Trend Hijab Premium Akan Mendominasi Industri Fesyen Muslimah?
Perkembangan industri fesyen Muslimah di Malaysia dilihat naik mendadak sejak kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi perkembangan dalam kategori tudung atau hijab. Jika kita lihat, trend hijab di Malaysia boleh dikatakan berkembang dengan pesat tidak kira di bandar-bandar besar atau kawasan luar bandar.
Bercakap mengenai peningkatan industri fesyen Muslimah, pertumbuhan jenama-jenama tempatan untuk pasaran tudung dan skarf boleh dikatakan semakin meningkat dan sangat kompetitif. Dan yang lebih mengejutkan adalah, permintaan untuk tudung premium juga turut meningkat.

Bagaimanakah penggunaan hijab premium kini menjadi satu trend di Malaysia? Bagi menjawab persoalan ini, perkembangan industri hijab di Malaysia bukan sahaja memfokuskan penggunaan dalam tuntutan harian, malah ia juga bagi mencerminkan yang mana dengan hijab juga individu masih boleh tampil bergaya dan dalam masa yang sama masih mengekalkan ciri-ciri muslimah. Untuk pasaran hijab premium, ia memfokuskan kepada kualiti kain dan rekaan kontemporari yang sesuai untuk golongan profesional dan bukan Islam juga.
Antara jenama tempatan yang kini menjadi pilihan ramai individu di Malaysia termasuk Duckscarves, Naelofar Hijab, Ariani, Bawal Exclusive, LILIT, Warnaa dan banyak lagi. Jenama-jenama ini menawarkan pelbagai pilihan hijab yang berbeza corak, material dan warna. Ia juga hadir dengan pilihan gaya hijab iaitu bawal, selendang, instant shawl, pleated dan banyak lagi.
Bukan itu sahaja, untuk variasi tudung premium ini juga menawarkan aksesori dan hiasan lain yang menjadikannya lebih mewah dan eksklusif. Ia dihiasi dengan batu kristal Swarovski, mutiara dan renda yang menjadi pilihan kebanyakan wanita masa kini.
Di era Instagram dan media sosial juga, selebriti, ikon fesyen, pereka fesyen sedikit sebanyak mempengaruhi permintaan hijab premium di Malaysia. Menerusi ikon-ikon ini, penggunaan hijab kini dilihat lebih diterima umum selain dapat memberikan imej yang lebih positif dan baik untuk para muslimah. Hal ini kerana, penawaran hijab tidak lagi terhad untuk individu muslim di Malaysia sahaja, ia juga boleh digunakan oleh setiap wanita muslim dan bukan muslim di seluruh dunia sekaligus menjadikan penggunaan hijab lebih meluas. Jadi, adakah trend ini akan kekal pada tahun 2020?