Carian
Dari Mana Asal Denim – Mengapa Ia Adalah Ikon Fesyen?
September 28, 2020 Lina Rosli

Dari Mana Asal Denim – Mengapa Ia Adalah Ikon Fesyen?

Tidak banyak orang yang mengetahui sejarah sebenar kain denim dan bagaimana ianya boleh terhasil seperti yang kita lihat sekarang. Bagaimana kain ini bermula, dan kini membentuk satu identiti yang tersendiri di dalam industri pakaian yang semakin berkembang.

Denim ini sangat sinonim dengan seluar jeans dan jaket. Ia dilihat telah digunakan meluas pada akhir abad ke-19 sehingga masa kini.

Mengapa Ia Dipanggil Denim?

Perkataan ‘denim’ berasal dari kain yang disebut ‘Serge de Nimes’, yang dihasilkan di kota Nimes di Perancis. Denim adalah sejenis tekstil cotton twill yang berwarna biru bertekstur dan tenunan kain yang tebal.

Kain cotton twill terhasil daripada benang yarn memanjang yang selari dengan tepi fabrik yang terdiri daripada satu urat benang atau lebih yang dipintal. Benang lungsin yang terletak di bawah utas benang dicelup dengan warna biru, sementara benang pakan pula masih kekal berwarna putih polos. Inilah sebabnya mengapa kain mempunyai dua warna, biru di bahagian luar dan putih di bahagian dalam.

hanged jeans lot

Kain denim berasal dari Perancis yang dipanggil “serge de Nimes” yang suatu masa dahulu dianggap sebagai salah satu ibu kota fesyen di dunia. Denim menjadi popular di Amerika Syarikat semasa Gold Rush pada tahun 1853, ketika Levi Strauss membuka sebuah kedai di San Francisco yang menjual barangan seperti kancing, benang dan kanvas untuk khemah. 

Denim Awalnya Untuk Pelombong Emas

Tidak seperti pakaian yang lain yang lebih memfokuskan fesyen dan kecantikan, kain ini digunakan secara eksklusif untuk ketahanannya.

Ideanya bermula apabila beliau ingin menyediakan seluar yang lebih tahan lama untuk pelombong dengan rekaan poket besar untuk menyimpan emas. Jacob Davis adalah salah satu pelanggan Strauss, dan dia menambahkan rivet tembaga ke jahitan dan sudut poket bagi menambah kekuatan seluar. 

blue denim button up jacket

Kemudiannya, David dan Strauss mempatenkan seluar dan mula memasarkan denim secara besar-besaran sekaligus menjadi item fesyen utama.

Jadi persoalannya pada hari ini, bagaimana sepasang pakaian kerja kasar akhirnya menjadi salah satu pakaian pakaian paling bergaya dan ikon fesyen pada masa kini?

Sehingga Perang Dunia Kedua, seluar denim masih tidak begitu popular. 

Namun, ia meningkat naik selepas tahun 1950-an yang mana Elvis Presley adalah salah satu selebriti pertama yang mempopularkan seluar denim. Ikon rock and roll ini juga sering memakai kemeja bersama jaket denim.

Seterusnya, Steve McQueen, Marilyn Monroe dan Montgomery Clift juga membantu mempopularkan seluar jeans denim sepanjang akhir 1950-an dan awal 1960-an. Tidak ketinggalan juga, ikon pop seperti Madonna dan Michael Jackson menambah lagi populariti denim sepanjang tahun 1980-an dan berterusan sehingga tahun 1990-an melalui ikon selebriti seperti Brad Pitt dan Johnny Depp.

Jenama Pertama Yang Menghasilkan Denim

Tidak dinafikan Levi Strauss & Co adalah peneraju awal untuk fesyen denim ini. Jenama ini juga telah mengubah fesyen wanita selamanya dengan memperkenalkan denim Lady Levi’s, seluar denim pertama di dunia yang dibuat khas untuk wanita.

Denim yang pertama diperkenalkan adalah pada tahun 1873 di bawah rangkaian Levi 501. Ia adalah simbol keselesaan dan fleksibiliti untuk fesyen seluar.

Secara keseluruhan, Levi Strauss & Co mempunyai sejarah yang menarik yang mana ada individu yang ingin meniru idea denim di Itali tetapi gagal. Bukan itu sahaja, rekaan seluar dan jaket denim yang masih sama sejak ia dicipta bukan sahaja menjadikan ia sebagai ikon fesyen. Malah, pemakaiannya yang masih lagi relevan pada zaman ini membuktikan penciptaan denim adalah satu kejayaan.

Sumber: Europeana, Britannica

Komen