Dari Mana Asalnya Sos Tomato – Dahulunya Dipanggil Kicap?
Sebelum hadirnya sos tomato yang anda lihat di kebanyakan kedai di pasaran, sos atau kuah ini sebenarnya berasal dari bahan-bahan seperti isi ikan, daging dan soya.
Pada abad ke-17, orang Cina mencampurkan ikan acar dan rempah-rempah dan menyebutnya dalam dialek Amoy iaitu kôe-chiap atau kê-chiap. Sementara dalam mandarin pula disebut guī zhī yang bermaksud air garam acar.
Pada awal abad ke-18, kuah acar ini telah tiba di Malaysia dan Singapura di mana penjajah Inggeris pertama kali mencicipinya. Dan pada waktu itu, perkataan Malaysia-Melayu untuk kuah acar adalah kicap atau kecap. Perkataan itu berkembang menjadi perkataan Inggeris yang dipanggil “ketchup”.
Kicap atau kuah acar yang dihasilkan pada abad yang lepas pastinya bukan sos tomato yang kita kenali hari ini. Sebilangan besar resepi Inggeris memerlukan ramuan seperti cendawan, walnut, tiram, atau ikan bilis dalam usaha untuk menghasilkan rasa sedap yang pertama kali ditemui di Asia. Sos tomato pada awalnya adalah lebih nipis dan gelap, dan sering ditambahkan ke sup, sos, daging dan ikan.
Bagaimana Sos Tomato Bermula?
Walaupun tanaman tomato dibawa ke England dari Amerika Selatan pada tahun 1500-an, buahnya tidak dimakan selama berabad-abad kerana sebilangan orang menganggapnya beracun.
Resepi sos tomato yang pertama muncul pada tahun 1812. Ia ditulis oleh saintis dan ahli hortikultur, James Mease, yang menyebut tomato sebagai “epal cinta.” Resepinya mengandungi buah tomato dan rempah tetapi kekurangan cuka dan gula.
Sebelum cuka menjadi ramuan biasa, pemeliharaan sos berasaskan tomato adalah masalah, kerana buah-buahan akan cepat terurai. Oleh kerana musim menanam tomato tidak lama sekitar 60-70 hari, pengeluar sos tomato harus menyelesaikan masalah pengawetan pulpa tomato sepanjang tahun. Beberapa pengeluar mengendalikan dan menyimpan produk dengan begitu teruk sehingga sos yang dihasilkan mengandungi bahan cemar seperti bakteria, spora, ragi, dan jamur.
Syarikat yang agak baru bernama Heinz memperkenalkan formulasi terkenal pada tahun 1876, yang mengandungi tomato, cuka suling, gula merah, garam dan pelbagai rempah. Mereka juga mempelopori penggunaan botol kaca yang mana memudahkan pelanggan untuk melihat apa yang mereka beli.
Syarikat Pertama Mengeluarkan Sos Tomato
Henry J. Heinz telah mula menghasilkan sos tomat pada tahun 1876 dengan kerjasama Wiley. Heinz mengembangkan resepi yang menggunakan tomato merah masak yang mempunyai lebih banyak bahan pengawet semula jadi yang disebut pektin dan meningkatkan jumlah cuka dan untuk mengurangkan risiko kerosakan. Heinz mula menghasilkan sos tomato tanpa pengawet dan segera menguasai pasaran. Pada tahun 1905, syarikat itu telah menjual lima juta botol saus tomato.
Sumber: National Geographic, History