsu makan yang tidak dapat dikawal (hyperphagia compulsive). Secara amnya, mereka tidak akan mengadu apabila terlalu lapar tetapi biasanya mereka cenderung untuk mengambil makanan yang tersedia, tanpa mengira keadaan makanan, kualiti dan lain-lain. Kebanyakan individu dengan sindrom Kleine-Levin mungkin mengalami peningkatan berat badan akibat hyperphagia compulsive. Dalam sesetengah kes juga, individu dengan sindrom Kleine-Levin juga menunjukkan gangguan seksual yang tidak normal (hypersexuality). Sesetengah individu yang terjejas mungkin akan turut menunjukkan tanda-tanda seperti kemurungan atau kebimbangan.
Apakah Rawatan Yang Boleh Dilakukan?
Setakat ini, tidak ada rawatan yang pasti untuk sindrom Kleine-Levin, namun doktor mungkin memberi rawatan seperti ubat-ubatan tertentu untuk mengurangkan risiko dan faktor-faktor yang memberi kesan yang lebih teruk. Ubat perangsang seperti modafinil dan methylphenidate boleh mengatasi kesan hipersomnia, namun ia tidak dapat mengurangkan gangguan kognitif yang berkaitan.
Bagi anda yang mungkin mengalami simptom dan masalah ini, anda disarankan untuk mendapatkan khidmat dan nasihat daripada pakar atau doktor. Pengambilan setiap pil dan ubat-ubatan juga perlu disemak dengan pakar yang terlibat.
Sumber: Rare Disease GOV , Rare Disease Org