Lina Rosli Diterbitkan 14 August 2020

Luangkan Masa Hujung Minggu Anda Di Daun KL

Luangkan Masa Hujung Minggu Anda Di Daun KL

Di bawah dahan Pokok Cafe, Daun adalah sebuah kafe yang pastinya tidak rugi untuk anda cuba bersama keluarga atau rakan-rakan anda pada hujung minggu ini.

Daun terletak di lokasi yang sama dengan Pokok KL, iaitu di Mahsa Avenue International di Jalan Ilmu off Jalan Universiti, Petaling Jaya. Untuk mengaksesnya, anda boleh sama ada menaiki kereta untuk ke sana ataupun berhenti di LRT KL Gateway dan kemudiannya menggunakan perkhidmatan seru-pandu untuk ke kafe berkenaan.

Menariknya di Daun ini, ia tidak sesibuk di Pokok yang mana anda tidak perlu beratur dan menunggu giliran untuk menjamu hidangan anda. Walau bagaimanapun, pilihan makanannya adalah lebih terhad dan tidak begitu meluas. Kafe ini hanya menyajikan manisan dan kek serta pilihan air seperti kopi dan teh yang semestinya menepati citarasa penggemarnya.

Manakala untuk kek yang disajikan juga adalah inspirasi negara di serata Asia Tenggara. Sebagai contoh, kek Sirap Bandung berlapis jello yang sangat lembut dan kek Apam Balik pada harga RM15 sepotong. Untuk saya sendiri, saya telah mencuba kek Burnt Cheesecake yang boleh dikatakan agak enak dan sangat sesuai dimakan untuk anda yang tidak menggemarkan kek yang manis.

Bagi anda yang ingin mencuba sajian di Kafe Daun KL, anda boleh merasai pengalaman yang sangat tenang dan nyaman yang mana sangat sesuai dengan namanya yang indah. Selamat mencuba!