Lampu Pada Meter Kereta Membawa Maksud Yang Berlainan – Merah, Kuning, Hijau
Tahukah anda bahawa isyarat lampu enjin yang dipamerkan di meter kereta anda membawa maksud yang tersirat?
Pernah atau tidak anda berasa gugup apabila muncul isyarat lampu yang tidak anda ketahui sewaktu memandu? Jika ya, Tajria hari ini akan berkongsi kepada anda mengapa terdapat perbezaan lampu pada meter kereta anda.
Kebanyakan manual kereta ada menyatakan maksud untuk setiap jenis isyarat lampu pada papan meter. Semestinya ia membawakan maksud yang berbeza, namun anda juga perlu tahu kategori kecemasan untuk setiap lampu isyarat yang muncul. Berikut adalah tiga kategori kecemasan:
Merah: Apabila muncul lampu berwarna merah, ia bermakna anda perlu mendapatkan bantuan dengan kadar segera. Perkara ini kadang kala berkaitan dengan keselamatan penumpang.
Kuning: Jika ia berwarna kuning, keadaan ini bermaksud anda harus berhenti dan mematikan enjin sebaik sahaja anda menemui tempat yang selamat untuk melakukannya. Untuk sesetengah kereta, lampu enjin berwarna kuning bermaksud anda perlu menyemak atau menyiasat keadaan kereta anda.
Hijau atau biru: Apabila ia berwarna biru atau hijau pula bermakna anda sedang mengaktifkan sesuatu. Antaranya adalah lampu tinggi atau juga ia membawa maksud coolant dalam keadaan sejuk yang mana anda baru sahaja menghidupkan kereta.
Memahami maklumat penting ini adalah langkah pertama anda untuk mengawal kenderaan anda selain tidak mudah berasa panik. Dengan ini, anda akan lebih yakin dan dapat membuat pilihan yang lebih baik untuk penyelenggaraan kereta anda. Selamat mencuba!