Trek Gunung Kinabalu Adalah Ke-12 Terbaik Di Dunia – Sesuai Untuk Semua Lapisan Umur
Bagi anda yang gemarkan aktiviti lasak dan mencabar, pasti anda tidak akan melepaskan peluang untuk menawan beberapa gunung di seluruh dunia. Tidak kira dalam negara atau luar negara, pengalaman mendaki ini semestinya memberikan kepuasan yang tidak terhingga apabila anda tiba di puncak. Oleh itu, Tajria hari ini akan berkongsi kepada mengenai tips dan persediaan sebelum anda ingin mendaki Gunung Kinabalu, Sabah.
Gunung Kinabalu adalah gunung yang tertinggi di Asia Tenggara yang mana ketinggiannya mencapai 4095 m dari atas paras laut. Lokasi gunung ini adalah bertempat di Taman Negara Kinabalu di Kepulauan Borneo.
Tempoh masa mendaki: 2-3 hari
Waktu mendaki yang sesuai: Februari, Mac dan April (Elak mendaki pada bulan Oktober hingga Januari)
Bajet mendaki: RM250
Ia terdiri daripada permit mendaki (RM100), bayaran panduan (RM70-100), insurans (RM7), Timpohon Gate (RM10-30), penginapan di Laban Rata (RM50-60) dan masuk ke Taman Negara Kinabalu (RM15).
Pengangkutan ke dan dari Taman Negara Kinabalu, kos makanan dan peralatan tidak termasuk dalam harga ini.
Trek Kota Belud Atau Trek Ranau?
Pendaki mempunyai pilihan untuk memilih antara dua laluan mendaki untuk tiba di puncak Gunung Kinabalu, iaitu Kota Belud dan Ranau. Untuk kedua-dua trek ini, kebanyakan individu lebih gemar melalui laluan Ranau berbanding Kota Belud, yang mana jarak Ranau ke Sayat-sayat adalah 1270 m, manakala Kota Belud ke Sayat-sayat adalah 1100 m.
Kedua-dua trek ini akan bermula di Panabalan @ Laban Rata. Perbezaan ketara untuk trek ini adalah:
Tahap kesukaran trek:
Untuk laluan Kota Belud, trek ini boleh dikatakan agak mencabar (sederhana susah) yang mana pendaki akan bergantung banyak pada tali selain laluan trek yang lebih curam & lebih mencabar.
Sementara laluan Ranau pula adalah lebih senang dan mudah kerana trek tersebut mempunyai tangga batu dan tidak terlalu curam.
Bilangan pendaki:
Bagi pendaki yang ingin melalui laluan Kota Belud, ia tertakluk kepada bilangan 30 orang pendaki dalam masa satu hari selain hanya pendaki berumur 18 tahun ke atas sahaja dibenarkan untuk melalui laluan tersebut.
Laluan Ranau pula tidak mempunyai had bilangan yang tertentu untuk naik selain boleh dinaiki oleh semua lapisan umur.
Kebenaran mendaki:
Selain itu, pendaki juga perlu mendapatkan kebenaran khusus dari Taman Autoriti Sabah untuk trek Kota Belud sahaja.
Keadaan trek mendaki:
Kota Belud: Trek mendaki diperbuat daripada granit dan terdapat kawasan yang telah dipasang kayu terutamanya pada peringkat awal. Untuk bahagian terakhir sebelum tiba di Sayat-sayat, ia boleh dikatakan agak mencabar yang mana beberapa bahagian berada pada curam 60 darjah.
Ranau: Ia hadir dengan tangga kayu dan trek yang diletakkan batu memanjat selain tali juga dipasang untuk memudahkan pendaki mendaki melalui bahagian tertentu jejak. Secara keseluruhannya, trek Ranau adalah mudah dan selamat untuk pendaki biasa.
________________________________________________________________________
Nota: Pendakian mengambil masa dua hari. Pendaki mendaki sekitar 6 km ke Laban Rata pada hari pertama yang mengambil masa empat hingga lima jam, sebelum sambung mendaki ke puncak pada awal pagi. Perjalanan pulang dari Laban Rata ke puncak gunung boleh mengambil masa sekitar enam hingga sembilan jam. Untuk turun, pendaki akan mengambil masa tiga hingga empat jam sebelum tiba di ibu pejabat Taman Negara Sabah.