Agoda Berkongsi Pelancong Dengan Ulasan Dan Penarafan Terbaik Mengikut Negara
Menurut Kajian Usage & Attitude Study Agoda 2019, 84 peratus daripada pelancong di serata dunia membaca ulasan dalam talian sebelum membuat pilihan penginapan untuk percutian mereka. Agoda, platform percutian digital yang mempunyai lebih 34 juta ulasan daripada pengguna yang telah disahkan untuk hotel-hotel dan penginapan Agoda Homes mendedahkan pengulas yang memberikan ulasan yang terburuk dan terbaik mengikut negara.
Menurut data yang dikongsikan, pelancong dari China, Mexico, Hungary dan Taiwan merupakan pengulas yang paling banyak memberikan ulasan penarafan (rating) yang baik, manakala pelancong dari India, Turki and Arab Saudi lebih cenderung meninggalkan ulasan penarafan yang lebih rendah.
Skor penarafan yang tinggi dan positif adalah sekitar 8 hingga 10. Data Agoda menunjukkan 77.1 peratus daripada pelancong China memberikan skor yang tinggi (8-10) untuk penginapan mereka, diikuti oleh Mexico (76.5%), Hungary dan Taiwan (75.9%).
Sebaliknya pula, pelancong-pelancong dari India, Turki dan Arab Saudi merupakan tiga negara yang paling banyak memberikan skor penarafan yang rendah di antara 1 hingga 3 dalam ulasan mereka.
Menurut Agoda juga, ulasan adalah cadangan peribadi yang boleh mempengaruhi pengguna dalam pemilihan tempat penginapan mereka. Mereka yang ingin bercuti bersama keluarga mungkin berminat untuk mengetahui ulasan tentang perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh hotel, selain mengambil kira keadaan lokasi dan pengalaman yang diimpikan.
Sementara itu, ahli perniagaan mungkin lebih berminat untuk mengetahui kualiti sambungan internet, dan ada juga pelancong yang mungkin mengutamakan pilihan sarapan atau kemudahan gimnasium.
Sementara untuk pelancong dari Malaysia pula, sekitar 61.7% daripada pengulas Malaysia memberikan penarafan yang tinggi dan 2.7% memberikan penarafan yang rendah.
Sumber data
- Kajian Penggunaan dan Tabiat Perjalanan Agoda (Travel Usage & Attitudes Study) 2019
- Data ulasan yang dikumpul dalam tempoh 1 Jan 2013 sehingga 31 Dis 2019 merangkumi 62 negara asal dengan lebih daripada 10,000 ulasan yang diberikan.
- Skor ulasan Agoda adalah di antara 1-10, iaitu satu adalah skor terendah dan 10 adalah skor penarafan tertinggi.