Fave Kini Mengintegrasi Sokongan Pembayaran Melalui GrabPay
Fave sebelum ini telah pun hadir dengan integrasi sokongan dompet digital GrabPay di Singapura. Bermula hari ini, pengguna kini boleh membuat pembayaran di kaunter secara nirtunai menggunakan GrabPay melalui aplikasi Fave.
Bagi setiap transaksi yang dilakukan, pengguna memperolehi pulangan tunai sehingga 20 peratus dan juga mata ganjaran Grab Rewards untuk setiap transaksi yang dilakukan. Melalui integrasi ini juga, pengguna boleh menambah nilai wang di GrabPay terus di aplikasi Fave tanpa perlu keluar daripada aplikasi.
![](https://tajria.com/rails/active_storage/blobs/eyJfcmFpbHMiOnsibWVzc2FnZSI6IkJBaHBBaFllIiwiZXhwIjpudWxsLCJwdXIiOiJibG9iX2lkIn19--67592be9fdbe7cfe07a1954d26e16d27e1728620/fave.jpg)
Langkah ini juga sekaligus akan memudahkan lagi pengguna dimana pengguna tidak perlu memasang pelbagai dompet digital berbeza hanya untuk sesuatu kedai sahaja, sebaliknya boleh menggunakan satu dompet digital sama untuk transaksi di pelbagai lokasi dengan mudah.
Setakat ini, lebih daripada 17,000 pekedai dan peruncit telah mula menawarkan sokongan pembayaran melalui aplikasi Fave. Pengguna juga boleh menerima pelbagai jenis promosi dan tawaran istimewa untuk setiap kedai yang menyokongnya.
Untuk menggunakan GrabPay di aplikasi Fave:
- Imbas kod QR FavePay atau pilih kedai yang anda kunjungi dan masukkan nilai bayaran yang diperlukan.
- Pilih kaedah pembayaran “Pay with GrabPay” untuk memulakan transaksi pembayaran.
- Hubungkan akaun GrabPay anda di aplikasi Fave.
- Setelah selesai, tekan bayar dan pembayaran anda telah berjaya dilakukan.
Selain GrabPay, Fave juga sedia menyokong pembayaran menggunakan Boost atau mata ganjaran AirAsia Big Loyalty.
Bagi yang berminat, anda boleh muat turun aplikasi Fave di kedai atas-talian App Store dan Google Play Store.