Tetapkan Azam Tahun Baru – 5 Perkara Yang Anda Boleh Pertimbangkan

Kurang daripada 24 jam sebelum masuk ke tahun 2020, yang mana pasti ramai dalam kalangan individu yang sedang mengambil kira azam dan matlamat yang ingin dilakukan pada Tahun Baru. Meletakkan matlamat dan resolusi adalah salah satu cara yang baik dan produktif sebelum melangkah masuk ke tahun baru. 

green Christmas decor with New Year greetings

Untuk memulakan perjalanan hidup yang baru, anda boleh melakukan perubahan positif dengan menangkis tabiat buruk, menjana idea-idea yang lebih kreatif dan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Mungkin ada dalam kalangan anda yang mahu menurunkan berat badan, memiliki rumah atau kereta baru ataupun ingin memperbaiki kelemahan diri seperti meningkatkan keyakinan dan bermacam-macam lagi. Walau apapun azam dan matlamat anda untuk tahun 2020, perkara yang paling penting adalah proses dan cara untuk mencapai matlamat yang telah anda tetapkan.

Terdapat 5 perkara yang anda ingin pertimbangkan untuk tahun baru ini:

Tetapkan matlamat yang jelas

Bagi anda yang ingin memulakan perjalanan baru dalam hidup anda, adalah amat penting bagi anda untuk menetapkan pencapaian anda dengan lebih jelas. Hal ini kerana, anda boleh mengambil kira perkara-perkara yang diperlukan dengan lebih mudah dan teratur. Bukan itu sahaja, apabila ia dipersembahkan dengan jelas, ia dapat membantu anda untuk melihat semula jika terdapat sebarang kesalahan yang perlu diperbetulkan. 

Sebagai contoh, jika anda seorang pelajar, anda semestinya ingin mendapat keputusan yang cemerlang dalam subjek yang diambil atau dipelajari. Bagi menjadikannya lebih mudah untuk dicapai, anda perlu menetapkannya dengan lebih khusus lagi seperti, memperolehi gred A untuk subjek Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan lain-lain. Dengan ini, anda boleh lihat nilai yang perlu anda dapatkan untuk azam anda.

Ketahui potensi diri

Selepas mengetahui matlamat dan tahap pencapaian, anda juga perlu mengetahui potensi dan kelemahan diri. Apabila anda mengetahui potensi diri, ia membantu dalam menggunakan potensi secara maksima bagi mendapatkan semua peluang yang ada. Selepas itu, anda juga boleh mengurangkan kelemahan anda dengan memperbaiki dan meningkatkan kredibiliti.

Apakah yang dimaksudkan dengan potensi diri? Potensi diri adalah nilai utama dalam diri yang mana bersesuaian dengan kehendak industri. Oleh itu, kenali diri anda dan cuba untuk padankannya dengan keperluan industri. Dengan ini, ia dapat menjadikan diri dan azam anda sentiasa relevan.

yellow number 20 LED lights

Menilai idea dari perspektif yang berbeza

Himpunkan idea dari perspektif yang berbeza. Mengapa ia perlu? Hal ini kerana, ia membantu anda untuk melihat nilai efektif untuk strategi pengaturan azam yang lebih baik. Menerusi perspektif lain juga, anda dapat mengetahui dan memahami perkara yang anda perlukan dengan baik dan mudah.

Ketersediaan dalam menghadapi risiko

Tidak ada laut yang sentiasa tenang, pasti akan ada ombak yang bergelora yang akan hadir di luar jangkaan anda. Begitu juga azam dan matlamat yang anda ingin capai, ia semestinya tidak akan mudah seperti yang anda impikan. Oleh itu, anda juga perlu sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang risiko yang mendatang.

Terdapat empat cara yang boleh anda pertimbangkan dalam mengurus risiko, iaitu mengelak, mengurangkan, memindahkan dan menerima risiko tersebut. Ini adalah berdasarkan The Classic Four iaitu matriks dalam pengurusan risiko.

Tempoh masa untuk pelaksanaan

Selepas mengetahui kesemua maklumat untuk azam tahun baru anda, tempoh masa untuk pelaksanaan matlamat juga amat penting. Letakkan tarikh siap untuk sesuatu matlamat agar ia boleh dijejaki dengan mudah. Bukan itu sahaja, ia bertujuan untuk mengukur tahap kemampuan dan kekuatan diri. Dengan ini, sasaran akan menjadi lebih praktikal untuk dicapai dan diperolehi.

Kesimpulan

Berdasarkan lima perkara di atas, ia dapat disimpulkan yang mana untuk memulakan perjalanan hidup yang baru, anda perlu menetapkan matlamat yang jelas, mengetahui potensi diri, menilai idea dari perspektif yang berbeza, bersedia menghadapi risiko dan melaksanakan azam mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Selamat mencuba!