Ikan Berenang Waktu Tidur – Ikan Pun Ada Sleep-Walking?
Adakah ikan tidur? Jika ia tidur, bagaimanakah caranya tidur?
Seperti manusia, ikan juga memerlukan rehat yang secukupnya. Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana ia tidur?
Pernahkah anda melihat ke dalam kolam atau akuarium yang mana kelihatan ikan seakan berkhayal? Sekiranya anda melihat ikan cukup lama, anda akan mendapati ikan seperti tidak bergerak dan kelihatan melayang di satu-satu tempat seperti sedang mengelamun dengan mata yang terbuka. Adakah mereka tidur?
Ya, mereka sedang tidur.
Ikan atau haiwan kebiasaannya boleh tidur pada bila-bila masa tidak kira siang atau malam. Untuk mengetahui sama ada ikan sedang tidur atau tidak, anda akan mendapati insang mereka bergerak perlahan selain turut akan lambat untuk bertindak balas terhadap perkara yang berlaku di sekitarnya. Ikan tidur dengan mata terbuka, kerana tidak mempunyai kelopak mata.
Menurut kajian, ikan akan berhenti berehat dan juga mengurangkan aktiviti dan metabolisme mereka namun masih tetap berwaspada terhadap keadaan sekeliling jika bahaya. Sebilangan ikan mengapung di tempat dan ada juga yang menjalar ke tempat yang selamat di lumpur atau batu karang.
Tidur ikan tidak sama seperti tidur manusia. Keadaan ikan tidur ini lebih dikenali sebagai suspended animation atau animasi tertangguh yang mana ia tidak akan bergerak untuk jangka masa yang lama selain tidak akan mengeluarkan najis mahupun juga makan.
Sekiranya anda memasukkan makanan ke dalam akuarium pada waktu tersebut, anda mungkin menyedari bahawa ikan memerlukan masa lebih lama untuk bertindak balas terhadap makanan yang diberikan.
Adakah ikan berenang waktu tidur?
Sebilangan besar ikan perlu terus bergerak atau menggerakkan siripnya walaupun mereka sedang tidur. Hal ini bagi memastikan aliran air yang berterusan melewati insang untuk mengekalkan tahap oksigen yang tepat di dalam badan mereka.
Sumber: Ocean Service, Futurity