Rancang Percutian Anda – Kunjungi 10 Tempat Menarik Di Selangor
Bersempena bulan yang penuh bersejarah ini, Tajria ingin berkongsi kepada anda beberapa tempat yang wajib anda kunjungi apabila tiba di Negeri Selangor.
Berikut adalah beberapa senarai tempat pelancongan sekitar Negeri Selangor yang boleh dikunjungi sewaktu pada hujung minggu ini.

Istana Bandar Jugra, Kuala Langat
Istana Bandar ini merupakan Pusat Pemerintahan Kerajaan Selangor sejak lebih dari 100 tahun. Hampir kesemua struktur istana diperbuat daripada batu bata dan kapur. Sementara pintu dan tangga pula diperbuat daripada kayu cengal. Reka bentuk bangunan adalah dari seni bina tempatan dan kolonial British. Kini Istana Bandar ini dijadikan Galeri Diraja atau “living museum” untuk dilawati oleh pengujung malah dijadikan pusat pengajian Al-Quran oleh Jabatan Agama Islam Selangor. Tiada yuran kemasukan dikenakan.
Alamat : Kampung Sungai Ingat, 42700 Banting, Selangor
Waktu Operasi: 9.30 pagi hingga 5.30 petang
Bukit Malawati, Kuala Selangor
Bukit Malawati merupakan Ibu Pejabat perang dan Kubu Kerajaan Kesultanan Selangor sejak abad ke-18 dimana pernah terjadinya pergaduhan antara Belanda, Johor dan Riau. Bagi anda yang ingin melihat matahari terbit dan terbenam, ini adalah kawasan yang paling sesuai. Selain itu, anda juga boleh melihat spesis monyet “Silver Leafed” yang mesra dimana pengunjung boleh memberi makanan kepada mereka. Terdapat juga kemudahan trem disediakan kepada pengunjung yang melawat pada hari minggu. Masuk adalah percuma.

Waktu Operasi: perkhidmatan trem dibuka pada pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang pada hujung minggu dan cuti umum sahaja.
Trem : RM3 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak kanak (3-12 tahun).
Bukit Belanda, Kuala Selangor
Dikenali sebagai Kota Ultrech sempena nama rasmi kapal Belanda semasa zaman penaklukan Belanda yang telah menewaskan Raja Haji Fisabilillah di Teluk Ketapang. Bukit ini juga merupakan kubu pertahanan Belanda yang pertama dan strategik kerana tempatnya yang tinggi dan mudah untuk melihat musuh dari jauh.
.v1.jpg)
Bandar Diraja Klang
Bandar Diraja ini merupakan bandar tertua di Malaysia yang bermula di tebing selatan Sungai Klang. Klang sangat terkenal dalam penghasilan bijih timah seawal abad ke-15. Sebelum ini, Klang merupakan ibu kota kerajaan sebelum ditukar kepada Kuala Lumpur. Tourism Selangor menyediakan pengalaman lawatan ke seluruh Bandar Klang dengan Program Royal Klang Town Heritage Walk Tour. Pelbagai keunikan dan keistimewaan boleh dirasai seperti menikmati kecantikan senibina bangunan bersejarah, mengunjungi kawasan tekstil penenunan masyarakat India dan banyak lagi. Selain itu, pengunjung juga boleh membeli buah tangan di sekitar kawasan Jalan Tengku Kelana atau dinamakan Jalan Little India.
Pantai Morib, Kuala Langat
Pantai Morib ini panjangnya sejauh 3 km menghadap Selat Melaka. Ia merupakan sebuah tapak yang bersejarah penting sewaktu ketika dahulu. Pantai ini telah menjadi tempat rekreasi untuk pengunjung bersantai, melakukan aktiviti riadah, berkhemah dan sebagainya.

Bandar Kajang, Hulu Langat
Kajang merupakan kawasan penempatan suku kaum Temuan sejak tahun 1709. Berhampiran dengan Sungai Langat, Bandar Kajang ini telah membangun dengan jayanya. Sungai Langat sangat penting kerana ia laluan utama dagangan dan pengangkutan hasil lombong bijih timah dan getah ke luar negara seperti ke negara Britain. Selain itu, Kajang juga terkenal dengan makanan Satay Kajang yang digemari oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor
Kuala Kubu Bharu asalnya dikenali sebagai Kuala Kubu yang ditempatkan di bawah Pentadbiran Residen-Residen British. Kuala Kubu menjadi pintu masuk ke Negeri Pahang ketika itu. Disebabkan banjir besar yang melanda, pihak British telah memindahkan Pusat Pentadbiran mereka ke Kuala Kubu Bharu pada 6 Mei 1931. Kini, Kuala Kubu Bharu menawarkan aktiviti eko-pelancongan bagi penggemar aktiviti ekstrem seperti paragliding, white water rafting dan juga water tubing.

Kota Raja Mahadi, Klang
Terletak tidak jauh dari bangunan Majlis Perbandaran Klang, Kota Raja Mahadi ini dibina oleh Raja Mahadi bin Raja Sulaiman ketika kemuncak peperangan Klang iaitu pada tahun 1866. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh perubahan masa dan zaman, struktur bangunan yang tidak kukuh hanya meninggalkan pintu gerbang yang mana menjadi mercu tanda kekuatan empayar Raja Mahadi. Pengunjung boleh singgah di Kota Raja Mahadi ini berdekatan dengan Bangunan Sultan Alam Shah untuk bergambar dan melihat tinggalan pintu bersejarah ini.

Bangunan Tan Boon Chia, Hulu Selangor
Bangunan Tan Boon Chia terletak di Rasa, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Bangunan ini mempunyai 51 buah bilik dan dijadikan sebagai markas pentadbiran sepanjang Tanah Melayu dijajah oleh Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Bangunan ini kini hanya boleh dilihat dan diambil gambar dari luar premis dan pengunjung juga boleh melawat ke Bandar Rasa untuk beristirehat.

_____________________________________________________
Terdapat pelbagai tempat bersejarah dan menarik di Daerah Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Hulu Langat dan juga Hulu Selangor. Jadi, rebutlah peluang untuk melawati tempat-tempat bersejarah di Selangor bersama keluarga anda demi menghargai tokoh-tokoh negara Malaysia terdahulu.