Perkara Asas Yang Perlu Anda Ketahui Sebelum Membeli Kereta Elektrik Di Malaysia
Nampaknya kenderaan elektrik sepenuhnya adalah masa depan sama ada pemandu suka atau tidak. Dengan semakin banyak negara yang sedang bergerak ke arah pengeluaran kenderaan penggunaan elektrik, ia dijangkakan bahawa pada tahun 2025 kenderaan ini akan menyumbang 30% dari semua kenderaan yang dijual di seluruh dunia menurut laporan penganalisis oleh J.P. Morgan.
Menjelang 2030, penjualan kenderaan elektrik dikirakan akan mula dimiliki oleh kebanyakan pengguna kenderaan di seluruh negara.
Bergerak selari dengan perkembangan teknologi, Malaysia juga turut bersama-sama mengikuti peralihan ke arah gaya hidup mobiliti autonomi yang berhubung.
Pihak-pihak terbabit kini sedang mula tertumpu di dalam teknologi dan kejuruteraan untuk menyediakan fasiliti yang cukup selain memperluas sektor automotif untuk merangkumi Next Generation Vehicles (NxGV), Mobiliti-sebagai-Perkhidmatan (MaaS) dan juga Industri 4.0.
Bukan itu sahaja, inisiatif ini turut merangkumi pembangunan kenderaan cekap tenaga iaitu Energy Effisient Vehicles (EEV) yang mana melibatkan kenderaan elektrik (EV) dan juga Fuel Cell Vehicle (FCV).
Buat masa ini, pihak kerajaan termasuk Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (Marii) telah hadir dengan pelan perancangan peralihan industri automotif sehingga tahun 2030.
Komitmen Harian Penggunaan EV
Kenderaan elektrik (EV) bukanlah pilihan praktikal untuk semua orang. Hal ini kerana, terdapat banyak perkara yang perlu anda pertimbangkan sebelum ingin memiliki satu kenderaan EV. Ia termasuk berapa banyak anak yang anda miliki, perjalanan harian anda untuk bekerja, tabiat memandu dan juga kemudahan untuk mendapatkan sumber daya elektrik untuk kenderaan anda.
Tidak dinafikan, pada masa sekarang kenderaan elektrik berfungsi paling baik untuk penduduk yang tinggal di bandar dan juga golongan muda yang tinggal berdekatan dengan tempat kerja dan tidak mempunyai komitmen yang tinggi di atas jalan raya.
3 Faktor Utama Yang Perlu Diambil Kira
Sebelum ini, kita telah berbincang secara ringkas berkenaan komitmen yang perlu diambil kira sebelum beralih ke kenderaan elektrik. Ia termasuk stesen pengecasan, jarak pemanduan dan juga penyelenggaraan.
Stesen Pengecasan
Seperti yang anda ketahui, masih lagi tidak banyak sumber atau stesen yang menyediakan pengisian tenaga untuk EV. Ia masih lagi tertumpu di kawasan bandar utama sahaja.
Masalah ini boleh menjadi sangat berisiko ketika menempuh jarak jauh dari rumah. Tanpa stesen pengecasan, ia akan menimbulkan kesulitan untuk operasi kereta. Terdapat juga kos tambahan untuk anda yang ingin menyediakan stesen pengecasan sendiri di rumah.
Selain itu, anda juga perlu mengira kos penggantian bateri EV untuk setiap kali selepas tamat tempoh penggunaan bateri.
Sebagai contoh, Nissan Leaf yang ditawarkan pada tahu 2019 hadir dengan kapasiti bateri sekurang-kurangnya 40 kWh. Kereta ini beruapaya menempuh jarak sekitar 250 km dengan sekali caj. Walau bagaimanapun, kelemahan dari kapasiti bateri yang lebih besar adalah masa pengecasan yang lebih lama dengan kadar pengecasan yang sama.
Jarak Memandu
Menurut penganalisa, masalah utama kebanyakan orang tidak ingin menukar kepada EV adalah disebabkan komitmen dan jarak pemanduan yang perlu ditempuhi oleh kereta sebelum kehabisan bateri dan memerlukannya untuk di cas semula. Dengan kekurangan stesen pengecasan, boleh dikatakan kebanyakan orang tidak akan melakukan perjalanan dengan kilometer yang jauh menggunakan EV.
Penyelenggaraan
Kenderaan elektrik (EV) adalah sebuah jentera yang canggih. Mereka juga mahal untuk diselenggara dan diperbaiki sekiranya berlaku kerosakan. Bukan itu sahaja, disebabkan penggunaan EV yang masih lagi sedikit dan tidak meluas di Malaysia, masih lagi ramai mekanik tidak mempunyai kepakaran untuk melakukan penyelenggaraan.
EV atau Hibrid?
Sekiranya anda peka terhadap persekitaran dan menyukai idea tentang pembangunan kenderaan elektrik, tetapi masih ragu-ragu dengan penggunaan EV sepenuhnya maka anda boleh pertimbangkan pilihan kereta hibrid.
Kereta hibrid adalah kenderaan dengan enjin utama yang menggunakan sistem pembakaran dalaman tetapi masih lagi dikuasakan oleh sistem elektrik dengan satu atau lebih motor elektrik dan bateri tambahan.
Hibrid mempunyai dua unit kuasa utama iaitu petrol dan juga elektrik yang mana masih mengekalkan ciri mesra alam berbanding kenderaan biasa. Sekiranya pemanduan anda mempunyai kilometer yang banyak selain merangkumi lebih daripada sekadar perjalanan pergi-balik ke pejabat atau berjalan mencari tempat makan, maka pertimbangkan sepenuhnya untuk pilihan hibrid dan bukannya EV penuh.
Sumber: Nissan Leaf, Toyota