#TAJSuggest- Stokin Boleh Buat Anda Tidur Lena?
Tidur adalah satu proses atau aktiviti yang sangat penting dalam kehidupan setiap orang. Hal ini kerana manusia menghabiskan masa sekitar satu pertiga daripada aktiviti harian dengan tidur. Institut Kesihatan Nasional mengatakan bahawa tidur penting untuk otak dan tubuh berfungsi dengan normal.
Tahukah anda bahawa tidur dengan memakai stokin dapat membantu anda tidur dengan lebih cepat? Hal ini disebabkan oleh suhu badan yang sesuai yang membuatkan badan menjadi selesa dan mudah untuk tidur. Suhu badan memainkan peranan yang penting dalam kitaran tidur.
Jadi, bagaimana stokin kaki dapat memberi sesuatu kesan kepada tidur seseorang? Menurut kajian yang dilakukan pada tahun 2007, pemakaian stokin sewaktu tidur dapat membantu memerangkap dan mengawal suhu dalaman badan individu yang mana berkait rapat dengan proses thermoregulation.
Secara amnya, suhu badan seseorang jatuh dan menurun pada waktu malam. Kemudian, ia akan mula meningkat pada waktu awal pagi sebelum anda bangun. Oleh itu, bagi mendapatkan tidur yang sempurna, anda perlu mendapatkan suhu badan yang ideal. Seperti Goldilocks, jika badan anda terlalu panas atau terlalu sejuk, ia akan lebih cenderung untuk membuatkan anda tersedar atau bangun dari tidur dengan lebih mudah.
Peningkatan suhu di kaki dan tangan membuat saluran darah mengembang dan membesar yang mana tindak balas ini dipanggil vasodilation. Ia akan melepaskan haba melalui kulit dan membantu menurunkan suhu badan seseorang dan seterusnya menghantar mesej kepada otak bahawa ia adalah waktu tidur.
Suhu bilik tidur yang dicadangkan adalah di antara 60 dan 67 darjah Fahrenheit untuk tidur yang optimum. Dengan ini, badan boleh mengalirkan darah dengan baik sekaligus membantu badan anda mengekalkan suhu yang konsisten semasa anda tidur.
Bukan itu sahaja, tidur dengan memakai stokin juga mencegah Raynaud. Raynaud adalah penyakit yang memberi kesan kepada saluran darah dalam kulit sewaktu sejuk atau stress. Sekiranya individu tersebut mengalami masalah Raynaud, ia akan menyebabkan aliran darah ke tangan dan kaki berkurang. Akibatnya, jari dan jari kaki mula berasa sejuk. Bukan itu sahaja, ia juga boleh menukar warna badan menjadi putih atau biru.
Bagi anda yang mengalami serangan Raynaud, anda disarankan untuk mendapatkan rawatan dan khidmat doktor. Oleh itu, dengan memakai stokin kaki ketika tidur boleh membantu mengurangkan masalah kesukaran untuk tidur.