#100Hari100Aktiviti – Tukar Minuman Manis Kepada Air Mineral
Tidak dinafikan, pengambilan air yang mencukupi dapat meningkatkan prestasi fizikal dan juga memberikan tahap tenaga yang berpanjangan. Bukan itu sahaja, ia juga membantu anda melegakan penyakit dan simptom seperti sembelit, sakit kepala dan banyak lagi.
Minum air yang secukupnya adalah penting untuk kesejahteraan fizikal, emosi dan psikologi anda secara keseluruhan.
Dalam episod kedua dalam pelan 100 Hari 100 Aktiviti ini, Tajria hari ini akan mengajak anda untuk melakukan sedikit perubahan di dalam rutin anda dengan menggantikan minuman manis kepada air mineral semulajadi.
Kebaikan Air Mineral
Salah satu kelebihan lain air kosong mineral adalah membantu mencegah dehidrasi. Oleh itu, jika anda minum air secukupnya, ia akan memastikan sel dan organ dalam badan kita berfungsi secara optimum setiap masa.
Bukan itu sahaja, air mineral yang tersedia mengandungi mineral yang diperlukan oleh badan kita. Antara yang terkandung termasuk kalsium, magnesium, potassium dan sodium.
Seperti yang ramai ketahui, minuman ringan dan minuman bergula boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang. Oleh kerana buah pinggang membantu menyingkirkan toksin dan sisa dari badan, ketidakupayaannya untuk melakukan fungsi tersebut kerana pengambilan gula yang tinggi akan menyebabkan pengumpulan sisa metabolik yang dapat menyebabkan banyak masalah kesihatan yang serius.
Sebaliknya, air mineral atau air biasa (air minuman atau air osmosis) adalah pelincir semula jadi yang membantu buah pinggang berfungsi dengan baik. Dengan minum air secukupnya, buah pinggang anda dapat berfungsi dengan maksimal membantu anda membuang toksin dari darah dan air kencing melalui pundi kencing, sehingga membantu anda menjaga kebersihan badan dan sistem anda dari dalam ke luar.
Oleh itu, pastikan anda mendapatkan jumlah air yang secukupnya untuk badan anda. Tukar minuman manis dan bergula kepada minuman yang sihat dan baik untuk kesihatan. Selamat mencuba!