Memanaskan Semula Nasi Boleh Menyebabkan Keracunan Makanan?
Benarkah nasi yang dipanaskan semula boleh menyebabkan keracunan makanan? Jawapannya adalah ya. Ia bukanlah disebabkan proses memanaskan semula nasi tetapi ia adalah disebabkan oleh bakteria yang terhasil pada nasi apabila ditinggalkan lebih dari 4 jam pada suhu bilik.
Beras mentah atau beras yang belum ditanak mengandungi spora iaitu sel yang mampu menghasilkan semula bakteria yang dikenali sebagai Bacillus cereus. Bacillus cereus adalah bakteria yang sering dijumpai di dalam tanah dan pelbagai jenis makanan, termasuk beras, kentang, pasta, sos, puding, sup dan pastri.
Beras yang telah dimasak tidak semestinya dapat membunuh bakteria. Jadi apabila nasi dibiarkan sejuk pada suhu bilik, Bacillus cereus akan terus membiak dan menghasilkan toksin pada makanan.
Kebiasaannya, tindak balas bakteria ini akan muncul selepas satu hingga lima jam. Antara simptom yang mungkin akan dialami oleh kebanyakan individu termasuk loya, muntah dan cirit-birit dan biasanya akan berlangsung selama sehari.Bukan itu sahaja, bakteria ini juga turut membiak dengan cepat dan pantas yang mana boleh menghasilkan toksin yang menyebabkan muntah atau cirit-birit.
Oleh itu, anda disarankan untuk tidak meninggalkan nasi yang telah dimasak untuk tempoh masa yang lama pada suhu bilik. Hadkan tempoh yang ditinggalkan kurang daripada 2 jam sebelum anda ingin memanaskannya semula. Bukan itu sahaja, elakkan daripada menyediakan makan terlalu awal dan merancang untuk memanaskan semula apabila perlu. Dan ingat bahawa, simpan makanan sejuk di bawah 40 darjah F, manakala makanan panas melebihi 140 darjah F.
Kesimpulannya, penjagaan makanan adalah amat penting bagi memastikan keadaan makanan tersebut tidak membawa kemudaratan pada masa hadapan. Anda disarankan untuk menyimpan nasi yang dimasak dengan cara yang betul untuk memastikan nasi tersebut boleh tahan lebih lama.
Rujukan: OSU.EDU – Bacillus Cereus