5 Muzium Yang Boleh Dilawati Di Negeri Selangor
Bagi anda yang meminati sejarah dan ingin menerokai lebih lanjut peninggalan nenek moyang sebelum ini, anda mungkin akan tertarik untuk melawati beberapa muzium yang terdapat di Negeri Selangor.
Muzium-muzium ini dibangunkan dan dinaikkan semula untuk dilawati bagi memperingati jasa wira-wira yang memperjuangkan Tanah Melayu daripada jajahan negara Eropah. Bukan itu sahaja, dengan adanya muzium sejarah seperti ini, ia dapat memupuk semangat cintakan negara dan mengukuhkan perpaduan sesama rakyat.
Muzium Insitu Jugra, Banting
Muzium Insitu Jugra merupakan runtuhan bangunan lama Balai Polis Daerah pada tahun 1878 dibina oleh Pegawai British, Kapten Harry Charles Syers dan kemudian dijadikan tempat pusat pemerintahan dan pentadbiran Kesultanan Melayu Selangor.
Kini, ia berfungsi sebagai muzium dengan 3 ruang pameran yang berisi paparan sejarah. Namun, peraturan di muzium ini adalah tidak membenarkan sesi fotografi. Bagi anda yang ingin melawat, anda boleh layari laman rasmi Visit Selangor atau emel ke muzium ini untuk maklumat lanjut.
- Bayaran masuk: Percuma
- Waktu melawat: 9.30 pagi hingga 5.30 petang (Sabtu hingga Khamis), 9.30 pagi – 12 tengah hari dan bersambung pada pukul 2.45 petang hingga 5.30 (Jumaat)
Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang
Terletak di Klang, Selangor, Galeri Diraja ini dibina sebagai sebuah peringatan kepada Almarhum Sultan Selangor Salahuddin Abdul Aziz Shah. Bangunan muzium ini mula dibina pada tahun 1909 sebagai Bangunan Sultan Sulaiman.
Bangunan ini digunakan oleh kerajaan Inggeris sebagai Pejabat Tanah dan pentadbiran semasa Tanah Melayu British. Selain itu, bangunan ini juga pernah dijadikan markas Jepun semasa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu. Pada tahun 1957 selepas kemerdekaan Tanah Melayu, bangunan ini dijadikan Pejabat Daerah Klang dan mula dibuka sebagai Muzium Peringatan pada tahun 1988 dan mula dirasmikan pada 19 Oktober 2007 oleh Sultan Sharafuddin sehingga kini.
- Bayaran masuk: Percuma
- Waktu melawat: 10 pagi hingga 5.00 petang (Selasa hingga Ahad) dan cuti pada hari Isnin dan cuti umum
Muzium Kuala Selangor, Kuala Selangor
Tapak muzium ini merupakan peninggalan sejarah Selangor seperti batu nisan, senjata, tombak, meriam dan lain lain yang mana ia digunakan pada masa peperangan dari awal Kesultanan Selangor oleh Sultan Salehuddin (Raja Lumu) pada tahun 1766.
Muzium ini terletak berhampiran dengan Altingsburd Lighthouse yang mana pengunjung boleh lawati selepas ke Muzium Kuala Selangor ini. Bagi anda yang ingin melawat, anda boleh emel kepada muzium ini untuk maklumat lanjut.
- Bayaran masuk: Percuma
- Waktu melawat: 9.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari
Pusat Warisan Kajang, Kajang
Penubuhan Bandar Kajang adalah hasil daripada perlombongan bijih timah dan penanaman getah. Pada tahun 1850-an, Daerah Hulu Langat merupakan tempat pertama untuk perlombongan bijih timah yang berada di Rekoh. Sultan Abdul Samad menawarkan untuk membuka lombong bijih timah di Bukit Arang kepada Towkay Chin Ah Chan pada tahun 1868. Pendatang Mandailing dari Sumatera adalah pelopor dalam membuka kawasan hutan di sekitar Kajang.
Untuk maklumat lanjut, sila emel ke pihak berkaitan.
- Waktu melawat: 10.00 pagi hingga 5.00 petang (Sabtu dan Ahad sahaja)
Muzium Sultan Alam Shah, Petaling Jaya
Muzium ini merupakan lambang utama warisan budaya dan pembangunan di Negeri Selangor dan reka bentuk bangunan ini adalah berdasarkan seni bina Minangkabau. Muzium ini ditubuhkan pada tahun 1974 dan dinamakan sempena nama Sultan Hisamuddin Alam Shah, Sultan Selangor yang ke-7.
Muzium ini memaparkan artifak prasejarah penempatan manusia awal dan serpihan gendang dari zaman Gangsa (Dong Son) sejak tahun 600 SM. Malah, muzium ini juga menceritakan sejarah Selangor dari zaman kerajaan Portugis, Bugis, Belanda, Melaka dan Kesultanan Johor sehingga Hari Kemerdekaan.
- Bayaran masuk: Percuma
- Waktu melawat: 9.30 pagi hingga 5.30 petang (Selasa hingga Ahad) dan cuti pada hari Isnin dan cuti umum