Carian
10 Kafe ‘Instagrammable’ Di Sekitar Selangor Yang Boleh Anda Lawati
October 22, 2020 Lina Rosli

Bagi anda yang gemar mengunjungi kafe-kafe yang menarik dan ingin mengemaskini gambar dan video di akaun Instagram anda, Tajria hari ini akan berkongsi senarai kafe yang boleh anda pergi bersama keluarga dan teman anda di sekitar Selangor.

Seperti yang anda ketahui, Negeri Selangor dikenali dengan banyak tempat pelancongan yang menarik dan juga mempunyai banyak kedai makan yang hipster atau instagrammable café.

Kafe La Fleur X Uniqorn, Subang Jaya

La Fleur x Uniqorn hadir dengan konsep yang bertemakan Unicorn. Kafe ini dihiasi warna merah jambu dengan patung-patung unicorn yang sangat comel untuk pengunjung lawati dan mengambil gambar bersama. 

Untuk pengetahuan anda La Fleur bermaksud minuman panas seperti kopi, coklat panas dan lain-lain lagi manakala “Uniqorn” pula dimaksudkan dengan makanan yang dihias dengan tema “unicorn” tersebut pada wafel, ais krim, pancake dan lain-lain lagi.

Alamat: 01, E1, 02, Jalan Lagoon Selatan, Sunway Geo Avenue, 47500 Subang Jaya, Selangor

Jibby & Co, Subang Jaya

Jibby & Co adalah anak syarikat kepada Serai Group yang mana ia terletak di Empire Subang berdekatan dengan LRT dan KTM Subang Jaya. Ia menyediakan pelbagai jenis hidangan dan menu makanan untuk makan pagi, tengahari dan makan malam yang menyelerakan.

Kafe dua tingkat ini membawakan konsep minimalis dengan hiasan lampu-lampu digantung di siling, tanaman pasu berwarna-warni, tingkap kaca yang besar yang sesuai untuk anda yang gemarkan cahaya semula jadi sewaktu mengambil gambar.

Alamat: Empire Shopping Gallery, Jalan SS 16/1, Ss 16, 47500 Subang Jaya, Selangor

Kueh, Shah Alam

Jika anda ingin menikmati makanan tradisi melayu, anda boleh mengunjungi Kafe Kueh. Ia menyediakan hampir 40 jenis kuih untuk dinikmati. Kafe ini terdiri daripada dua bahagian iaitu di luar dan juga di dalam berserta dengan penghawa-dingin yang selesa dihiasi dengan lukisan mural pada dinding untuk mengambil gambar. 

Bukan itu sahaja, terdapat juga menu lain seperti Laksam, Nasi Lemak, Nasi Hujan Panas, Lempeng, pelbagai jenis minuman dan banyak lagi.

Alamat: No 6 Jalan Renang 13/26 Seksyen 13, Tadisma Business Park, 40100 Shah Alam, Selangor

Kafe Le Gardenz, Seri Kembangan

Bagi anda yang ingin mengunjungi kafe yang bertemakan kontena, anda boleh mengunjungi Kafe Le Gardenz di Seri Kembangan. Anda boleh menikmati kepelbagaian makanan yang disediakan dari hidangan utama hingga pencuci mulut. 

Kafe empat tingkat ini hadir dengan corak-corak dinding yang menarik serta konsep hijau alam semulajadi. Menariknya, ia turut menawarkan menu promosi serta hadir dengan ruang untuk sambutan majlis seperti majlis hari jadi dan juga masjlis lain-lain.

Alamat: Jalan Kpb 5, Kawasan Perindustrian Balakong, 43300 Seri Kembangan, Selangor

The Picnic Table, Kota Damansara

Ingin berkelah tetapi tak suka cuaca panas? Jangan risau kerana The Picnic Table iaitu sebuah kafe di Kota Damansara hadir dengan konsep seakan beriadah di luar tetapi di dalam bangunan. 

Kafe ini dihiasi karpet rumput yang mana pengunjung boleh duduk di lantai sambil menikmati makanan, meja-meja kayu, tempat khusus jamming dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mendapatkan seleksi menu yang lazat seperti sandwich ayam bakar keju, kek lapis dan juga minuman yang pelbagai.

Alamat: 62A-G, The Strand, Kota Damansara The Strand, 21, Jalan PJU 5/21, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor

The Botanist, Cyberjaya

Jika anda berkunjung ke Sepang, singgah sebentar di kafe The Botanist. Ia sebuah kafe dua tingkat yang hadir dengan reka bentuk yang estetik dan cantik. Dekorasi di dalamnya membawakan hiasan perabot, bingkai dinding yang diperbuat daripada kayu. 

Pada luaran kedai pula, dipenuhi dengan kehijauan pokok-pokok alam semula jadi sesuai untuk anda yang ingin bersantai sambil menenangkan diri. Antara menu yang disediakan seperti burger buatan sendiri, kek, kopi, jus buah dan banyak lagi pada harga yang berpatutan.

Alamat: GP3A-03M, LEVEL 3M, Tamarind square, Persiaran Multimedia, 63000 Cyberjaya

Kafe N16, Sekinchan

Terletak di kawasan sawah padi, kafe mini yang unik ini diubah suai daripada bas antik lama. Pengunjung yang ingin datang meluangkan masa bukan sahaja dapat menikmati makanan malah dapat menikmati pemandangan lautan kehijauan padi yang luas. 

Kafe N16 ini menyediakan makanan seperti spaghetti, ayam goreng Korea, kek dan minuman. Anda mungkin akan mengambil masa sekitar 2 jam untuk sampai ke kafe ini jika dari Shah Alam.

Alamat: Jalan Tali Air 4, Tanjong Karang, 45400 Sekinchan, Selangor

Kafe Block, Gombak

Kafe Block ini dibuka pada tahun 2018 yang mana seni bina yang ditampilkan adalah berkonsepkan minimalis moden yang cantik.

Ia membawakan menu citarasa Asian dan Western. Anda boleh mencuba menu Ayam Penyet (Javanese Fried Chicken) terkenal. Bukan itu sahaja, untuk anda yang ingin melakukan majlis, kafe ini boleh dijadikan lokasi majlis yang mampu untuk memuatkan 50 orang pada satu-satu masa.

Alamat: No. 59-G, Lorong Perusahaan Ringan 1, Kawasan Perusahan Ringan Seri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor

Kafe Backstreet, Banting

Kafe Backstreet merupakan salah satu kafe “hipster” di Daerah Kuala Langat. Dibuka pada tahun 2014, kafe ini dihias kreatif dengan hiasan bercorakan tapak tangan dan tulisan menu makanan di dinding dengan menggunakan kapur putih.

Alamat: C-G-, Pekan 4, 19, Taman Seri Bayu Morib, Medan Seri pekan, 42700 Banting, Selangor

Denali & Pinnacles, Bangi

Kafe Denali & Pinnacles hadir dengan susun atur yang berkonsepkan bohemian. Ia sangat sesuai untuk bergambar atau “OOTD” kerana hiasan dan dekorasinya yang pelbagai warna serta menampilkan tekstur unsur-unsur segar dari alam semulajadi.

Alamat: Lot 1-4, Tingkat 1, Pusat Perniagaan Seksyen 3, off, Jalan 3/70, Seksyen 3 Bandar Baru Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

__________________________________________________________________________

Berikut adalah beberapa kafe yang boleh anda lawati. Kafe-kafe ini hadir dengan paparan dekorasi dalaman dan luaran yang unik untuk laman media sosial anda selain turut membawakan hidangan makanan yang sedap dan menjilat jari.

Komen