Google Menyasarkan Pertumbuhan Sehingga 75% Untuk Segmen Barangan Runcit Atas-Talian
Jika 5 tahun dahulu, belian barangan runcit dilihat sebagai satu rutin yang sering dilakukan pada hujung minggu sahaja. Lebih-lebih lagi bagi golongan profesional yang sering tidak mempunyai masa untuk membeli barangan rumah.
Namun, segala keperluan dapur di rumah kini boleh dilakukan hanya menekan butang ‘add to cart’ sahaja. Menarik bukan?
Pertumbuhan besar yang dilihat dalam segmen barangan runcit secara atas-talian adalah kesan daripada situasi pandemik yang mengehadkan individu untuk keluar membeli barangan di kedai fizikal dan mengadaptasi teknologi dengan lebih pantas.
Oleh sebab itu, kita dapat menyaksikan pelbagai perkhidmatan penghantaran mula masuk ke dalam pasaran. Trend ini bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi juga negara-negara lain seperti Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia.
Belian runcit atas-talian telah berkembang menjadi perkhidmatan yang diperlukan semasa PKP kerana masyarakat melihatnya sebagai alternatif yang lebih selamat daripada pergi ke kedai fizikal.
Berdasarkan data yang dikongsikan Google, kita dapat lihat tabiat pengguna di Asia Tenggara juga telah mula beralih ke arah segmen pendidikan (22%), barangan runcit (33%) dan juga penghantaran makanan (34%) sewaktu perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dilakukan disebabkan penularan wabak Covid-19.
Hakikatnya, perkhidmatan belian barangan runcit atas talian telahpun lama bermula. Namun kini pengguna adalah lebih terbuka yang mana menunjukkan peningkatan dua kali ganda iaitu lebih dari 75% akan terus walaupun selepas penularan Covid-19.
Google juga menyasarkan pertumbuhan dalam segmen barangan runcit akan terus berkembang sehingga tahun 2025. Dengan ini, ia bukan sahaja memudahkan akses pelanggan terus kepada peruncit tempatan, malah ia turut membantu menggerakkan semula ekonomi negara.