Operasi E-dagang 24 Jam Tanpa Henti – Apa Kesan Kepada Alam Sekitar?
Yang mana satu pilihan anda? Membeli-belah secara atas-talian atau membeli-belah di kedai dan di pusat membeli-belah?
Seperti yang semua sedari, masa dan wang adalah sesuatu benda sangat berharga. Oleh sebab itu, trend online shopping boleh dikatakan sangat popular sejak dua tahun kebelakangan ini. Melaluinya, anda tidak perlu menghabiskan masa menempuh trafik yang sesak, mencari tempat letak kereta dan beratur panjang untuk membuat pembayaran. Mudah bukan? Anda juga boleh mendapatkan segala barangan keperluan hanya dengan menekan satu butang sahaja.
Operasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu
Selain ia memudahkan dan meminimalkan pergerakan anda, sistem pembelian secara maya ini juga beroperasi tidak kira waktu yang mana anda boleh melakukan transaksi pembelian pada bila-bila masa anda mahukan.
Bergerak selari dengan teknologi, kebanyakan platform jual beli dan edagang juga turut hadir dengan sistem pembayaran yang selamat, masa penghantaran dan proses refund yang mesra pengguna.
Secara kasarnya, sudah tentu perkara ini dilihat sebagai satu perkara yang bagus kepada pengguna dan juga ekonomi negara. Namun, bagaimana pula jika dilihat dari sudut alam sekitar?
Di Malaysia, peningkatan pergantungan pada edagang telah dilihat semenjak PKP dilaksanakan. Peniaga-peniaga mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan yang mana mencatatkan sekitar 60 kali lebih banyak berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Ia sekaligus telah mengakibatkan lambakan barangan dan produk yang telah dipesan dan menunggu masa untuk dihantar kepada penerima.
Impak Online Shopping Kepada Alam Sekitar
Jika anda rasa membeli-belah secara atas-talian lebih mesra alam daripada berbelanja di kedai, maka anda perlu memikirkannya semula.
Menurut laporan American Chemical Society, para penyelidik menganggarkan bahawa berbelanja di kedai fizikal atau brick-mortar menghasilkan pelepasan gas rumah hijau yang lebih rendah daripada memesan produk dari syarikat yang hanya menjual melalui internet.
Hal ini kerana, kekerapan pembelian dan akses untuk pembelian juga adalah lebih tinggi berbanding berbelanja di kedai fizikal. Sebagai contoh, jika anda berada di Johor dan barang yang anda inginkan berada di Indonesia, anda tidak perlu menempah tiket kapal terbang untuk pergi membelinya. Anda hanya perlu ‘Add To Cart’ dan terus boleh membuat transaksi pembayaran dengan pantas. Mudah bukan?
Bukan itu sahaja, apabila anda berbelanja di sebuah kedai, anda akan mengehadkan pembelian mungkin disebabkan faktor kewangan, kehadiran barang di kedai dan banyak lagi.
Mengapa Pembelian Atas-Talian Mencemarkan Alam Sekitar?
Seperti yang anda tahu, pembelian atas-talian menghasilkan lebih banyak sampah pembungkusan yang bermula daripada pergerakan barang dari kilang hingga ke pengguna akhir.
Selain itu, anda juga perlu mengambil kira perlepasan gas rumah hijau, pengangkutan, penyimpanan gudang, pengiriman dan pembungkusan untuk setiap jumlah produk yang dibeli. Analisis menunjukkan bahawa jumlah jejak gas rumah hijau per item yang dibeli lebih tinggi dari kedai fizikal iaitu sebanyak 63%.
________________________________________________________________________
Sekiranya anda ingin berbelanja dengan cara yang lebih mesra alam, anda perlu meneliti kebiasaan berbelanja anda dengan lebih mendalam.
Antara kaedah dan etika yang boleh dipraktikkan termasuk melakukan pesanan atau kaedah pembelian secara kolektif (pengguna) atau menggunakan pita dan plastik pembungkusan lebih kecil tanpa merosakkan bungkusan (pekedai). Bukan itu sahaja, program kitar semula boleh dilaksanakan bagi membantu lebih ramai orang memahami nilai kitar semula dan membantu membentuk semula tingkah laku harian yang positif dalam kalangan pengguna dan pekedai
Sumber: CNN