Nasi tomato antara nasi yang berempah macam nasi briyani, nasi arab dan sebagainya. Sering juga dibuat semasa kenduri kahwin atau majlis perayaan. Lagi-lagi kalau kanak-kanak tengok nasi yang berwarna, mereka sungguh teruja nak makan! Kalau waktu bulan puasa, anda pergi sahaja bazaar ramadhan, ramai penjual yang menjual nasi tomato lengkap bersama lauk ayam merah dan acar.. Satu hidangan boleh mencapai RM6-7 sepinggan. Kalau andadapat buat sendiri di rumah, anda akan dapat lebih banyak serta dapat ikut citarasa sendiri! Harini Tajria nak ajar anda semua cara memasak nasi tomato paling mudah. Rasanya pasti sedap mengalahkan nasi tomato di kedai!



 


      

Bahan-bahan Nasi Tomato :

  • 3 cawan beras basmathi
  • 1 setengah cawan susu cair
  • 1 setengah cawan air kosong
  • 3 sudu butter
  • 3 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • Sedikit halia
  • Daun pandan
  • Rempah 3 sekawan (kayu manis, bunga lawang, buah pelaga)
  • Tomato puree 1 tin kecil
  • Buah tomato
  • Sedikit garam dan bahan perasa
  • Daun ketumbar (untuk hiasan)

Cara-cara membuat Nasi Tomato

1) Ambil 3 cawan basmathi dan basuh sebanyak 3 hingga 4 kali, ketepikan dalam bekas lain terlebih dahulu. Jika anda menggunakan beras biasa juga boleh, ikut sahaja sukatan air seperti biasa.

2) Hiris nipis bawang merah, bawang putih, dan ketuk halia sedikit.

3) Sediakan periuk nasi atas api dapur, masukkan 4 sudu butter dan daun pandan ke dalam periuk. Jika tiada minyak sapi, anda boleh gunakan butter untuk ganti minyak sapi.

4) Kemudian, masukkan bawang merah, putih dan halia. Masukkan juga rempah 3 sekawan, bunga lawang, kayu manis dan buah pelaga. Tumis hingga naik bau wangi. Tidak perlu lama sangat pun, cukup sampai bawang tu dah layu sahaja.

5) Apabila sudah naik bau, boleh masukkan susu cair 1 cawan setengah dan air kosong 1 cawan setengah. Sukatan air ini mengikut beras yag anda gunakan dan setiap beras mempunyai sukatan yang berbeza. Biasanya basmathi, air lebih sikit berbanding beras biasa.

6) Kacau hingga mendidih, selepas itu boleh masukkan tomato puree. Tomato puree yang digunakan haruslah didalam tin tau, jangan tersilap dengan tomato biasa atau pun prego. Jika tin tomato kecil, anda boleh masukkan semua. Disebabkan pati tomato ini tin besar, guna setengah tin sahaja sudah cukup.

7) Kacau lagi hingga mendidih dengan menggunakan api yang sedang. Masukkan sedikit garam dan gula secukup rasa. Kemudian boleh masukkan beras yang sudah dicuci tadi.

8) Seterusnya, kacau sebati beras dan biarkan hingga kering sedikit. Boleh sahaja masukkan didalam rice cooker, atau anda lebih gemar untuk masak sebentar di atas api sebelum masukkan ke dalam rice cooker.

9) Kemudian, masukkan sebiji tomato yang dah dipotong 4 dan masukkan ke dalam rice cooker.

10) Bila dah masuk dalam rice cooker, tunggu masak dahulu kemudian  kacau nasi supaya sebati dalam rice cooker.

11) Akhir sekali, boleh potong daun ketumbar untuk hiasan. Dah siap!

Dah siap untuk dihidang! Warna nasi tomato oren dan yang cantik tanpa menggunakan pewarna tiruan, pasti akan menarik perhatian anak-anak anda untuk makan nasi tomato. Kalau dah nama nasi tomato, tak sah kalau tiada lauk ayam masak merah dengan acar timun. Ianya merupakan lauk paling sinonim dengan nasi tomato. Sangat sesuai untuk anda makan bersama keluarga, berkumpul bersama kawan-kawan dan banyak lagi.

Komen dibawah jika anda mengikuti resepi kami ini!

Lihat profil
Aida Kamalia

140 artikel di Tajria.