Ketahui Jenis Asid Dalam Produk Penjagaan Kulit
Ada pelbagai jenis asid yang digunakan dalam produk penjagaan kulit. Mari kenali jenis-jenis asid yang digunakan dalam penjagaan wajah.
Alpha Hydroxy Acids (AHA):
Asid Glikolik
- Didapati secara semulajadi daripada tebu atau diperbuat secara sintetik.
- Mempunyai saiz yang kecil, bersifat hidrofilik dan mampu menembusi lapisan terbina atas kulit.
- Pada konsentrasi yang rendah (5 – 10%), ia mengurangkan pelekatan sel-sel keratin di lapisan teratas kulit (epidermis) dan ini menggalakkan exfoliation.
- Berupaya untuk melembapkandan mengekalkan kelembapan kulit.
- Dapat meningkatkan ketahanan dan keanjalan kulit sambil mengurangkan kesan kerosakan matahari. Namun ia dapat meningkatkan sensitiviti kulit terhadap cahaya matahari selepas penggunaan.
Asid Laktik
- Banyak didapati dalam susu namun diperolehi melalui penghasilan secara sintetik untuk tujuan penggunaan dalam industri kosmetik.
- Mempunyai saiz molekul yang lebih besar berbanding asid glikolik.
- Pada konsentrasi yang rendah (5% dan ke bawah), ia digunakan untuk melembapkan kulit manakala pada konsentrasi 5 – 10%, ia digunakan untuk exfoliation.
Asid Malik
- Banyak didapati dalam buah pear dan epal namun diperbuat secara sintetik untuk tujuan penggunaan dalam industri kosmetik.
- Saiz molekul yang lebih besar berbanding asid glikolik dan laktik maka kesan iritasi adalah lebih rendah berbanding kedua-dua asid ini.
- Tidak efektik jika digunakan bersendirian tetapi sangat berkesan jika digunakan bersama-sama asid glikolik dan asid laktik.
- Bersifat sebagai antioksida dan membantu mengekalkan kelembapan kulit.
Asid Tartatrik
- Banyak didapati dalam anggur dan ceri, dan juga dihasilkan secara sintetik untuk industri kosmetik.
- Saiz molekulnya adalah 2 kali ganda asid glikolik.
- Digunakan bersama AHA yang lain bagi tujuan exfoliation.
- Membantu untuk melambatkan penuaan dan menyeragamkan tona warna kulit.
Asid Sitrik
- Banyak didapati dalam buah-buahan sitrus namun dihasilkan secara sintetik untuk keperluan industri.
- Digunakan sebagai antioksida dan penyelaras pH dalam penghasilan produk penjagaan wajah agar produk tidak terlalu beralkali.
- Dalam kuantiti yang banyak (20% ke atas), ia menggalakkan pengelupasan dan pemulihan keratin kulit namun tidak digunakan secara menyeluruh berbanding AHA yang lain kerana kurang efektif dan memedihkan kulit.
Asid Mandelik
- Diperolehi daripada bitter almond
- Kesan penembusan yang lebih lambat berbanding AHA yang lain, maka kesan iritasi akibat penggunaan asid ini adalah rendah.
- Sesuai buat mereka yang ingin berjinak-jinak dengan penggunaan asid dalam produk penjagaan kulit.
- Sesuai untuk kulit yang kering atau sensitif.
- Digunakan untuk mengurangkan kesan pigmentasi, menyeragamkan tona warna kulit dan kesan awal penuaan.
Polyhydroxy Acids (PHA):
- Generasi kedua AHAs
- Membantu untuk membuang sel-sel mati di permukaan kulit , membolehkan kulit tampak lebih halus dan sekata.
- Sesuai untuk kesemua jenis kulit terutamanya kulit yang sensitif, ataupun yang mengalami rosacea atau eczema
- Bersifat hidrofilik dan dapat menarik molekul air dari sekeliling ke permukaan kulit agar kulit kekal lembap.
- Kaya dengan antioksidan yang baik untuk anti-penuaan, menggalakkan pertumbuhan dan pemulihan lapisan epiderma kulit.
- Tidak menyebabkan sensitiviti kulit kepada cahaya matahari selepas penggunaan.
Beta Hydroxy Acid (BHA):
Asid Salisilik
- Diperolehi daripada sumber batang pokok willow.
- Bersifat oleofilik, maka ia mudah menembusi lapisan minyak di permukaan kulit dan liang pori.
- Sesuai buat mereka yang mempunyai kulit berminyak, sensitif, dan kemerah-merahan (rosacea).
- Digunakan untuk exfoliate kulit dengan lembut, bertindak dengan baik untuk mengurangkan kesan jerawat, liang pori yang besar dan blackhead.
Asid Hyaluronik
- Agent pelembap (humectant) yang melembapkan kulit dengan menarik kelembapan dari sekeliling.
- Sesuai untuk semua jenis kulit, tambahan lagi buat mereka yang mempunyai kulit berminyak atau berjerawat yang inginkan pilihan produk yang bebas minyak.
- Membantu menghilangkan tanda-tanda penuaan seperti garis halus; membuatkan kulit tampil lembut, anjal dan berseri.
Asid Askorbik
- Juga dikenai sebagai Vitamin C.
- Sumber daripada tumbuhan diperolehi daripada oren, betik, plum kakadu, camu camu, alga, beri dan banyak lagi. Penghasilan secara sintetik pula diperolehi melalui pemprosesan sirap jagung dan acetone.
- Diperlukan dalam penghasilan kolagen badan.
- Antioksidan berkesan yang mampu menentang kesan buruk pencemaran atau radikal bebas yang disebabkan oleh radiasi UV.
- Digunakan untuk menegang dan menganjalkan kulit, mengurangkan garisan halus dan kedutan di wajah dan menyeragamkan tona warna kulit.
Asid Azelaik
- Bersumberkan daripada gandum, barli dan rai
- Sangat esuai untuk kulit yang bermasalah atau berminyak.
- Bersifat anti radang yang membantu mengurangkan impak jerawat yang meradang.
- Bertindak seperti leave-on exfoliant yang lembut yang dapat menghalang liang pori daripada tersumbat, menghaluskan permukaan kulit dan menghalang pembentukan jerawat baru.
- Membantu untuk menghalang jerawat yang sedang pulih ataupun parut yang baru daripada menjadi gelap.