Bolehkah Makan Sushi Dengan Kerap? Kesan Makan Ikan Mentah
Siapa yang tidak suka akan sushi, rasanya yang segar dan juga pengalamannya yang unik sudah tentu akan membuatkan anda teringat-ingat tentang kesedapannya.
Namun, adakah ia tidak membahayakan kesihatan, lebih-lebih lagi jika anda mendapatkannya pada kuantiti yang banyak dan juga tempoh yang kerap?
Oleh itu, Tajria ini akan berkongsi lanjut mengenai apa kesan makan ikan mentah kepada kesihatan.
Mentah vs Masak
Seperti yang anda tahu, fungsi memasak adalah untuk membunuh bakteria dan parasit yang boleh menyebabkan penyakit.
Walaupun begitu, sebilangan orang lebih suka tekstur dan rasa ikan mentah yang mana ia sangat popular dalam kalangan individu muda sama ada di dalam negara dan juga luar negara.
Berikut adalah beberapa contoh hidangan ikan mentah:
Sushi: Kategori hidangan Jepun, sushi ini biasanya hadir dengan nasi yang dimasak, cuka dan pelbagai bahan lain, termasuk ikan mentah.
Sashimi: Hidangan Jepun lain yang terdiri daripada ikan mentah atau daging mentah yang dihiris halus.
Poke: Salad Hawaii yang dibuat secara tradisional dengan potongan ikan mentah yang dibumbui dan dicampur dengan sayur-sayuran.
Carpaccio: Ia sering dijumpai di Itali. Carpaccio adalah hidangan yang terdiri daripada daging lembu mentah yang dihiris halus atau ditumbuk.
Terdapat beberapa sebab praktikal untuk memasak ikan di rumah. Memasak ikan di rumah membunuh bakteria dan parasit yang boleh menyebabkan penyakit. Kebiasaannya, kesannya dapat dilihat pada kesan jangka panjang.
Parasit Pada Ikan Mentah
Jangkitan parasit pada manusia merupakan salah satu masalah kesihatan yang utama. Ia bukan sahaja disebabkan ikan mentah, malah diakibatkan oleh air minuman yang kotor atau dimasak dengan tidak betul.
Ikan mentah dapat menyimpan bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan. Sebilangan bakteria, seperti Listeria, Virbio, Clostridium dan Salmonella berpotensi jauh lebih berbahaya dan telah dikesan pada ikan mentah.
Oleh itu, jika anda mempunyai sistem imun yang lemah, maka anda harus mengurangkan atau mengelakkan pengambilan makanan mentah.
Antara individu yang tidak disarankan makan makanan mentah termasuk, orang tua, kanak-kanak, pesakit HIV, dan wanita hamil atau menyusui kerana mereka merupakan golongan yang berisiko tinggi.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kajian di Amerika Syarikat yang mendapati peratusan makanan laut yang diuji positif Salmonella hanyalah sekadar 3 peratus dan hanya 0.012 peratus golongan yang dijangkiti bakteria apabila makan ikan mentah.
Kebaikan Ikan Mentah Yang Anda Tidak Ketahui
Terdapat beberapa faedah kesihatan untuk memakan ikan mentah. Kadang-kadang semasa memasak ikan, bahan cemar boleh terbentuk ketika digoreng, dipanggang atau dibakar yang tidak terdapat dalam bentuk mentahnya. Contohnya ialah ikan yang dimasak di bawah api yang sangat tinggi boleh mengandungi pelbagai jumlah amina heterosiklik (HCA.) Ini adalah bahan kimia yang terbentuk semasa daging otot dimasak menggunakan kaedah suhu tinggi seperti menggoreng atau memanggang terus di atas api yang terbuka. Menerusi kajian makmal, HCA didapati mutagenik, yang bermaksud, mereka boleh menyebabkan perubahan dalam DNA dan itu mungkin merupakan peningkatan risiko barah.
Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa jumlah asid lemak Omega-3, yang bertanggungjawab untuk membantu mengembangkan otak, kesihatan jantung, menjaga kesihatan otak, kesihatan kulit, dan banyak lagi dapat dikurangkan ketika memasak ikan. Omega-3 sangat penting dalam menjaga kesihatan sistem kardiovaskular kita.
Adakah makan ikan mentah selamat dan sihat?
Jawapannya, tidak salah untuk anda memakan ikan mentah. Namun, anda masih perlu mengehadkan pengambilan selain meminimumkan risiko ini dengan membeli ikan mentah dari restoran atau pembekal yang dipercayai yang telah mengendalikan dan menyiapkannya dengan betul.
Walaupun memasak ikan mungkin berkesan untuk mengurangkan pendedahan anda kepada banyak bahan cemar, ia mungkin tidak berfungsi pada semua bahan cemar.
Sumber: UPMC