Carian
Proton Adalah Kereta Malaysia Pertama Yang Menggunakan Gear Automatik
December 3, 2020 Lina Rosli

Automatic Transmission adalah sistem kotak gear automotif yang akan menukar gear secara automatik semasa kenderaan sedang bergerak tanpa memerlukan pemandu untuk menukar gear secara manual.

Kebanyakan model kereta yang kini dijual di kebanyakan negara telahpun bertukar kepada gear automatik. Bukan itu sahaja, pengguna juga lebih cenderung untuk memandu kereta ini kerana lebih mudah untuk dikendalikan.

Pada awalnya, kereta dengan gear automatik dikatakan kurang berkuasa, mempunyai kadar pecutan yang lambat, mempunyai nisbah gear yang sedikit serta tidak menjimatkan minyak berbanding gear manual.

Namun, kemajuan teknologi automotif telah menjadikan gear automatik kini lebih menjimatkan minyak ditambah lagi dengan sistem enjin yang lebih moden dan berkuasa. 

Tahukah anda, Mercedes-Benz SLR McLaren adalah kereta penghantaran automatik terpantas di dunia. Ia menggunakan penghantaran automatik 5 kelajuan yang mampu mencapai kelajuan maksimum 334 km/j.

Bilakah Gear Automatik Diperkenalkan?

Gear automatik pertama diperkenalkan adalah pada sekitar tahun 1932 oleh jurutera Brazil yang bernama José Braz Araripe dan Fernando Lehly Lemos.

Kemudian, General Motors membeli prototaip dan mengembangkan transmisi automatik kepada transmisi Hydra-Matic. Transmisi ini dihasilkan secara besar-besaran pada tahun 1940 sekaligus telah mengubah arah industri automobil. 

Pada tahun 1964, General Motors melancarkan transmisi baru, Turbo Hydramatic. Ia adalah antara yang pertama memiliki pilihan gear asas Park, Reverse, Neutral, Drive, Low yang menjadi pemilihan gear standard yang digunakan selama beberapa dekad.

Proton Adalah Yang Pertama Menggunakan Gear Automatik

Kereta Malaysia pertama yang menggunakan gear automatik adalah Proton Saga Aeroback yang dikeluarkan pada tahun 1987.

Jika anda lihat sekarang, kebanyakan pengeluar di Malaysia sudah mengurangkan pengeluaran kereta dengan gear manual. Sebagai contoh Perodua, antara model kereta yang tidak lagi membawakan variasi manual adalah Perodua Aruz.

Selain itu, Toyota juga turut tidak lagi menjual variasi manual Vios J. Bahkan ada satu ketika di mana Nissan dan Kia mengeluarkan kereta MT (Manual Transmission) tidak mendapat sambutan yang baik.

Mengapa Individu Kini Lebih Memilih Kereta Dengan Penghantaran Automatik?

Secara lazimnya, penghantaran automatik merujuk kepada sistem yang menggunakan set gear planetari dan dikendalikan oleh sistem hidraulik. Sistem tersebut banyak digunakan pada kereta bagi menghasilkan ketepatan tinggi selain bertindak sebagai alat kawalan gerakan yang menghasilkan tork (torque) yang sesuai untuk tugasan jangka masa panjang.

Untuk pengetahuan anda, tork adalah ukuran daya yang membenarkan objek atau tayar untuk memecut dalam kinematik linier dan juga pecutan sudut.

Jenis-jenis lain bagi penghantaran automatik termasuklah penghantaran automasi manual (AMT) seperti yang digunakan oleh kereta Proton Savvy, serta transmisi boleh laras berterusan (CVT) yang banyak digunakan pada skuter dan sesetengah model kereta termasuk Proton Saga FLX pada tahun 2011.

Selain itu, ada juga gear lain seperti Transmisi Tiptronic yang mana ia memberikan pilihan kepada pemandu untuk beralih dari automatik untuk membolehkan lebih banyak kawalan terhadap prestasi kenderaan seperti yang digunakan oleh kereta mewah seperti Porcshe.

Jadi, apakah pilihan anda? Adakah anda lebih menggemari kereta dengan gear automatik atau manual?

Komen