Bagi anda yang ingin mencari kelainan dalam penyediaan masakan tengahari, hari ini Tajria akan berkongsi kepada anda resepi baru untuk anda cuba dan pelajari. Menu masakan hari ini adalah Ikan Terutup Masak Sambal. Berikut adalah bahan-bahan yang perlu anda sediakan:

Bahan A (dikisar halus)

  • 1 biji bawang besar (potong kasar)
  • 3 biji bawang merah (potong kasar)
  • 5 ulas bawang putih
  • 2-3 batang serai (dititik)
  • Lengkuas
  • 250 g cili kering (direndam air panas)

Bahan B

  • Ikan cencaru 5-6
  • Garam
  • Gula
  • Asam jawa (1-2 cubit)

Cara Memasak Sambal Tumis:

1. Panaskan minyak di dalam kuali. Apabila minyak telah panas, masukkan bahan A ke dalam kuali dan tumis sehingga garing dan kelihatan minyak pada permukaan sambal. 

2. Seterusnya, jika sambal sudah masak, masukkan air asam jawa dan biarkan selama 2 minit.

3. Kemudian, masukkan gula dan garam secukup rasa. Tumis dan tunggu sambal menjadi lebih gelap. Masukkan sedikit air masak jika terlalu kering. Elakkan menambah terlalu banyak air.

4. Apabila sambal sudah masak, keluarkan dan letakkan sambal tersebut di dalam mangkuk.

Cara Menyediakan Ikan Terutup:

1. Belah isi ikan (belakang) di kedua-dua belah bahagian. Lakukan kepada semua ikan yang ingin dimasak.

2. Kemudian, masuk dan sumbat sambal yang telah dimasak ke bahagian belakang ikan yang telah dibelah. 

3. Setelah selesai, panaskan kuali sambal tadi dan tambah sedikit minyak untuk kuantiti yang sesuai untuk menggoreng.

4. Gorengkan kesemua ikan sehingga masak dan garing mengikut citarasa anda.

5. Akhir sekali, hidangkan ikan terutup masak sambal bersama nasi dan lauk yang lain. Selamat mencuba!

Lihat profil
Lina Rosli

401 artikel di Tajria.