Lina Rosli Diterbitkan 27 October 2020

Mengapa Anda Tidak Boleh Nyahbeku Ayam Menggunakan Air Panas?

Mengapa Anda Tidak Boleh Nyahbeku Ayam Menggunakan Air Panas?

Pernahkah anda pulang bekerja dan tidak sempat untuk mengeluarkan bahan-bahan dari dalam peti sejuk beku, lebih-lebih lagi ayam? Jika ya, apakah yang akan anda lakukan?

Rendam dengan air panas?

Panaskan di ketuhar gelombang mikro?

Atau masak terus ayam yang masih beku?

Perkara ini nampak mudah bukan? Namun, tahukah anda terdapat beberapa perkara yang perlu anda pertimbangkan sewaktu ingin mencairkan ais pada ayam bagi mengelakkan penyebaran bakteria dan juga mengawal daripada bahagian ayam menjadi rosak. 

Oleh sebab itu, ketiga-tiga kaedah di atas adalah sangat tidak digalakkan sewaktu mencairkan ayam.

Grilled Meat

Mengapa tidak boleh mencairkan ayam menggunakan air panas?

Ayam tidak boleh dicairkan dalam semangkuk air panas. Mengapa? Apabila ayam disiram menggunakan air suam atau panas maka ia akan mencetuskan pembiakan bakteria yang ada di permukaan ayam. Ianya akan berkumpul jika dipanaskan pada suhu yang tidak mencukupi untuk membunuh bakteria. 

Walaupun anda telah memanaskan ayam dan beranggapan bakteria telah mati, hakikatnya toksin telah dibebaskan. Bukan itu sahaja, sebilangan bakteria ini boleh mengembangkan endospora kerana tekanan persekitaran. Endospora sangat tahan dengan suhu panas yang tinggi dan juga mampu untuk meracuni ayam sekiranya dibiarkan lebih lama.

Selain itu, menyiram ayam dengan air panas hanya sekadar mencairkan permukaan sahaja dan sedangkan bahagian dalamnya masih tetap beku.

Apa terjadi jika anda menggunakan ketuhar gelombang mikro untuk nyahbeku ayam? 

Sekiranya keseluruhan ayam atau bahagian yang lebih besar dicairkan dalam ketuhar gelombang mikro, ayam akan mula dimasak di bahagian luar sebelum mencairkannya di tengah. Hal ini disebabkan saiz ayam yang besar yang mana memakan masa yang sangat lama untuk ia benar-benar cair. 

Chicken, Roasted, Whole, Grilled, Cooked, Dinner

Namun, untuk potongan yang lebih kecil, dan terutama potongan tanpa tulang, lakukan kaedah nyahbeku menggunakan ketuhar gelombang mikro adalah salah satu teknik yang baik dan menjimatkan masa.

Kaedah Mencairkan Ayam Yang Betul

  1. Sekiranya anda ingin mencairkan beberapa ketul ayam di dalam plastik, pisahkan ayam yang diinginkan terlebih dahulu dan masukkan dalam plastik yang lebih kecil.
  2. Isi mangkuk besar dengan air sejuk. 
  3. Rendam ayam yang di bungkus.
  4. Tukar air setiap 30 minit.

_____________________________________________________________________

Secara umumnya, ayam yang masih beku mengambil masa kira-kira 40 hinga 50 minit untuk nyahbeku dan cukup lembut untuk dimasak. Ia masih bergantung kepada saiz ayam itu juga, jika besar sudah tentu ia akan mengambil masa yang lebih lama.