Kemunculan Rekaan Seni Tekat Pada Jenama Terkemuka – Persaing untuk Fesyen Moden?

Tidak dinafikan, jika kita lihat corak sulaman sangat sinonim dengan fesyen wanita pada masa kini. Sekiranya kita bercakap mengenai sulaman dengan sendirinya, maka pilihan yang paling kerap digunakan adalah cetakan bunga. 

Walau bagaimanapun, ada banyak lagi sulaman lain yang turut menampilkan keunikan yang tersendiri, iaitu seni tekat

Apa Itu Tekat?

Seni tekat merupakan sulaman benang emas ke atas kain jenis baldu yang akan membentuk bunga tekat. Kebiasaannya, ia sering dilihat pada busana klasik golongan bangsawan dan raja-raja. Ia menjadi lambang kemewahan untuk si pemakai.

Menarik mengenai perincian tekat ini, ia menggunakan jahitan tangan. Manakala fabrik untuk timbulkan jahitan tekat pula biasanya dihasilkan pada material fabrik baldu.

Dua jenis tekat yang boleh anda ketahui:

Tekat Timbul Bunga Emas

Tekat jenis ini menggunakan mempulur untuk membentuk corak motif. Mempulur ialah kertas keras yang dipotong dan ditebuk mengikut corak motif. Sulaman benang emas akan menutupi mempulur di atas kain baldu.

Tekat Gubah

Tekat gubah pula tidak menggunakan mempulur sebagai corak gubahan. Hiasan corak tekat gubah diiringi dengan labuci dan manik-manik. Kain dasar tekat gubah adalah dari kain biasa. Kegunaan gubahan tekat adalah bagi menghiasi tudung saji, tepak sirih, kasut pengantin, sejadah, penutup pahar, peralatan upacara perkahwinan, pakaian diraja dan sebagainya.

Kemunculan Elemen Seni Tradisional Dalam Rekaan Fesyen Jenama Terkemuka

Dunia fesyen masa kini juga menyaksikan kemunculan semula pelbagai jenis pakaian dan rekaan corak. Pereka fesyen terkenal mula menampilkan kembali elemen seni lama di dalam industri fesyen. Antaranya jenama yang hadir termasuk Gucci, Christian Dior, Michael Kors dan Virgil Abloh. Mereka telah menggunakan seni tekat pada kebanyakan produk terbaru mereka.

Selain itu, dalam acara India Couture Week 2020, ia mempertontonkan rekaan sari dan beberapa jenis baju tradisional masyarakat India yang lain yang mana menampilkan elemen sulaman pada kain. Para pereka di India Couture Week 2020 mempamerkan koleksi dengan pelbagai jenis idea rekaan pada gaun yang dihiasi dengan bentuk sulaman tangan yang rumit pada kain jenis organza dan ruffle yang besar, serta sut dan jaket dengan elemen sulaman yang moden.

Masih lagi mengenai pemilihan seni sulam dalam acara fesyen yang lain, pereka fesyen dari China, Zhang Yan turut menggabungkan pakaian moden dan budaya tradisional pada acara New York Fashion Week 2019. Menurut beliau, pemilihan seni sulaman adalah untuk menyampaikan mesej dan perasaannya kepada orang lain melalui pakaiannya.

Nampaknya, teknik tekat atau sulaman ini sebenarnya tidak hanya tertumpu pada sesetengah kelompok masyarakat. Malah ia juga sangat sesuai untuk semua jenis pilihan fesyen yang mengimpikan eksklusiviti dan juga keunikan klasik dalam sesebuah koleksi.

Dengan adanya jenama terkemuka dalam melaksanakan inisiatif, ia dapat memperkenalkan warisan seni ini kepada masyarakat umum supaya tidak ditelan zaman.

Bagaimana Teknologi Membantu Menaikkan Semula Kesenian Dalam Industri Fesyen?

Setiap budaya mengembangkan corak sulaman yang unik mengikut warisan seni masing-masing dan sudah tentu kejayaan kemunculan ini sedikit sebanyak dibantu kepesatan perkembangan teknologi.

Dengan adanya teknologi, ia telah membolehkan perbincangan mengenai fesyen dilakukan di serata dunia. Bukan itu sahaja, ia juga membantu dalam meningkat kemahiran tenaga kerja terutamanya dalam mengakses idea dan pengetahuan berkenaan seni tradisional. Selari dengan itu, kemajuan teknologi juga mendorong kebangkitan semula seni sulaman dalam industri fesyen. 

____________________________________________________________

Sebilangan orang menyukai karya atau seni rekaan yang berasal pada dekad yang lalu. Pada awalnya ia tampak janggal untuk digayakan dalam fesyen harian masa kini. Namun, dengan adanya penerapan seni tradisional dalam fesyen model, warisan ini sedikit sebanyak dapat dipupuk sebagai pilihan fesyen masa kini.