Asthma Malaysia Hadir Dengan Cara Pengurusan Asma Melalui Kempen Kawal Lelah Sebelum Parah

Asthma Malaysia baru-baru ini telah melancarkan Kempen “Kawal Lelah Sebelum Parah” untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang asma. Selaras dengan Hari Paru-Paru Sedunia 2020 dan situasi pandemik Covid-19 yang sedang berlaku kini, kempen ini diadakan untuk memperkasakan pesakit asma dengan ilmu pengetahuan serta kaedah terbaik dalam kawalan asma mereka.

Kempen ini melibatkan pelbagai pertubuhan dari profesion perubatan seperti Pertubuhan Torasik Malaysia (MTS), Persatuan Pakar Perubatan Keluarga (FMSA), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan sektor swasta di mana mempunyai matlamat yang sama iaitu meningkatkan kualiti hidup pesakit asma.

Di Malaysia, terdapat hampir dua juta pesakit asma. Ia merupakan punca kematian kedua di kebanyakan hospital tempatan. Bukan itu sahaja, akibat dari pandemik COVID-19 ini juga turut menambah kebimbangan di kalangan pesakit asma, kerana asma yang tidak terkawal mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap komplikasi dari jangkitan virus tersebut.

Untuk menangani kebimbangan ini, Asthma Malaysia telah bekerjasama dengan beberapa organisasi profesional dan entiti swasta untuk mendidik orang ramai dan pengamal profesional penjagaan kesihatan tentang kepentingan memutuskan rantaian penggunaan SABA secara berlebihan. Kempen kesedaran “Kawal Lelah Sebelum Parah” merupakan salah satu usaha yang memberi tumpuan tentang pendidikan awam dan memperkasakan individu dalam kawalan asma masing-masing.

Penggunaan atau kebergantungan berlebihan kepada SABA ataupun alat sedut pelega akan meningkatkan kadar morbiditi dan kematian. Pesakit yang menggunakan alat sedut pelega lebih daripada dua kali seminggu dianggap sebagai mempunyai kawalan asma yang kurang baik dan ini akan meningkatkan risiko serangan asma yang teruk. 

Justeru itu, pemahaman terhadap alat sedut pengawal sebagai rawatan keradangan adalah amat penting. Jika pesakit hanya menggunakan alat sedut pelega, keadaannya akan berpanjangan dengan risiko komplikasi.

Selain kempen kesedaran “Kawal Lelah Sebelum Parah”, AstraZeneca Malaysia juga turut memberikan sokongan kepada usaha lain dalam meningkatkan pengurusan asma. Ini termasuk meningkatkan kemampuan profesional penjagaan kesihatan melalui siri webinar yang berterusan dan modul e-pembelajaran yang dikenali sebagai program PACE (Primary Asthma Care Excellence). Selain itu, risalah pendidikan mengenai penyakit asma terkini juga disediakan dan diberi kepada pesakit asma melalui program Breathe EaSY. 

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila layari laman rasmi Asthma Malaysia dan juga laman Facebook rasmi.